Friday, July 2, 2010

1.2 juta komputer riba diagih percuma.. Siapa Untung?

Kerajaan akan menggunakan duit pembayar cukai untuk membeli dan mengagihkan sebanyak 1.2 juta komputer riba secara percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dan juga pelajar, syaratnya mereka diwajibkan melanggan pakej perkhidmatan jalur lebar dengan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Dan mereka diwajibkan membayar yuran langganan sebanyak RM38 sebulan selama dua tahun kepada TM..

Siapa yang beruntung disini? Pembekal Komputer Riba, Rakyat ataupun TM???


1.2 juta komputer riba diagih percuma

JELEBU 28 Mei - Kerajaan akan mengagihkan sebanyak 1.2 juta komputer riba secara percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dan juga pelajar sekiranya mereka melanggani pakej perkhidmatan jalur lebar dengan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang bertujuan meluaskan penembusan akses jalur lebar kepada umum.

''Inisiatif pengagihan komputer berkenaan akan dijalankan secara berfasa iaitu bagi fasa pertama sebanyak 200,000 unit bakal diagihkan dan disasarkan selesai pada hujung tahun ini.

''Bagi fasa kedua pula, sebanyak 1 juta unit komputer berkenaan akan diagihkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya pada sidang akhbar majlis Pelancaran Pakej Jalur Lebar dan NetBook Kos Rendah Terkini Untuk Isi Rumah Berpendapatan Rendah anjuran TM di sini hari ini.

Katanya, antara syarat dan golongan yang layak untuk mendapat pakej itu adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Jelasnya, setiap individu yang layak diwajibkan melanggan perkhidmatan jalur lebar dengan TM secara kontrak selama 24 bulan bagi memiliki komputer riba berkenaan.

''Sekiranya permohonan memiliki komputer itu berjaya, mereka diwajibkan membayar yuran langganan sebanyak RM38 sebulan selama dua tahun kepada TM.

''Lebih menarik, bagi pelajar sekolah, mereka hanya dikenakan yuran langganan sebanyak RM20 berbanding pakej yang ditawarkan kepada isi rumah iaitu sebanyak RM38." katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, bagi memastikan kelancaran pengunaan pakej jalur lebar itu, TM sedang giat memasang Pusat Akses (AP) bagi meningkatkan isyarat penerimaan jalur lebar.

''Dengan wujudnya AP ini orang ramai boleh mengakses Wifi iaitu akses Internet tanpa wayar dengan radius sejauh dua kilometer dari pusat AP," jelasnya.

Rais juga mencadangkan pakej berkenaan diberikan kepada semua pengamal media di seluruh negara sebagai langkah menghargai peranan media dalam menjalankan tugas mereka.

''Saya akan berbincang dengan SKMM untuk memberi komputer riba ini kepada semua pelapor media yang merupakan warganegara ini. Perkara ini akan dibincang dalam tempoh terdekat," ujarnya.


Media UMNO

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails