Sunday, June 27, 2010

Judi kesukaan Pemimpin BN, bukannya amalan Masyarakat Cina


GEORGETOWN, 27 Jun: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membatalkan lesen judi bola membuktikan apa yang diputuskan oleh Pulau Pinang betul apabila mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengeluarkan lesen premis judi itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, keputusan kerajaan negeri jelas menjaga nama baik negara sebagai ‘negara Islam’ yang dilaungkan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) walaupun mendapat kritikan hebat kepimpinan BN termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun selain kritikan, beliau juga menerima pujian daripada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat serta sebahagian daripada komponen BN yang tidak sebulu dengan kenyataan Mahathir yang mendakwa masyarakat Cina suka berjudi.

"Sah apa yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang benar apabila mengarahkan semua PBT tidak keluarkan lesen premis judi dan sesuai sebagai langkah menentang sebarang bentuk perjudian yang merugikan masyarakat," ujarnya di Dewan Audiotorium F, Aras 5, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ketika meraikan rombongan Pasti Negeri Sembilan petang semalam.

Perjudian, kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih bukan amalan masyarakat Cina sebaliknya kesukaan pemimpin BN kerana hasil perjudian boleh diambil untuk membina negara.

Menurutnya, langkah drastik beliau mengarahkan semua PBT di Pulau Pinang pada mulanya menimbulkan keraguan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya PAS.

"Pemimpin PAS ada yang terkejut dan menghubungi saya beberapa kali untuk mendapatkan kesahihan betulkan apa yang saya dah buat. Saya kata memang betul kerana judi merupakan amalan yang tidak baik dan merosakan kebahagiaan sesebuah keluarga serta negara," tambahnya.

Katanya, ramai yang terkejut kerana kerajaan pimpinan DAP sanggup melakukan tindakan yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Rombongan Pasti Negeri Sembilan seramai 90 orang itu diketuai oleh pengarahnya, Ustaz Nazri Zainuddin. Turut mengiringi rombongan ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dan Penyelaras Dun Sungai Dua, Fahmi Abdul Wahab.

Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails