Friday, July 9, 2010

Benar separuh tapi Raja Petra dipercayai, mengapa?

Oleh : Dr. G. Manimaran

Sejak gerakan reformasi bermula 12 tahun lalu Raja Petra Kamarudin bukan satu personaliti yang asing dalam arena politik tempatan. Dengan pembabitannya, anggota kerabat diraja Selangor ini sudah pun dikenali sebahagian besar rakyat negara ini ketika itu.

Ketika itu, yang mengenali beliau sebahagiannya berada dalam lingkungan pendukung gerakan reformasi. Oleh itu “popularity” Raja Petra terhad di kalangan mereka.

Populariti Raja Petra meningkat sedikit selepas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) buat kali pertama pada April 2001 bersama 11 yang lain. Ketika itu namanya sudah mula muncul dalam akhbar-akhbar perdana negara ini.

Raja Petra terus mencipta nama menerusi tulisan-tulisan bahasa Inggeris.

Beberapa minggu sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tuduhan liwat yang pertama, Raja Petra memulakan portal Malaysia Today dan menjadi perhatian apabila menyiarkan satu tulisan “panas” — meramalkan Anwar akan dibebaskan, kandungannya memihak ketua umum Pakatan Rakyat itu, yang merayu keputusan mahkamah terdahulu.

Sekali lagi penulisannya menjadi perhatian pada penghujung tahun 2005 — kali ini mengenai Khairy Jamaluddin, yang kini merupakan Ketua Pemuda Umno. Ketika tulisan itu dihasilkan Khairy merupakan orang kuat Pejabat Perdana Menteri atau tingkat empat Putrajaya.

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengikutnya melancarkan serangan hebat terhadap pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2006 sehingga selepas pilihan raya umum ke-12, Raja Petra menjadikan Malaysia Today platform untuk melancarkan serangan-serangan itu.

Laman web itu juga pernah menyiarkan secara langsung ceramah Dr Mahathir yang mengecam keras Abdullah dan Khairy.

Raja Petra terus menyiarkan tulisan-tulisan yang mencuri perhatian dan fokus ramai.

Dua hari sebelum hari pengundian pilihan raya umum ke-12, Raja Petra sekali lagi menjadi perhatian apabila mengeluarkan pendapat bahawa lima negeri diterajui Barisan Nasional (BN) akan jatuh pada 8 Mac 2008. Bukan semua negeri yang disenaraikan menepati jangkaan, tetapi “kedudukan” mereka diganti oleh dua negeri yang lain. Bermakna hamper 60 peratus maklumat terbitan Raja Petra tepat.

Tulisan itu bukan yang terakhir dihasilkan menerusi Malaysia Today. Beliau terus menulis sehingga kini.

Memandangkan tulisannya yang pedas, keras, menyakitkan dan menyinggung sesetengah pihak, Raja Petra berhadapan dengan “hukuman” secara langsung dan tidak langsung sejak itu. Portal telah digodam beberapa kali, tetapi ia terus muncul dengan artikel-artikel yang diminati kumpulan sasarannya.

Raja Petra ditahan di bawah ISA sekali lagi pada 2008.

Banyak pihak yang menjadi sasaran tulisan beliau. Pemimpin-pemimpin politik utama dikecam, dibidas dan dikritik Raja Petra — mereka termasuklah Datuk Seri Najib Razak, Dr Mahathir, Abdullah dan juga Anwar sendiri walaupun awalnya Raja Perta didakwa menyokong kuat bekas timbalan perdana menteri.

Raja Petra pernah melabelkan Anwar tidak layak memimpin selepas pelan 16 September 2008 tidak menjadi kenyataan. Tulisan ini menyebabkan pengikut Anwar kecewa dengan Raja Petra.

Ini realiti dunia! Semua orang mahukan penulisan yang cantik dan model! Raja Petra tidak terkecuali daripada reaksi balas.

Raja Petra pernah menulis awal tahun lalu. Oleh kerana tidak disukai ramai khususnya dalam lingkungan kerabat diraja, maka akan berada dalam buangan sementara waktu sebagaimana pernah disaksikan satu ketika dulu.

Realiti dialami Raja Petra ini berterusan sehingga ke hari ini. Isnin lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan hanya separuh daripada kandungan rencana tulisan Raja Petra adalah berdasarkan fakta manakala selebihnya sengaja ditokok tambah.

Menurut Mukhriz, Raja Petra mengakui perkara itu dalam satu perjumpaan mereka beberapa tahun lepas.

“Saya tanya dari mana anda dapat fakta berkenaan dan berkata secara selamba bahawa rencana tulisannya hanya mengandungi 40 peratus fakta dan selebihnya beliau tokok tambah,” kata Mukhriz, anak Dr Mahathir.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir di mahkamah tahun lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri melalui portal berita Malaysia Today.

Pandangan Mukhriz itu mengekori kenyataan Najib sehari sebelum itu bahawa rakyat tidak wajar menerima bulat-bulat apa saja dakwaan dibuat Raja Petra.

“Kalau Raja Petra ditaja pembangkang, bererti apa yang didakwa adalah berbaur politik... jadi kita mesti mengkajinya dan jangan terima bulat-bulat apa yang didakwa menerusi blognya,” katanya.

Raja Petra menjawab dari London. Sekiranya kewibawaan beliau dipertikaikan bagaimana dengan maklumat media perdana dikuasai dan dimiliki parti-parti politik macam Umno-BN.

Mengambil kira pandangan Mukhriz bahawa apa yang diperkatakan dan dilaporkan Raja Petra hanya separuh sahaja yang benar, tetapi dalam realiti semasa maklumat-maklumat yang disajikan beliau nampaknya sudah cukup untuk khalayak yang mahukan perkembangan dan maklumat semasa.

Perkembangan negara sepanjang satu dekad lalu banyak berkisar kepada senario politik. Kumpulan yang meminati politik secara langsung sebahagian besar merupakan golongan yang berpendidikan tinggi dan mempunyai akses luas kepada kemudahan ICT.

Golongan berpendidikan ini merupakan mereka mempunyai akses kepada kemudahan ICT untuk mendapatkan maklumat yang mereka mahukan dengan bebaskan. Malah, golongan ini juga merupakan mereka yang sudah mengetepikan maklumat yang disampaikan oleh media arus perdana tradisional.

Malah golongan ini juga memainkan peranan penting dalam mencorakkan keputusan pilihan raya umum lalu.

Mengapa mereka mengetepikan sumber maklumat yang menjadi harapan mereka selama ini? Mengapa mereka membuat pilihan baru?

Selain penulis sendiri yang perlu menentukan maklumat yang disandarkan itu benar-benar berwibawa, satu lagi pihak yang menentukan aspek kewibawaan ialah khalayak mereka sendiri.

Setiap individu harus mempunyai keupayaan untuk menentukan sahih atau tidak maklumat-maklumat diterima sebelum mereka membuat penilaian dan kemudian membentuk persepsi mereka.

Dalam dunia maklumat semasa, kita seringkali mengakui bahawa rakyat khususnya pengundi sebenarnya bijak dalam membuat keputusan. Tidak siapa yang boleh memaksa seseorang menerima maklumat disampaikan oleh seseorang.

Khalayak akan mencari sumber lain sekiranya sumber semasa sudah tidak lagi kredibel, tidak boleh dipercayai dan tidak meyakinkan minda mereka.

Raja Petra berada dalam kedudukan ini. Ini kerana sebahagian besar tulisannya gagal dibalas dengan empirikal kecuali Raja Petra dikritik semata-mata.

Mengapa ramai khususnya generasi muda tertarik dengan tulisannya dan mengapa mereka terus mempercayainya?

Sama ada disukai atau tidak, penulisan Raja Petra diikuti sebahagian besar mereka yang meminati politik tanah air — tidak kisah mereka ini penyokong BN ataupun Pakatan Rakyat. Blog Malaysia Today menjadi “hidangan” sebahagian besar pengunjung blog-blog domestik.

Komen dan kritikan terhadap Raja Petra juga meletakkan beliau sebagai seorang penulis yang masih relevan walaupun kita berkeras bahawa hanya hampir separuh daripada maklumatnya benar dan sahih. Raja Petra juga mendapat publisiti percuma sejak sedekad lalu sehingga seolah-olah dijadikan ikon politik tanah air sejak kebelakangan ini. Bermakna walaupun separuh sahaja fakta tulisan beliau betul, tetapi nampaknya tulisan Raja Petra terus diterima pengundi sebagai bahan alternatif.

Ini realiti persepsi politik yang tidak boleh dinafikan. Selagi pihak-pihak yang menjadi sasaran penulis blog ini gagal membalas tulisan Raja Petra dengan fakta dan jawapan yang meyakinkan, selagi itu Raja Petra akan terus menjadi idaman pengikut maklumat dan media alternatif.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails