Wednesday, June 16, 2010

Mungkin punca Keshvinder keluar parti kerana masaalah Kewangan

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham tidak menolak kemungkinan bahawa masalah kewangan sebagai punca Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh a/l Kashmir Singh keluar parti.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, beliau yang juga Ahli Parlimen Beruas mendedahkan bahawa Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim pernah meminjamkan sebanyak lebih RM3,500 kepada Keshvinder pada musim pilihan raya kecil Sibu yang lalu.

"Sebelum ini, selepas Pilihan Raya Kecil Sibu, Keshvinder ada memberitahu bahawa keretanya telah ditarik oleh institusi kewangan," jelas beliau yang juga Adun Setiawan.

Tambahnya lagi, pejabat guaman tempat Keshvinder bekerja turut menghadapi masalah kewangan ekoran pecah amanah sebanyak RM45,000 yang kononnya dilakukan oleh keraninya.

Keshwinder juga, menurut beliau, turut gagal membayar yuran Kelab Diraja Perak sejak beberapa bulan yang lalu.

Disebabkan masalah-masalah kewangan itu, beliau percaya bahawa Keshvinder menerima sogokan daripada pihak tertentu.

"Saya percaya beliau disogok wang imbuhan sebanyak beberapa juta tetapi kurang dari RM20 juta," ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, Keshwindar serta seorang lagi Adun DAP yang bertindak keluar parti bakal menghadapi penalti RM5 juta setiap orang.

"Masa dia serta seorang bekas Adun DAP (Bebas) nak jadi calon dulu, setiap calon mesti menandatangani satu perjanjian atau kontrak dan jika keluar parti, mereka mesti membayar RM5 juta kepada DAP sebagai pampasan," ujarnya.

Katanya, penalti itu sebagai membayar balik kos seorang calon DAP pada pilihan raya umum lalu.

"Bagi mereka yang telah mengkhianati perjanjian, kedua-dua Adun DAP yang lompat parti sebelum ini akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin nasional DAP akan mengambil tindakan berbekalkan surat perjanjian tersebut ke atas Keshvinder serta Hee Yit Fong (Adun Jelapang) sejurus selesai sidang Dewan Rakyat.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming pula memberi jaminan tidak ada lagi wakil rakyat daripada parti itu yang akan keluar parti.

Katanya, semua mereka berada dalam keadaan yang selamat dan tidak bermasalah.

"Tidak ada (wakil rakyat DAP) yang bermasalah seperti Keshvinder. Setakat ini, semua selamat dan tidak akan melompat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Taiping.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber dalaman Pakatan Rakyat Perak memberitahu bahawa seorang lagi Adun mereka sedang dipinang oleh pihak tertentu untuk menjadi Adun Bebas.

Sumber tersebut turut meminta Harakahdaily mendapatkan maklum balas lanjut daripada Adun Hutan Melintang, Kesaven Subramaniam berhubung khabar angin tersebut.

Kesaven cuba dihubungi kemudian, namun tidak berjawab.

Adun Teja, Chang Lih Kang yang dihubungi kemudian pula menafikan bahawa Kesaven mahu keluar parti.

Katanya lagi, pemimpin Pakatan Rakyat Perak sebenarnya menasihatkan Kesaven mematikan telefon bimbit sejak khabar angin kononnya beliau akan meninggalkan parti yang bertiup beberapa hari lalu.


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails