Saturday, June 26, 2010

Lesen Judi Batal?.. Baguslah.. tapi kenapa diumum MT Umno?

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pemuda DAP mengalu-alukan keputusan kerajaan membatalkan pengeluaran lesen judi pertaruhan sukan tetapi mempersoalkan perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi.

Ketua Pemuda Sosialis DAP Loke Siew Fook berkata walaupun secara umumnya keputusan itu dialu-alukan, namun persoalan yang timbul soal pemberian lesen ini yang sepatutnya dikeluarkan oleh kerajaan diputuskan dalam mesyuarat Umno, bukannya di Kabinet.

“Apakah Majlis Tertinggi Umno yang menentukan segala dasar kerajaan dan bukannya Kabinet yang dianggotai oleh semua wakil komponen Barisan Nasional?

“Di manakah semangat perkongsian kuasa yang menjadi prinsip utama Barisan Nasional?” kata Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Ketika mengumumkan perkara itu lewat malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan semalam mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang jelas menunjukkan bahawa sebahagian besarnya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan.

Kata Najib, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat MT Umno malam tadi dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan bila keputusan itu dibuat.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

“Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata, "saya percaya mereka terima kerana ini keputusan kerajaan. Kerajaan memikirkan sebaik-baiknya kepentingan masyarakat pada keseluruhannya.”

Loke berkata perkembangan malam tadi amat jelas sekali bahawa yang menjadi penentu segala keputusan dalam kerajaan ialah Umno dan bukannya Barisan Nasional yang mempunyai 13 komponen.

“Kuasa hegemoni Umno dalam Barisan semakin menonjol dan parti-parti komponen yang lain hanya berperanan sebagai penghias semata-mata. Pandangan daripada MCA, Gerakan, MIC, PPP dan lain-lain adalah tidak relevan sama sekali.

“Pucuk pimpinan MCA, MIC dan PPP telah secara terbuka menyatakan sokongan mereka terhadap pemberian lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports sebelum ini.

“DAPSY ingin mempersoalkan apakah pendirian mereka sekarang? Atau sokong sahaja sebarang keputusan yang dibuat oleh Umno?” kata beliau lagi.

Loke memberitahu DAPSY mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menarik balik hasrat memberikan lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports seperti yang diumumkan oleh Najib yang juga Menteri Kewangan.

“Ini merupakan satu keputusan yang tepat dan memenuhi hasrat dan permintaan rakyat Malaysia. Ia juga membuktikan pandangan yang telah dilontarkan oleh DAPSY dan pertubuhan lain yang menentang pemberian lesen tersebut memang ada asas yang kukuh dan hujah yang meyakinkan," katanya.

Malah katanya, keputusan malam tadi dilihat sebagai kesan kebangkitan kuasa rakyat yang dicetuskan oleh tsunami politik 8 Mac 2008.

“Suara rakyat tidak lagi dapat diketepikan oleh pimpinan kerajaan seperti dahulu dan mampu mengubah keputusan dan pendirian kerajaan dalam sebarang isu termasuk isu lesen perjudian sukan ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut MCA mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan tabung khas bagi mengutip segala perolehan dan keuntungan daripada syarikat perjudian berlesen agar ia tidak bercampur dengan pendapatan lain.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata sekiranya tabung itu diwujudkan, ia boleh digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang membawa faedah kepada semua kaum di negara ini.

“Sudah sampai masanya kerajaan membayangkan cukai-cukai kerajaan kutip dari lesen perjudian yang dibenarkan sejak dulu, seharusnya tidak masuk ‘consolidated fund’ ... tabung berlainan ini boleh digunakan untuk pendidikan, kebajikan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-31 Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad di sini.Selain itu kata beliau, kerajaan seharusnya sentiasa meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti perjudian haram di kalangan rakyat, khususnya pertaruhan perjudian dalam sukan.

“Pemantauan rapi dan penguatkuasaan terhadap perjudian yang dikatakan haram seharusnya dipertingkat kerana perjudian sukan, walaupun tidak dibenarkan, masih boleh berlaku melalui telefon dan internet kerana ia tidak memerlukan lesen,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno berkata keputusan kerajaan membuktikan keprihatinan Najib yang mengambil kira kepentingan semua pihak sebelum memutuskan perkara itu.

Ketika ditemui di Kota Baru, Zahid berharap isu itu tidak lagi dimanipulasi pihak pembangkang dan menafikan keputusan tersebut dipengaruhi desakan mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan turut bersetuju dengan pandangan Ahmad Zahid berhubung tindakan kerajaan tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, keputusan itu dibuat bukan hanya disebabkan suara pembangkang, tetapi juga suara akar umbi anggota Umno yang disalurkan ke dalam mesyuarat MT parti malam tadi.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails