Friday, July 16, 2010

Ambil wang rakyat untuk bayar APCO - Anwar

KUALA LUMPUR, 16 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan tindakan menaikkan harga barangan termasuk petrol seolah-olah Perdana Menteri sanggup mengambil wang rakyat untuk membayar bil APCO bagi memulihkan imej beliau.

"Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU)," kata Anwar.

Beliau mengulas kenaikan pelbagai jenis barangan mulai hari ini berikutan penarikan balik subsidi untuk rakyat oleh kerajaan.

Anwar mengecam tindakan itu kerana walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, namun pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu.

Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia.

Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam kenyataan bertulis yang dikeluarnya hari ini.

Bagi beliau, tindakan ini dibuat kerana Datuk Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat, katanya.

Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan.

Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan.

Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Bagi Anwar, bekas Menteri Kewangan itu, sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional.

Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010.

Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.

Malah, katanya, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

"Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera," tegas beliau.

"Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan.

Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga,tambah Anwar.

"Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat.

"Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat," katanya.

Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat.

Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.

"Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata," katanya.

Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Sehubungan itu Anwar menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1.Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2.Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3.Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting

4.Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara.

Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni, tegasnya.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails