Tuesday, June 1, 2010

Serangan Regim Zionis : Rakyat Malaysia protes...

Rakyat Malaysia daripada pelbagai sektor hari ini bersatu untuk menyatakan keberangan mereka terhadap tindakan rejim Israel yang menyerang flotila keamanan yang membawa bantuan kemanusian ke Gaza, awal pagi semalam.

Berhimpun di luar Kedutaan Amerika Syarikat, kira-kira 500 NGO Melayu membakar gambar Presiden Israel, Benjamin Netanyahu sebelum menyerahkan memorandum kepada perwakilan kedutaan itu.

Pada serangan ke atas kapal Mavi Marmara yang turut membawa 12 rakyat Malaysia itu, sekurang-kurangnya 20 aktivitis pro Palestin dibunuh manakala puluhan lagi cedera.

Kapal itu dan penumpangnya yang ditawan itu kemudiannya dibawa ke Haifa untuk dipenjarakan.

Di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Jalan Dungun, Kuala Lumpur, lebih 50 ahli Pemuda Barisan Nasional membawa sepanduk menyatakan kemarahan mereka.

Mereka juga memijak sebelum membakar bendera Israel sebelum menyerahkan memorandum yang mengecam tindakan Yahudi itu kepada penyelaras PBB di Malaysia, Kamal Malholtra.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin yang menyerahkan memonrandum dua muka surat itu berkata PBB perlu melaksanakan sekatan perdagangan terhadap Israel kerana sering-kali mencabuli undang-undang antarabangsa.

Kami menggesa ahli-ahli Majlis Keselamatan, - Amerika Syarikat, United Kingdom, Rusia, China dan Perancis tidak menggunakan kuasa veto mereka untuk menghalang sebarang tindakan yang bakal diambil ke atas Israel,” katanya kepada wartawan.

Khairy juga menggesa Amerika Syarikat agar tidak bersekongkol dengan Israel kerana “dunia telah menyaksikan kekejaman mereka menyerang tanpa sebarang sebab di perairan antarabangsa”.

Beliau berkata Malholtra memberi jaminan bahawa memorandum berkenaan akan disampaikan kepada ibu pejabat PBB di New York hari ini, memandangkan Majlis Keselamatan sedang membahaskan perkara berkenaan.

"Kami difahamkan setiausaha agung PBB (Ban Kin Moon) tidak memandang ringan isu ini dan besar kemungkinan Majlis Keselamatan akan mengeluarkan resolusi berhubung perkara itu, dengan Turki sebagai anggota sementara menaja usul berkenaan,” katanya selepas perbincangan 15 minit dengan wakil PBB itu.

Timbalan ketua pemuda Umno, Razali Ibrahim juga senada dan berkata "Buat kali pertamanya, PBB mesti bertindak".

Jika tidak, katanya, badan dunia itu akan kehilangan rasa hormat daripada masyarakat dunia.

Khairy juga mengumumkan perhimpunan besar-besaran di Kedutaan Amerika Syarikat, Jumaat ini yang bakal dihadiri oleh NGO dan juga parti-parti politik kerajaan serta pembangkang.

"Kami ingin menunjukkan bahawa rakyat malaysia bersatu menentang Israel. Ini bukan soal keagamaan tetapi isu sejagat.

"Langkah seterusnya ialah memberi tekanan kepada negara-negara kuasa dunia supaya tidak berpihak dengan Israel,” katanya.

Hadir sama adalah ketua pemuda MIC T Mohan dan perwakilan dari MCA dan PPP.

Kedua-dua protes berkenaan dipantau oleh sekumpulan polis yang ditugas memastikan ia dijalankan dalam keadaan terkawal.

Pejabat kedutaan Amerika Syarikat akan juga menyaksikan tiga bantahan di perkarangannya.

Selain, bantahan jam 10 pagi tadi yang diketuai oleh NGO seperti Pertubuhan Pribimu Perkasa Malaysia (PERKASA0, Majlis Perundingan Melayu (MPM)dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), terdapat dua lagi protes.

NGO Islam yang diketuai oleh Talian Hayat untuk Gaza atau Lifeline4Gaza berhubung pada jam 11 pagi tadi manakala PAS dan parti-parti pembangkang pula akan berada di sana pada jam 12 tengahari.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails