Monday, July 26, 2010

Guang Eng saman Utusan, SDO

Lim Guan Eng akan memfailkan saman malu terhadap Utusan Malaysia atas laporan berhubung pertikaian di antara ketua menteri Pulau Pinang itu dengan seorang pegawai kemajuan negeri (SDO) Nik Ali Mat Yunus.

Sehubungan itu, Lim melantik Karpal Singh yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor untuk mewakilinya dalam tindakan saman malu bagi dua laporan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 23 dan 24 Julai lalu.

Karpal dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan laporan tersebut sebagai satu "kenyataan palsu dan pembohongan."

Utusan Malaysia dalam laporan itu menggambarkan bahawa ketua menteri itulah sebenarnya yang menipu -- dengan menyiarkan satu foto yang menunjukkan Lim duduk di sebelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nor Mohamed Yaacob di kerusi kenamaan di majlis tersebut.

Namun, Karpal berkata dakwaan bahawa Lim telah menggunakan perkataan "lidah biawak" dalam itu juga merupakan satu penipuan kerana isu berkaitan penyediaan kerusi itu tidak disebut oleh Lim, tetapi sengaja ditimbulkan oleh Nik Ali

"(Laporan itu) menyatakan bahawa Lim telah menggelarkan pegawai kemajuan negeri Nik Ali Mat Yunus dengan panggilan biadap kerana mendakwa Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk semasa Majlis Naik Taraf Perkhidmatan Bukit Bendera pada 20 Oktober, 2009.

"Perkara tidak dapat tempat duduk ini tidak dibangkitkan oleh Lim. Sebaliknya ia dibangkitkan sendiri oleh Nik Ali, semata-mata untuk mengalihkan perhatian orang ramai tentang kegagalan Nik Ali menjalankan tugas dengan cekap dan profesional," kata Karpal.

Ingatkan tentang banglo sewa

Jelasnya, isu yang cuba dielakkan oleh Nik Ali ialah berkaitan "kehilangan RM150,000" berpunca daripada pembinaan satu pintu gerbang di Taman Botani yang akhirnya dirobohkan.

Karpal berkata, Nik Ali juga ingin mengalihkan perhatian daripada isu kecurian pasir di Politeknik Balik Pulau dengan menimbulkan isu penyediaan kerusi.

"Isu kecurian pasir di Politeknik Balik Pulau adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan kerana tapak tersebut merupakan tanah milikannya dan tiada tindakan pencegahan diambil sungguhpun kecurian bermula sejak tahun 2002," katanya.

Katanya lagi, Nik Ali juga bertindak tanpa menghormati kerajaan negeri apabila menjalankan projek kerajaan persekutuan tanpa memohon kebenaran daripada majlis kerajaan tempatan.

"Oleh kerana kegagalan menangani ketiga-tiga isu tersebut, Lim telah menyelar Nik Ali sebagai 'little napoleon' dan kesal (apabila) ketua setiausaha negeara bersedia menyokong Nik Ali (dengan) menggunakan perkataan kesat seperti 'biadap' dan 'dayus' terhadap ketua menteri dalam sidang akhbar yang dianjurkan ADUN Umno," katanya lagi.

Karpal turut memberi ingatan kepada Nik Ali yang menikmati kadar sewa bagi banglo kerajaan negeri 10 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Namun, Karpal tidak menjelaskan sama ada kemudahan tersebut akan ditarik balik oleh Lim.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails