Sunday, July 18, 2010

Enggan aktif, Mat Taib perlu letak jawatan.

KUALA LUMPUR 17 Julai - Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib perlu melepaskan jawatannya dengan segera supaya UMNO bahagian itu dapat meneruskan perjuangan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia, Datuk Salamon Selamat berkata, langkah itu perlu selepas bekas Menteri Besar Selangor itu dilihat 'tidak bermaya' dalam menjalankan tugasnya sebagai ketua bahagian itu sejak dua tahun lalu.

"Tidak ada sebarang isyarat daripada beliau (Muhammad) tentang apa yang hendak dilakukan. Beliau juga langsung tidak keluarkan kenyataan, arahan atau menentukan arah tuju kepada pemimpin UMNO di bawahnya.

"Kepimpinan UMNO Kelana Jaya mesti nampak ke depan dan mempunyai banyak idea dalam menyatukan orang UMNO dan Melayu terutama sekali dalam keadaan politik di bawah negeri pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini

Beliau mengulas desakan pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Kelana Jaya yang menuntut Muhammad membuat keputusan sama ada mahu kekal menerajui mereka atau meletakkan jawatan.

Ini berikutan bekas Menteri Besar Selangor itu memencilkan diri terhadap perjalanan UMNO bahagian berkenaan sejak hampir dua tahun lalu.

Salamon yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Shah Alam berkata, UMNO Kelana Jaya buat masa ini amat memerlukan seorang pemimpin yang lebih bersemangat dan berwawasan untuk menggerakkan jentera parti di peringkat cawangan hingga ke peringkat atas.

"Muhammad perlu melakukan sesuatu dalam mengembalikan keyakinan kepimpinan muda dan lama UMNO di bahagian itu demi masa depan orang Melayu.

"Saya sebagai pemimpin Veteran UMNO, di sini cuma melontarkan pandangan dan sekiranya beliau mahu cergas dalam politik semasa kita alu-alukan. Jika mahu berundur ia perlu dilakukan melalui perbincangan bersama UMNO di bahagian itu dalam meningkatkan kekuatan UMNO negeri," katanya.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails