Tuesday, July 27, 2010

Al KIsah Raja tak berhidung

Maka tidak hairanlah pada hari ini umat Islam tidak mengenal yang mana amalan yang diredhai dan yang mana amalan yang dimurkai. Sesiapa yang mengamalkan sunnah akan disinis, malah dikatakan sebagai menunjuk-nunjuk. Sehinggalah pada satu masa nanti sesiapa yang mendirikan solat akan dipandang pelik dan ditertawakan oleh mereka yang jahil ini.


Kisah ini adalah petikan dari buku 60 tahun Islam dibawah UMNO/BN- terbelakah Islam? yang telah ditulis oleh Ahmad Henry dan diterbitkan oleh Pustaka Ibnu Al Manhar

BAB 8: Al Kisah Raja Tidak Berhidung

Apabila bercakap tentang sunnah yang terabaikan, penulis teringat akan satu karguzari (laporan) yang disampaikan oleh seorang ustaz dalam satu bayan (ceramah berkaitan iman) selepas solat fardhu di sekitar Tanjung Malim. Uztaz itu menyampaikan satu tamsilan dalam bentuk cerita bagi menggambarkan suasana pengabaian terhadap sunnah Nabi s.a.w. Penulis akan mengisahkan semula cerita itu berdasarkan upaya penulis mengingatinya dan dalam bentuk penyampaian yang baru. Al kisah bermula;

Adapun di sebuah pulau berhampiran Atlantis terdapatlah seorang raja yang agak kacak dan tampan. Satu ketika, terhinggaplah satu penyakit hidung pada sang raja. Maka resahlah hati si raja. Lalu raja pun memerintahkan para khadamnya untuk mencari tabib yang betul-betul hebat untuk merawat penyakitnya itu.

“Katakan kepada mereka,…berapa pun Beta akan bayar!!”. Kata si raja kepada khadam-khadamnya yang bertugas untuk syif itu.

Maka tunduk patuhlah si khadams meneruskan perintah si raja. Berlalu sehari, dibawanlah oleh si khadams (banyak khadam) seorang tabib untuk merawat penyakit hidung si raja. Tabib itu pun diminta supaya menghadap raja sebelum boleh merawatnya. Setelah memeriksa hidung raja yang besar itu, tabib pun membuat satu statement yang agak mengejutkan.

“Tuanku Raja. . . hanya satu cara sahaja boleh menyembuhkan hidung Tuanku ini!” Jelas si tabib. “Tuanku kena potong hidung Tuanku yang tak mancung itu” Jelas si tabib lagi sambil memicit-micit hidung raja menyebabkan si raja menepis tangan si tabib.

“ Apa? Potong? Mengapa sampai begitu? Beta tak sanggup” Kata si raja separuh menjerit.

Setelah menjelaskan dengan lebih terperinci dan memandangkan hidung si raja semakin parah, maka raja tersebut akhirnya akur. Maka dipotonglah hidung si raja.

Adapun selepas hidung raja dipotong, maka para bangsawan, dayang-dayang, serta sesiapa yang melihatnya, menaruhlah rasa geli hati pada hati mereka melihatkan raja mereka yang tidak berhidung itu. Maka disedarilah oleh si raja akan hal itu. Diperginya mencemar duli bertemu rakyat, para rakyat juga tersenyum-senyum menahan ketawa. Maka berkecil hatilah si raja. Lalu diperintahkan seluruh penduduk di pulau itu supaya memotong hidung mereka tanpa ada pengecualian.

Selepas beberapa generasi, penduduk di pulau itu terus dengan kehidupan tidak berhidung. Bayi-bayi yang lahir juga tidak ada yang berhidung. Mereka sendiri pun tidak pernah melihat hidung kerana mewarisi nenek moyang mereka yang tidak ada hidung. Sehinggalah pada satu ketika, cicit kepada raja yang diceritakan tadi mengutus beberapa tentera ke tanah besar untuk menjalankan imperialisme, kononnya.

Apabila sampai sahaja di jeti sebuah pelabuhan, maka tergamamlah mereka apabila melihat beberapa manusia yang rupanya agak pelik.Peliknya, mereka berhidung. Manusia yang berhidung itu pun pelik apabila melihat segerombolan manusia yang tidak berhidung. Namun mereka (yang berhidung) hanya mendiamkan diri dan sekadar tersenyum di dalam hati. Sedangkan kumpulan tentera yang tidak berhidung tadi ketawa berdekah-dekah apabila melihat manusia yang pada mata mereka nampak kelakar kerana mempunyai sesuatu yang terjojol di bawah kedua belah mata (hidung). Sudahlah tidak berhidung, mentertawakan manusia yang berhidung pula. Begitulah al-kisahnya.

Bermula dengan ada, kemudian ditiadakan, kemudian ada semula. Beginilah suasana sunnah yang melanda sepanjang sejarah Islam di muka bumi. Setelah Allah s.w.t mengutuskan Nabi s.a.w supaya menjadi contoh tauladan bagi manusia, Baginda s.a.w menggunakan sepenuh tenaganya untuk menyebarkan risalah-Nya dalam pelbagai cara. Seusia Nabi s.a.w sebenarnya merupakan anugerah dari Allah s.w.t bagi seluruh umat manusia supaya mencontohi apa sahaja yang dibawa oleh Baginda s.a.w kerana selepas itu tidak akan diturunkan wahyu dan Nabi yang akan memandu manusia.

Namun, setelah kewafatan Baginda s.a.w, manusia mula melenyapkan satu demi satu sunnah dengan mengatasnamakan sunnah sebagai penyekat kemodenan. Maka tidak hairanlah pada hari ini umat Islam tidak mengenal yang mana amalan yang diredhai dan yang mana amalan yang dimurkai. Sesiapa yang mengamalkan sunnah akan disinis, malah dikatakan sebagai menunjuk-nunjuk. Sehinggalah pada satu masa nanti sesiapa yang mendirikan solat akan dipandang pelik dan ditertawakan oleh mereka yang jahil ini.


Untuk bacaan seterusnya sila lihat di SINI

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails