Thursday, July 29, 2010

Apabila kes berprofil tinggi ditutup

"Tidak kira orang politik atau orang bukan politik, mereka tidak kisah sangat berapa tinggi timbunan fail di pejabat SPRM. Malah, sekiranya badan bebas itu hendak menyewa bangunan sepuluh tingkat hanya untuk menyimpan fail-fail kes pun, umum tidak berwalang durja. Mungkin mereka akan berduka sekiranya ada pegawai SPRM yang mati terhempap timbunan fail".

Oleh : Abd Jalil Ali

Sekiranya ada aduan rasmi dibuat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nampaknya akan terpaksa membuka satu lagi fail dalam sehari dua ini. Dalam kalangan umum, termasuk orang politik, kes terbaru ini perlu disiasat segera.

Seorang Ahli Majlis tempatan di Selangor dikatakan menyalahgunakan kepala surat Exco Ronnie Liu untuk menyokong permohonan syarikat-syarikat kroninya bagi mendapatkan kontrak bernilai kira-kira RM1 juta.

Agaknya oleh sebab yang melakukan kesalahan tersebut ialah orang DAP, di negeri diperintah oleh PR pula, orang-orang politik BN segera membuat serangan. Ini biasa sangat di tempat kita! Jika yang melakukan kesalahan ialah orang BN, orang bukan BN akan segera melompat dan menjerit. Maka tidak pelik dalam kes ini pihak yang satu lagi pula menjerit.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mahu siasatan dilakukan segera untuk membongkar isu ini. Beliau hairan bagaimana kepala surat seorang Exco begitu berpengaruh untuk meluluskan satu-satu kontrak. “Sebagai Anggota Parlimen, kita juga selalu membuat surat sokongan tetapi tidak ada jaminan orang yang kita sokong itu akan berjaya dalam permohonannya,” kata YB Rembau itu seperti yang dilaporkan media.

Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, cepat-cepat menuduh PR mengamalkan ‘double standard’. Katanya: “Apabila kes penyalahgunaan kuasa terjadi dalam parti mereka, mereka cuba berdiam diri. Kalau terjadi dalam BN, mereka cepat-cepat buat laporan kepada SPRM.”

Dalam waktu yang sama reaksi segera Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ialah: “Kes ini meletakkan saya dalam keadaan yang mengaibkan.” Beliau memberitahu media pihaknya telah pun menjalankan siasatan mengenai perkara ini.

Sekiranya kes ini betul-betul dilaporkan kepada SPRM, satu perkara yang pasti ialah fail siasatan akan bertambah satu lagi, menjadikan timbunan yang sedia ada bertambah tinggi, mungkin sudah jejak ke siling. Ada beratus-ratus fail yang sudah lama tersadai di situ. Ada yang baru dibuka, ada yang sedang aktif disiasat. Dan, ada yang sudah ditutup. Ini pun biasa juga!

Tidak kira orang politik atau orang bukan politik, mereka tidak kisah sangat berapa tinggi timbunan fail di pejabat SPRM. Malah, sekiranya badan bebas itu hendak menyewa bangunan sepuluh tingkat hanya untuk menyimpan fail-fail kes pun, umum tidak berwalang durja. Mungkin mereka akan berduka sekiranya ada pegawai SPRM yang mati terhempap timbunan fail.

Apa yang diambil kira dan menjadi keprihatinan utama umum ialah bagaimana akhirnya mereka yang disebut dalam fail itu? Kalau kes penyalahgunaan kepala surat Ronnie Liu difailkan di SPRM, orang menunggu dan ingin tahu apakah Ahli Majlis yang terlibat itu akan dibicarakan dan dihukum.

Kes kepala surat di Selangor ini tidaklah sebesar mana sekiranya dibandingkan dengan fail-fail SPRM sebelum ini yang melibatkan jumlah duit rakyat berpuluh, beratus, malah beribu juta. Memang, rasuah perlu diperangi walaupun melibatkan hanya RM5. Tetapi, apalah RM1 juta berbanding dengan kes-kes lain yang jumlahnya juta, juta, juta?

Sementara beberapa kes telah berjaya dibawa oleh SPRM ke mahkamah, orang ramai masih menunggu apa yang terjadi kepada kes-kes besar yang dihebohkan sebelum ini. Apa sudah jadi dengan tuduhan rasuah terhadap beberapa orang bekas menteri? Apa yang telah dilakukan ke atas bekas seorang pegawai kanan menteri yang memiliki wang tunai RM1 juta di rumahnya? Apa kesudahannya tuduhan rasuah kepada bekas seorang Menteri Besar yang dikatakan memiliki banglo mewah yang harganya di luar kemampuannya?

Kes-kes berprofil tinggi yang sekarang diklasifikasikan sebagai ‘misteri’ oleh umum sebenarnya menguji keberkesanan dan kewibawaan agensi memerangi rasuah itu. Apa yang menyebabkan sesuatu fail itu terus diperam sedangkan pada pandangan umum penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sudah amat jelas.

Tentu sekali kesangsian dan kekecewaan umum semakin menebal, apabila mereka membaca berita ini, seperti yang disiarkan media, beberapa hari lalu:

“Kuala Lumpur - Sebanyak tiga kes berprofil tinggi yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan menteri dan Menteri Besar ditutup berikutan tiada bukti kukuh yang menyokong kes terbabit.

“Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Jalil, berkata kes berkenaan adalah pemberian rasuah membabitkan kereta jenis Alphard kepada isteri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan penerimaan RM10 juta oleh bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung skandal PKFZ.

“Satu lagi membabitkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung siasatan jamuan hari raya pada 2008,” katanya pada sidang akhbar.

Bagi SPRM bukti diperlukan sebelum kes dibawa ke mahkamah. Oleh sebab tiga kes berprofil tinggi ini – juga beberapa kes bertaraf ‘jerung’ sebelum ini – tidak mempunyai bukti kukuh, kes ditutup. Tetapi, bagi umum penutupan kes itu akan menimbulkan berbagai andaian, termasuk yang paling biasa ‘pendakwaan terpilih’, ‘pilih bulu’, ‘tidak telus’, dan akhir sekali ‘mengarut’. Persepsi inilah yang berterusan sejak zaman ‘Badan Pencegah Rasuah’ (BPR), bertukar kepada ‘Biro Siasatan Negara’ (BSN), bertukar semula kepada BPR, dan akhirnya menjadi SPRM.

Kita semua boleh memperbaiki persepsi ini dengan melaporkan mana-mana amalan rasuah, dan mesti sanggup tampil untuk menjadi saksi yang jujur. Bukan saksi yang pada saat-saat akhir berpaling tadah, sehingga perasuah yang sepatutnya terhukum akhirnya terlepas begitu sahaja.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails