Wednesday, June 30, 2010

Umno-BN dalangi cubaan guling MB Selangor?

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Umno-Barisan Nasional (BN) dipercayai mendalangi usaha memecahbelah perpaduan di kalangan ahli-ahli politik di Selangor dengan menyebar khabar angin, yang terbaru kononnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berusaha menggulingkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ini berikutan kegagalan mereka untuk menjatuhkan Khalid dengan menggunakan isu kononnya 15 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) rasa tidak puas hati terhadap cara Khalid mentadbir negeri itu.

Empat ADUN yang dikaitkan dengan komplot ini ialah Haniza Mohamed Talha (Taman Medan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Shuhaimi Shafie (Sri Muda).

Bagaimanapun keempat-empat mereka menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut tetapi sebaliknya mendakwa wujud ‘musuh’ yang cuba menganggu-gugat kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu.

Haniza berkata, "saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Pandangan ini dikongsi oleh tiga rakan YB saya yang turut dikaitkan dengan isu ini.

"Saya ingin melafazkan taat setia dan tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat yang saya dokong. Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini," tegas beliau.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Selangor berkata, "penyebaran berita palsu ini menggambarkan begitu terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan PR.

Cara pentadbiran baru

Menurut Haniza, sokongan penuh terus diberikan kepada Khalid, serta menyahut baik langkah dibuat Khalid yang kini melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor bagi menumpukan tugas sebagai Menteri Besar.

"Saya meyokong penuh kepimpinan Tan Sri sebagai Menteri Besar. Beliau merupakan seorang yang banyak berjasa kepada Selangor dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Selangor.

"Malah peralihan jawatan Majlis Pimpinan Negeri Selangor kepada Azmin merupakan satu langkah yang baik bagi membolehkan beliau menumpu sepenuh perhatian kepada pentadbiran negeri," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Azmin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor menggantikan Khalid berkuatkuasa serta merta yang dimumkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pusat parti.

Dalam pada itu, Khalid yang akan bercuti selama lima hari mulai hari ini, berkata kedudukan beliau sebagai menteri besar Selangor tanpa kuasa dalam parti di peringkat negeri, merupakan satu "cara pentadbiran baru."

Khalid akan ke Singapura bagi menghadiri Persidangan Bandar Sedunia esok dan seterusnya ke Brisbane, Australia untuk menghadiri satu sesi perbincangan dengan para graduan terpilih University of Queensland.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails