Friday, June 18, 2010

Tanpa Mahathir, PERKASA dan GERTAK akan BERKUBUR - Nazri

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Datuk Seri Nazri Aziz percaya Perkasa dan Gertak, yang kedua-dua program utama yang berkontroversi dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, akan “lenyap” tanpa sokongan bekas perdana menteri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa membela hak orang-orang Melayu kelihatan menonjol sebab bekas perdana menteri memperakui pendirian mereka menentang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Pandangan keras ini merupakan yang kedua datang daripada pemimpin Umno dalam tempoh dua minggu ini.

Dua minggu lalu bekas menteri Kabinet dan bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz juga melahirkan pandangan yang hampir serupa mengecam Perkasa.

Rafidah dan Nazri merupakan ahli Parlimen dari Perak.

“Beliau (Dr Mahathir) adalah ikon mereka. Kumpulan macam Perkasa, Gertak akan mati tanpa kehadiran Dr Mahathir,” kata Nazri kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual khas minggu ini.

Nazri menekankan, sebahagian kecil pengikut kedua-dua kumpulan ini mendakwa Dr Mahathir mempunyai sokongan kumpulan minoriti orang Melayu.

“(Tetapi) masih ada ramai orang Melayu yang percaya dengan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak (selaku perdana menteri dan presiden Umno). Kumpulan-kumpulan macam ini hanya elemen pinggiran (dalam politik negara),” kata Nazri yang ditanya mengenai respons kepada program Gertak di Kuala Terengganu Isnin lalu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut hadir pada majlis yang disertai kira-kira 1,000 orang.

Bagaimanapun Nazri mempertahankan kehadiran Ahmad atas alasan ia bertujuan menghormati Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri dan presiden Umno selama 22 tahun.

“Orang Melayu lazimnya akan menghormati pemimpin-pemimpin lama mereka... satu-satunya yang tidak pergi ialah saya,” kata Nazri dengan berseloroh.

Nazri dilihat sebagai antara pemimpin Umno yang ‘bertegang leher’ dengan Dr Mahathir dalam banyak isu termasuk ketika beliau mengecam kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir merasmikan perhimpunan tahunan pertama Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan Melayu terbesar di negara ini, Mac lalu.

Awal minggu ini, beliau berucap pada program kontroversi “Bangkit Melayu”, yang sepatutnya diadakan 13 Mei lalu bagi mengembalikan semangat orang Melayu dengan mempelajari peristiwa 13 Mei 1969.

Pada majlis itu beliau memuji kerajaan pusat telah membetulkan kesilapan dalam Model Baru Ekonomi menerusi Rancangan Malaysia Ke-10.

Dr Mahathir berkata, RMK-10 mengenal pasti masalah-masalah menyentuh kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, yang telah diketepikan dalam syor MBE.

“Beliau adalah perdana menteri terbaik negara pernah miliki. Isu saya, selepas beliau berhenti jadi perdana menteri, beliau menyusahkan kita.

“Dr Mahathir perlu ingat bahawa perdana menteri sekarang ialah Najib. Beliau harus membantu kami, tetapi apa yang beliau lakukan sekarang ialah membantu pembangkang,” kata Nazri.

Menteri undang-undang dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen ini memberikan contoh bagaimana pada awal 1990-an Dr Mahathir ketika menjadi presiden Umno ketika itu telah menasihatkannya supaya tidak mengecam kepimpinan ketua Pemuda Umno Tan Sri Rahim Tambi Chik.

Ketika itu Nazri merupakan naib ketua dan kemudian dilantik sebagai pembangku selepas Rahim meletakkan jawatan.

“Sejak itu, Dr Mahathir memberitahu bahawa jika ada apa-apa isu, saya harus menyelesaikan dalam empat dinding ini... beliau memberitahu, saya boleh jumpa dengannya (jika ada bantahan).

“Tetapi kini (saya merasakan) beliau harus menerima nasihat beliau sendiri,” katanya.

Wakil rakyat Padang Rengas ini menambah, Dr Mahathir dengan sendiri “memusnahkan legasinya”, dengan menyerang kerajaan Barisan Nasional semasa.

“Beliau menghasilkan kami semua... saya adalah hasilan beliau, Najib juga hasilan beliau. Jangan bunuh hasilan anda sendiri,” katanya.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider dua minggu lalu, Rafidah menggesa kaum Bumiputera supaya memfokus terhadap aspek pertumbuhan dalam MBE tanpa hanya cuba mengetengahkan agenda peribadi sendiri.

Beliau menyifatkan mereka yang menentang inisiatif MBE sebagai tindakan yang boleh mengakibatkan kesan buruk dan golongan berfikiran sempit.

“Kumpulan-kumpulan seperti Perkasa, mereka hanya melihat MBE menerusi satu perspektif. Mereka menganggap ia sebagai hak mereka untuk meletakkan (pandangan) dua sen (dalamnya) tetapi ini boleh menyebabkan kesan berlawanan,” kata Rafidah.

“Saya juga seorang Bumiputera tetapi yang pertama dan paling penting sekali, saya percaya kita perlu mencapai pertumbuhan terlebih dahulu sebelum kita mengetengahkan agenda Bumiputera,” kata bekas ketua Pergerakan Wanita Umno ini.

Malah menurut Rafidah, tentangan hebat yang datang daripada kumpulan seperti Perkasa tidak menggambarkan pandangan keseluruhan orang Melayu negara ini.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails