Tuesday, June 22, 2010

Rombakan PKR mampu tarik lebih pengundi Melayu

Syed Jaymal Zahiid

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka membuat rombakan dalam usaha untuk menarik lebih ramai lagi pengundi Melayu, hujung minggu ini.

Rombakan itu akan dilakukan semasa perjumpaan parti di Quality Hotel Shah Alam.
Menurut sumber dalaman parti, jawatan ketua perhubungan negeri dan kedudukan dalam biro komunikasi akan digantikan.

Besar kemungkinan juga 30 peratus jawatan ahli majlis PKR dalam negeri Pakatan Rakyat akan dirombak, katanya.

Rombakan itu merupakan sebahagian daripada usaha PKR untuk menggantikan ahli majlis yang gagal mempamerkan pretasi baik, berdasarkan beberapa aduan yang diterima terutama di Selangor.

Selain itu, dapat dilihat juga persaingan sengit usaha melobi dalam PKR untuk mengekalkan sokongan.

FMT difahamkan, beberapa sumber dalaman PKR juga memaklumkan bahawa Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Dr Chua Jui Meng akan diberikan peranan penting dalam parti itu.

FMT juga difahamkan jawatan Pengarah Biro Komunikasi yang kini disandang Jonson Chong dan Ketua Biro Penerangan Latheefa Koya akan turut bertukar.

Jawatan Chong dijangka digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Spekulasi kini timbul mengenai Nik Nazmi yang dikatakan telah pun melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Nik Nazmi, bagaimanapun masih berdiam diri dan tidak mengesahkan mengenai desas-desus itu.

Walau apa pun spekulasi timbul, sumber dalaman PKR itu berkata rombakan ini merupakan salah satu usaha parti untuk menambah lebih ramai lagi majoriti pengundi Melayu.

PKR kini masih lagi berusaha untuk memancing pengundi Melayu di kawasan bandar kerana Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut mengakui matlamat untuk Pakatan Rakyat menawan Putrajaya terletak di tangan pengundi Melayu luar bandar.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails