Wednesday, July 28, 2010

Antara Farah Azlina dan Gani Patail

Tan Sri Abdul Gani Patail telah mengumumkan Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk menggugurkan timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif sebagai anggota pasukan pendakwa dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran dakwaan hubungan romantik dengan saksi utama dan pengadu.

Katanya lagi Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

Kononnya “Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

Hmmm..

Kasihan dengan Farah Azlina ni ya.. biarpun didapati tidak bersalah tapi dia digugurkan juga dari kes ini, hanya kerana dakwaan yang dibuat oleh Raja Petra.. err.. percaya pula mereka kepada Raja Petra kali ini..

Kalau begitu peratusan boleh percaya tulisan Raja Petra telah meningkat kepada 41% dari 40% seperti yang telah didakwa oleh seorang pemimpin dari UMNO yang apa nama dia tah.. baru-baru ini yang mengatakan hanya 40% benar manakala 60% lagi adalah tidak benar..

Jika Gani Patail berkata “Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

Bagaimana pula dengan Gani Patail sendiri, Gani yang telah terlibat secara langsung untuk mereka-reka bukti diatas dakwaan liwat keatas Anwar sepertimana laporan polis yang dibuat oleh Anwar Ibrahim 10 tahun lalu?

Gani Patail yang yang dijanjikan oleh Pak Lah semasa beliau masih menjadi Perdana Menteri akan tidak terlibat secara langsung dalam kes tuduhan liwat kali ini yang telah menandatangani perintah untuk memindahkan kes pendakwaan terhadap tuduhan liwat keatas Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Tidak terjejaskah nama baik atau kredibiliti jabatan Peguam Negara jika seorang yang telah terbukti terlibat secara langsung mereka-reka bukti 10 tahun yang lalu kini terlibat sekali lagi dalam kes yang sama.

Cuma yang membezakannya dengan kes kali ini ialah yang mendakwa diliwat 10 tahun dulu dipenjara tetapi yang mendakwa diliwat kali ini bebas bergembira dan bercinta buat kali kedua..

Biarpun penglibatan Farah Azlina dalam kes ini sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut dan beliau juga dikatakan tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan, beliau digugurkan kerana dikhuatiri menjejaskan kredibiliti Jabatan Penguam Negara.

Penglibatan Farah Azlina yang dikatakan bercinta dengan Saiful akan mencetuskan ‘conflict interest’.

Tetapi Gani Patail yang berpengaruh dalam menentukan halatuju Anwar Ibrahim samada ke penjara atau sebaliknya dan Gani Patail yang telah terbukti tiada kredibiliti kerana dibuktikan telah mereka-reka bukti dalam kes liwat yang pertama 10 tahun yang lalu masih terlibat dengan kes tuduhan liwat yang kedua ini.

Jadi diantara Gani Patail dan Farah Azlina siapa sebenarnya yang secara serius telah menjejaskan nama baik atau kredibiliti Jabatan Penguam Negara?

Gani Patail sendiri ataupun Farah Azlina?

***********************************************

DPP Farah didakwa ‘bercinta’ Saiful digugur dari pasukan pendakwa

KUALA LUMPUR, 27 Julai — Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk menggugurkan timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif sebagai anggota pasukan pendakwa dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran dakwaan hubungan romantik dengan saksi utama dan pengadu.

Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan tindakan itu ekoran dakwaan bahawa Farah Azlina menjalin hubungan romantik dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu dalam kes itu.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai “hubungan romantis” dengan saksi utama kes tersebut.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

“Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

“Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius,” katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.
Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

“Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

Semalam peguam Anwar mendesak Peguam Negara memberi respons kepada dakwaan Raja Petra Kamarudin dalam blognya minggu lalu.

Raja Petra mendakwa seorang timbalan pendakwa raya wanita, yang merupakan anggota junior dalam pasukan pendakwa, sedang menjalin “hubungan romantik” dengan Saiful yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar Jun 2008.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider minggu lalu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa sebarang keputusan sama ada anggota itu akan kekal dalam pasukannya boleh diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

“Saya tidak boleh mengatakan kepada anda buat masa sekarang. Saya tidak mendengar tentang dakwaan atau tuduhan ini.

“Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pasukan saya dan kita akan melihat pada 2 Ogos ini sama ada dia akan bersama pasukan kami atau tidak,” kata Mohd Yusof.

Pasukan pendakwa terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina sendiri.

Kata Mohd Yusof, anggota itu hanya dibawa untuk membantu pasukannya bagi menguruskan data dan mengambil nota prosiding kerana seorang pendakwa raya telah meninggalkan pasukan itu.

Selain itu menurut beliau, anggota berkenaan juga pendakwa raya yang turut mengendalikan kes-kes lain.

“Jika kami memutuskan untuk tidak menyertakan dia dalam pasukan kami, ia adalah kerana kami boleh mengendalikan kes ini tanpa dia... ini kerana dia juga ada kes lain untuk dikendalikan,” kata Mohd Yusof lagi.

Mohd Yusof sambil berkata beliau tiada maklumat mengenai tuduhan terbaru ini, apa yang dilakukan oleh anggota pasukannya adalah urusan peribadi.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes liwat Anwar, Ketua Pembangkang, ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. – The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails