Wednesday, July 14, 2010

Aku sangkakan Katak.. Rupa-rupanya Beruk..

Mereka diumpamakan oleh KeADILan, sebagai 'beruk Mat Yeh' (istilah untuk wakil rakyat lompat), yang didakwa mendapat bayaran yang agak besar untuk 'defect'. Lima 'ekor beruk politik' ini tiada kerja lain. Kerja mereka di Parlimen hanyalah mencaci maki Pakatan Rakyat.

Meleset rupanya sangkaan aku selama ini.. Aku sangka mereka telah bertukar menjadi Katak tetapi bukan menjadi Katak, menjadi Beruk sebenarnya.. Beruk Mat Yeh!!

**********************************************************

MP Bebas 'di bawah ketiak' Umno

Mohd Rashidi Hasan

BOLEHKAH rakyat menerima wakil-wakil rakyat yang mengingkari perjuangan asal mereka, mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas sebagai sebuah institusi baru dalam politik negara?

Sejarah 50 tahun proses demokrasi di Malaysia, sokongan rakyat terhadap wakil Bebas hanyalah isu terpencil. Hanya ada dua atau tiga orang sahaja yang menang bertanding atas Bebas.

Mereka tidak boleh menjadi institusi dan tidak mampu mencorak arus politik negara kerana mereka menjadi Bebas, berdasarkan kepada sebab-sebab yang tertentu.

Tanpa ada pertikaian, sebelum ini ada calon Bebas yang menang di atas kapasiti peribadi mereka yang amat dikagumi masyarakat setempat.

Namun, wakil-wakil rakyat Bebas yang ada dalam negara sekarang ini, kebanyakannya menang atas kepercayaan rakyat terhadap parti yang diwakili, bukan atas kekuatan peribadi mereka.

Tanpa ada parti, tanpa dokongan parti, tanpa kerjasama pengundi dan penyokong parti, mereka ini hanyalah 'sampah-sampah' politik yang tiada nilainya.

Di Parlimen ada lapan orang Ahli Parlimen (MP) Bebas, iaitu Ibrahim Ali (Pasir Mas), Zahrain Hashim (Bayan Baru), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan dua lagi dari SAPP, Sabah.

Pada PRU 2008 semua mereka ini bertanding mewakili parti. Dua wakil SAPP menjadi bebas selepas SAPP keluar daripada BN. Ibrahim bertanding atas tiket PAS dan lima yang lain bertanding atas tiket KeADILan.

Hakikat sebenar yang berlaku ialah, lapan orang wakil Bebas ini tidak sehaluan sesama sendiri. Wakil SAPP tidak pernah mencampuri wakil dari Semenanjung.

Ibrahim buat caranya sendiri. Lima wakil bekas KeADILan pun tidak sekata. Hanya Zahrain dan Zulkifli sahaja yang kehadapan. Wee buat cara sendiri, manakala Mohsin dan Tee Beng jarang kelihatan bersama Zulkifli dan Zahrain.

"Mereka ini alat sahaja..'dah tak ada rotan, akar pun berguna'. Lepas habis Parlimen (penggal ke-12), mereka tidak berguna lagi," kata seorang Menteri sambil-sambil minum kopi dengan penulis.

"Kita orang pun menyampah kat depa (mereka) ni, dah la masuk kut (melalui) pintu belakang, semua jenis 'makan besar'," komen seorang MP Umno, tanpa menjelaskan lebih lanjut apa erti 'makan besar' tersebut.

Pemerhati Parlimen boleh melihat dengan jelas gelagat MP-MP bebas ini setiap kali adanya persidangan Dewan Rakyat.

Nak kata macam 'kera dapat bunga pun ada'. Nak kata macam 'kera sumbang pun ada'. Pendek kata kalau lihat gelagat mereka, nescaya kita akan terpalit dengan perasaan 'geli geleman' dan menyampah.

"Pendirian saya jelas, sebaik sahaja depa keluar KeADILan, saya tak akan peduli dengan depa. Saya tak kan layan langsung. Mampuih pi ke depa," tegas Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar yang juga MP Pokok Sena.

"Hang tengok tu, depa tu bukan ada kerja, duk berkelintau (berlongok) depan pejabat Nazri (Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz)," kata MP PAS Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar.

Hakikatnya lima MP Bebas yang mengkhianati perjuangan KeADILan tidak henti-henti menjaja pembohongan di Parlimen.

Mereka diumpamakan oleh KeADILan, sebagai 'beruk Mat Yeh' (istilah untuk wakil rakyat lompat), yang didakwa mendapat bayaran yang agak besar untuk 'defect'.

Mereka menggelarkan diri mereka sebagai 'Konsensus Bebas', cuba menunjukkan diri mereka sebagai kononnya pejuang yang berprinsip, walaupun hakikatnya semua rakyat tahu mereka hanya mementingkan diri sendiri.

Mereka menggelarkan diri mereka sebagai bebas, hakikatnya mereka tidak boleh menipu rakyat, bahawa mereka adalah badut-badut upahan yang berselindung di bawah ketiak Umno.

Lima 'ekor beruk politik' ini tiada kerja lain. Kerja mereka di Parlimen hanyalah mencaci maki Pakatan Rakyat.

Mereka memang jenis tidak servis rakyat, jika mereka turun ke kawasan pun, nescaya akan ditempelak rakyat kerana mereka adalah pengkhianat.

"Umno-Barisan Nasional pun tak percaya lima ekor ini, kalau Pakatan Rakyat mereka boleh khianati, BN pun mereka boleh buat macam tu," kata Setiausaha Politik seorang menteri di lobi Parlimen baru-baru ini.

"Lepas ni BN pun tak nak mereka," tambahnya.

Menariknya, drama MP-MP Bebas ini kadangkala tersangkut, akibat sanggahan MP BN sendiri.

Kadangkala pertelagahan mereka membawa kepada episod kata mengata yang menggelikan hati.

Antara yang terbabit dalam sengketa adalah Ibrahim Ali dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau).

"Dia ahli politik jaguh kampung di dunia antarabangsa dan masanya hampir berakhir. Dia juga halangan kepada 1Malaysia," kata ahli parlimen Rembau itu di blog web mikronya.

"Dia bukan pengundi Rembau, bukan juga ahli Umno. Dia tiada hak menyuruh saya letak jawatan," kata Khairy merujuk kepada serangan Ibrahim.

"(Universiti) Oxford tak ajar budaya bahasa Melayu yang halus mulus. Mana dia faham makna 'yang tersurat dan tersirat'.

"Jaguh bandar atau Oxford tidak bermakna kepada saya, kalau naik dan kaya pada permulaan kerana bapa mentuanya PM ataupun (terlibat dengan) politik wang?", balas Ibrahim.

Pertengkaran kedua-dua mereka tercetus apabila Khairy membela rakannya, ketua Pemuda MCA, Dato' Dr Wee Ka Siong, selepas 'diserang' oleh Ibrahim berhubung isu biasiswa.

Khairy juga baru-baru ini menyanggah ucapan Wee Choo Keong di Parlimen.

Yang kelakar ialah, pada asalnya MP-MP Bebas hendak digunakan Umno-BN untuk menyerang Pakatan Rakyat, tetapi sudah terbalik. Dengan Umno pun mereka bergaduh.

Apa yang hendak ditekankan di sini, bukan soal kata-mengata atau perselisihan faham antara MP BN dengan MP Bebas semata-mata.

Hakikatnya, MP-MP Bebas ini tidak ada 'future'. Mereka bukan sahaja tidak dapat membina jambatan yang baik dengan MP Umno-BN, malah kehadiran mereka semakin menyusahkan Umno.

Oleh itu, sebelum mereka dibuang oleh Umno-BN bagaikan sampah, sebelum mati dalam kehinaan, elok mereka meletakkan jawatan dan menyerahkan mandat semula kepada rakyat.


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails