Thursday, June 10, 2010

Masa Depan Bangunan Parlimen mungkin serupa dengan ini..

Sekarang mereka berkata Bangunan Parlimen yang sedia ada akan dikekal sebagai warisan tetapi adakah mereka tetap akan mengekalkannya jika ada pihak yang menawarkan harga yang tinggi bagi tapak bangunan itu?

Apalah sangat warisan bagi UMNO/BN.. Wang ringgit lebih penting bagi mereka..


Lapangan terbang Sungai Besi dibangunkan tidak lama lagi: Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Lapangan Terbang Sungai Besi yang kini dijadikan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), akan ditutup tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada projek pembangunan ‘‘Greater KL’’ seperti yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Sambil mengesahkan lapangan terbang berusia 54 tahun itu bakal dimajukan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kawasan itu akan dibangunkan semula secara bersama melibatkan kerajaan, swasta dan pelabur asing.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Taman LTAT Bukit Jalil di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata kementerian telah mengenal pasti beberapa pelabur dari Timur Tengah yang dilihat berpotensi terlibat dalam pembangunan kawasan lapangan itu.

Katanya satu perjanjian telah ditandatangani dua minggu lepas membabitkan kementerian, pemaju iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan pelabur dari Timur Tengah.

Beliau yang enggan mendedahkan butiran perjanjian tersebut berkata pelan pembangunan lapangan terbang itu masih dalam peringkat perbincangan semua pihak yang terlibat.

Sambil menafikan penglibatan pihak atau individu tertentu untuk meraih keuntungan dalam pelan itu, beliau berkata projek terbabit adalah perkongsian awam dan swasta bagi menyertai pembangunan projek yang dipimpin syarikat berkait dan kerajaan.

Menurut laporan RMK-10 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya atau ‘‘Greater KL’’ akan dijadikan bandar bertaraf dunia yang mempunyai persekitaran memberangsangkan sebagai tempat tinggal, bekerja dan beriadah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Laporan itu turut menyebut antara projek yang akan dibangunkan syarikat GLC seperti Projek Pembangunan Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi dan KL International Financial District.

Ahmad Zahid berkata fasiliti dan infrastruktur yang lebih canggih akan dibangunkan di kawasan terbabit bersesuaian dengan persekitaran lapangan itu yang menuntut sentuhan pembangunan moden.

“Kita tidak boleh menolak pembangunan. Lapangan ini yang terletak di kawasan strategik dan di tengah-tengah pembangunan yang pesat dan ia perlu diubah suai,” katanya tanpa mendedahkan butiran pembangunan projek itu termasuk kos dan tarikh ia akan dibangunkan.

Beliau berkata apabila projek pembangunan kawasan lapangan terbang itu dimulakan, operasi pemindahan agensi-agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat di lapangan terbang itu akan dijalankan secara berperingkat.

Aset negara seperti pesawat yang kini berada di pangkalan terbabit akan dipindahkan di Pangkalan TUDM Subang atau pangkalan lain yang bersesuaian, katanya.

Lapangan Terbang Sungai Besi merupakan lapangan terbang pertama di negara ini dan diisytiharkan bertaraf antarabangsa oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri pertama Malaysia) pada 1 Ogos 1956.
Lapangan terbang itu mula dibina pada tahun 1930 dan diperbesarkan pada tahun 1948.

Kapal terbang pertama yang mendarat di lapangan terbang ini ialah sebuah pesawat British, B.O.A.C. pada tahun 30-an.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata LTAT juga akan terlibat dalam projek pembangunan kuarters kerajaan di Jalan Cochrane dan Kem Batu Cantonment, Jalan Ipoh yang akan dipindahkan ke Kem Semenyih.

Terdahulu di majlis itu LTAT menyerahkan 50 kunci kepada pemilik rumah baru projek perumahan Parcel 1 Taman LTAT merangkumi 500 unit pangsapuri kos rendah, 192 unit pangsapuri kos sederhana rendah dan 136 unit pangsapuri kos sederhana.

Pangsapuri ini ditawarkan kepada anggota tentera dengan subsidi sehingga 38.2 peratus untuk 500 unit pangsapuri kos rendah.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails