Friday, July 23, 2010

Azalina bimbang Puteri Umno pupus

Dalam mendakwa ramai orang lama didalam UMNO tidak suka dengan ahli Puteri kerana dianggap mudah emosi, Azalina juga berkata situasi yang berlaku sekarang ialah orang muda Melayu tidak menerima Umno, orang Cina tidak menerima MCA dan orang India tidak menerima MIC.


Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Setelah pemimpin Puteri Umno berjaya mengekang wanita muda Melayu daripada menyokong pembangkang, kini ketua pertamanya bimbang pergerakan itu akan dibubarkan.

Datuk Azalina Othman Said yang memimpin pergerakan itu dari 2002 hingga 2004, berkata, Puteri Umno kini gagal berfungsi sebagaimana yang diharapkan.

Bekas menteri pelancongan itu juga mendakwa pergerakan itu juga menghadapi masalah kekurangan pemimpin.


"Semasa saya jadi ketua, ada Datuk Noraini Ahmad, selepas Noraini ada Datuk Rosnah (Ahmad Shirlin). Kini siapa barisan pelapis yang ada?" soal beliau ketika ditemubual baru-baru ini.

"Pemimpin mesti mempunyai sifat-sifat yang berani dalam politik tetapi berapa orang dalam Puteri Umno yang ada sifat itu," katanya yang kini menjadi Ketua Umno Bahagian Pengerang, Johor.

Menurut Azalina semasa menjadi Ketua Puteri, beliau mendapat bimbingan langsung daripada beberapa pemimpin utama negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad; Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Khalil Yaakob.

"Saya minta Majlis Tertinggi (MT) Umno melihat dan peka terhadap pergerakan itu supaya fungsi sebenar penubuhannya berjaya mencapai matlamat," katanya.

Bekas menteri kabinet itu juga berkata, hanya beberapa kerat pemimpin Puteri yang diterima menjadi pemimpin di peringkat Bahagian.

"Antaranya Suraya Yaacob (Kedah) dan Habibah Yusof (Selangor) manakala yang lain hilang entah ke mana.

"Sayang bakat pemimpin yang ada dalam Puteri Umno terhenti setelah umur mereka mencapai 35 tahun. Saya rasa had umur ini perlu diubah supaya Puteri terus menabur bakti selepas umur tersebut.

"Masalah dalam Puteri ialah ahlinya kena memohon kepada Wanita untuk terus menjadi ahli parti berbanding Pemuda yang diserapkan terus.

"Ini sebabnya saya dan Noraini tidak memohon untuk masuk ke bahagian," katanya berterus terang.

Azalina juga mendakwa banyak juga orang lama tidak suka dengan ahli Puteri kerana dianggap mudah emosi.

Menurutnya situasi yang berlaku sekarang ialah orang muda Melayu tidak menerima Umno, orang Cina tidak menerima MCA dan orang India tidak menerima MIC.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails