Thursday, June 3, 2010

UMNO dituduh buli Gerakan

ALOR SETAR - UMNO didakwa membuli Gerakan apabila membidas tindakan rakan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN) itu menyertai Gerakan Mansuh Judi Sukan (GMJ) yang dianjurkan Dewan Pemuda Pas Kedah.

Pengerusi Sekretariat GMJ Negeri Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata, Pemuda UMNO tidak sepatutnya mengawal tindak tanduk Pemuda Gerakan, kerana masing-masing mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan walaupun berada di bawah satu bumbung, BN.

“Saya kesal dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrol Hisham Hashim yang mahu Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang memaklumkan terlebih dahulu hasrat menyertai GMJ, sedangkan ianya bukan bertunjangkan isu politik, sebaliknya memperjuangkan isu moral,” katanya.

Mohd Nasir yang juga Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah berkata, tindakan Pemuda Gerakan itu harus diberi pujian kerana sanggup mengenepikan perbezaan politik, dengan bergabung dengan parti lawan untuk membantah isu lesen judi Piala Dunia.

“Pada majlis dialog lalu, masing-masing menyatakan pendirian bahawa kedua-dua pihak hanya bersetuju untuk bersatu dalam isu lesen judi sahaja, dan bukannya perkara-perkara lain. Ianya juga tiada kena mengena dengan tujuan politik,” katanya pada sidang media pada majlis pelancaran pelekat dan risalah membantah lesen judi GMJ, di sini.

Menurutnya, sejak gerakan itu ditubuhkan, jumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertainya kini bertambah kepada 30, berbanding 22 semasa pelancaran minggu lalu.

“Ini menunjukkan GMJ mendapat sokongan banyak pihak, sekali gus membuktikan isu lesen judi dibantah banyak pihak. Saya harap Pemuda UMNO memperbetulkan tafsiran mereka terhadap GMJ dan tidak membuat andaian negatif yang berbaur politik,” katanya.

Mohd Nasir berkata, tindakan Pemuda UMNO juga menunjukkan sayap parti itu tidak menghormati rakan dalam parti komponennya dan tidak menghormati prinsip Pemuda Gerakan yang lebih bersikap terbuka.

Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pihaknya bukan mempelawa Pemuda Gerakan sahaja untuk menyertai badan itu malah beliau sendiri lima kali menelefon Badrol Hisham untuk mengajak Pemuda UMNO namun tidak mendapat maklum balas.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails