Sunday, June 20, 2010

PKR! Melangkah biarlah kehadapan..

Wawancara Eksklusif Dengan Datuk Zaid Ibrahim

Oleh Stephanie Sta Maria

PETALING JAYA: PAS baru sahaja selesai menjayakan Muktamar Tahunannya ke 56 manakala DAP pula baru-baru ini meraikan kejayaannya pada pilihan raya kecil parlimen Sibu.

Sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula masih menepis serangan bekas ahli-ahlinya dan dianggap komponen paling lemah dalam Pakatan Rakyat.

Sedemikian, pemilihan parti Disember ini membuka peluang terbaik tetapi terakhir buat PKR melakarkan usaha pengukuhan semula parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagi mendapatkan gambaran corak lakaran persiapan parti langkah maju ke hadapan, Free Malaysia Today menemubual salah seorang pemimpinnya yang ‘vocal’, Datuk Zaid Ibrahim.

Sebagai salah seorang ahli majlis pimpinan tertinggi parti, Zaid secara konsisten menyuarakan cadangannya ke arah membina semula parti dan kekuatan pucuk pimpinan parti.

Khusus untuk wawancara ini, beliau bagaimanapun, menjelaskan bahawa beliau bukan bercakap bagi pihak parti tetapi beliau memberi pandangan berasaskan pemerhatiannya dalam tempuh setahun lalu.

"Terdapat beberapa kelemahan dalam sistem PKR hingga melemahkan gagasan Pakatan Rakyat," katanya, dan menambah, "salah satunya ialah jawatan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai pemimpin ‘de facto’."

Beliau sepatutnya menjadi presiden parti untuk menggerakkan transformasi yang kita sebut-sebut. Wan Azizah Wan Ismail, presiden PKR sekarang ini merupakan seorang wanita yang baik tetapi beliau bukanlah seorang ahli politik dalam erti kata yang sebenarnya.

Zaid menerangkan bahawa peranan Anwar sebagai presiden akan membawa beberapa perubahan berlaku, dari jenis kepimpinan yang beliau mahu dan kepada apakah isu-isu yang harus diberi keutamaan.

Menurut beliau, perubahan-perubahan yang perlu dibawa adalah tersangat penting dan seharusnya menjadi fokus PKR untuk masa depan.

Apakah bentuk kepemimpinan?

"PKR harus menjelaskan apakah bentuk kepemimpinan yang ia mahu, kemudian memilih mereka yang dapat memenuhi ruang struktur dan organisasi sejajar dengan bentuk kepemimpinan itu.

"Buat masa ini, terdapat kekurangan pemimpin parti yang kuat di peringkat akar umbi. Kualiti organisasi banyak bergantung kepada perkara ini," katanya.

"PKR perlu mengenal pasti mereka yang memiliki semangat reformasi dan percaya dengan demokrasi dan nilai murni kerajaan yang lebih baik. Inilah prinsip teras parti."

Penyelaras Sekretariat Pakatan Rakyat itu menerangkan bahawa setiap perjuangan mestilah mengandungi keyakinan yang mendalam, yang bermakna, tertanam kukuh dilubuk hati dan tidak boleh kekal dengan hanya bersandarkan keyakinan yang tidak boleh dirasai atau peristiwa masa lampau.

"Kita mesti menaruh harapan bahawa kita sedang maju ke hadapan. Jika anda mahu menyemarakkan kembali semangat itu, maka kita perlu ada pemimpin yang berkeliber di peringkat negeri bagi membina jaringan yang penting buat sesebuah organisasi.

Proses ini hendaklah bermula sekarang ini sebelum semangat perjuangan kembali pudar. Bukannya susah sangat tapi kita hendaklah memulakannya.

Zaid juga menimbulkan kelebihan mengamalkan sistem demokrasi dalam parti, terutama apabila melibatkan pemilihan calon dan mencadangkan supaya pemilihan itu dibuat di peringkat akar umbi dan bukan oleh kepemimpinan pusat.

"PKR adalah parti reformasi akar umbi maka kita perlu digerakkan oleh ahli akar umbi. Perlembagaan kita sekarang ini menyebut bahawa pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dipilih oleh pucuk pimpinan parti, sama seperti stail Umno.

Jika pemimpin negeri dipilih oleh ahli di peringkat akar umbi maka terdapat unsur berhemah dan kebertanggungjawaban. Apabila anda bertanggungjawab untuk membuat keputusan, maka anda cenderung untuk memastikan keputusan itu berjalan lebih baik dan anda tidak menyalahkan orang lain apabila gagal.

"PKR masih merupakan sebuah parti yang memberi arahan dari atas dan saya fikir ini perlu ditukar," ujar beliau

Parti perlu pemimpin karismatik

Zaid berkata ukuran kejayaan baginya ialah apabila tiba masanya para penyokong parti mengambil inisiatf untuk berusaha sendiri untuk melaksanakan sesuatu perkara.

Sungguhpun beliau mengakui bahawa parti memerlukan pemimpin yang karismatik, bekerja keras untuk parti, tetapi beliau juga berkata, kekuatan ahli akar umbi dan ahli-ahli yang lebih berkualiti akan membawa PKR lebih jauh.

"Anwar masih memegang kepimpinan PKR tetapi kita tidak boleh bergantung kepada beliau seorang. PKR sendiri harus menjadi kuat jika kita mahu dua parti lagi (DAP dan PAS) menghormati dan bekerja bersama kita.

Apabila ditanya mengenai ketidaktentuan orang ramai berikutan tindakan keluar parti beramai-ramai, Zaid menyelar perbuatan itu dan memberi amaran bahawa lanskap politik baru di negara ini tidak mempunyai tempat untuk kejadian seumpama ini.

"Ia satu tindakan yang ganas dan membeli kuasa," katanya. "Tetapi sekiranya kita mempunyai sekumpulan pemimpin yang lebih komited, perkara sebegini tidak mudah berlaku.

Ada insentif, ada lompat parti

PAS telah lulus ujian ini dengan baik sekali. Berkemungkinan mereka telah dilatih dan bersedia untuk menerima bentuk serangan seperti ini, manakala PKR pula belum bersedia."

"Selagi masih ada insentif, akan ada yang lompat parti. Keadaan ini telah mendedahkan kerapuhan kita dan perlunya komitmen untuk mendapatkan orang yang betul.

"Kita memerlukan mereka yang mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih dan mereka yang berdedikasi. Kita tidak boleh meletakkan calon-calon hanya kerana mereka mendapat kerlipan cahaya dari media.

"Ramai ahli-ahli politik mendapatkan liputan berita dengan tujuan yang salah dan kita fikir mereka ini popular tetapi sebenarnya tidak. Ibrahim Ali sebagai contoh. Kita mesti memilih orang yang konsisten dengan perjuangan dan percaya dengan perjuangan kita.

Kerapuhan parti kata Zaid, membuat pilihan raya parti menjadi penting supaya dapat ditadbir dengan baik dari segi memberi kuasa kepada para pemimpin yang dipilih.

Ini menyerupai amaran keras kepada ahli-ahli politik di peringkat negeri dan mengingatkan supaya mereka bersikap realistik mengenai cita-cita politik mereka.

"Beberapa pemimpin di peringkat negeri telah menimbulkan masalah kepada parti sejak dua tahun yang lampau tetapi tidak dapat disinggirkan tanpa bantuan daripada pucuk pimpinan. Oleh itu pucuk pimpinan harus mengalah dan memperakui ahli yang lebih positif.

"Kita juga mesti lebih realistik tentang cita-cita politik dengan mengadunkan apa yang kita ada dengan apa yang kita mahu. PKR mahu memerintah negara ini tetapi persoalannya adakah kita mampu? Jika kita tidak, maka kita perlu realistik supaya kita tidak hilang kesemuanya.

"Jika kita mampu, maka kita mestilah meletakkan orang yang sesuai pada tempat yang sesuai dan beri mereka kuasa untuk menjalankan tugas mereka.

Sebagai contoh, Chua Jui Meng merupakan seorang ahli politik veteran dan sepatutnya menjadi pemimpin di Johor. Jika beliau menjadi pemimpin, beliau hendaklah diberi kuasa sepenuhnya untuk menyelamatkan Johor. Inilah apa yang saya maksudkan "mengurus dengan baik."

Mengenai Pakatan Rakyat, Zaid berkata, ia berfungsi seperti parti politik tetapi belum lagi berfungsi sebagai sebuah kerajaan.

"Ketiga-tiga parti ini menjadi semakin rapat tetapi agak berbeza cara mengendalikan kerajaan (negeri) masing-masing. Pakatan Rakyat mesti bergerak sebagai satu unit dalam menyelaraskan dasar-dasar di peringkat kerajaan negeri.

"Hanya dengan cara ini, kita dapat mencipta momentum dan bergerak maju ke hadapan," ujar beliau sebagai mengakhiri wawancara.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails