Monday, June 21, 2010

Kaji Semula DEB: Melayu Berkepentingan Sahaja yang Menentang

Pandangan Adik Najib tentang DEB yang menurutnya perlu dikaji semula..

Golongan yang menentang kajian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) ialah mereka yang selama ini memperoleh manfaat daripada polisi kerajaan itu selama 40 tahun.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak sehubungan itu berkata, kerajaan tidak perlu tunduk kepada golongan yang membuat bising itu sebaliknya perlu mengutamakan kumpulan majoriti yang mahukan dasar itu diubah dalam aspek tertentu.

"Merekalah yang membuat bising sedangkan hak semua bumiputera adalah lebih penting. Sebab itu ada kontraktor yang marah apabila ada tender terbuka sedangkan mereka tidak terfikir jika tender itu diberikan kepada mereka, apa akan jadi kepada kontraktor Melayu yang lain.- mStar


Nazir: DEB gagal capai matlamat, perlu dikaji semula

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Datuk Seri Nazir Razak, anak perdana menteri kedua berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana hilang tujuan untuk mencapai matlamat asal dan disalah guna oleh pihak tertentu.

Adik kepada perdana menteri semasa itu berkata, kajian itu memandangkan dasar tersebut gagal mencapai matlamat asal untuk mencapai perpaduan.

“Saya bukan pengkritik DEB kerana saya setuju bahawa dasar berkenaan telah membantu Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi kukuh, selain kestabilan politik.

“Apa yang saya tegaskan adalah keperluan kepada kajian menyeluruh terutamanya daripada aspek pelaksanaan. DEB diwujudkan pada 1971 dan untuk tempoh pelaksanaan 20 tahun. Kita sudah mencapai 40 tahun sejak ia dilaksanakan.

“Jadi, kita perlu menilai DEB dalam konteks dan keperluan semasa, keadaan ekonomi terbuka yang dipraktikkan di Malaysia serta mengambil kira persaingan sengit untuk meraih pelaburan di antara negara,” kata beliau dalam temu bual dengan Mingguan Malaysian disiarkan hari ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB ini menambah, ketika DEB dilancarkan empat dekad lalu, Allahyarham Tun Razak menekankan bahawa dasar itu bukan bertujuan untuk mempromosikan kepentingan kaum tertentu tetapi ia adalah rangka untuk kemajuan dan perpaduan negara.

“Pada jangka panjang DEB adalah mengenai perpaduan. Tetapi sekarang kita sudah hilang tumpuan mengenai matlamat asal untuk mencapai perpaduan yang dinyatakan dalam DEB.

“Bagi pihak tertentu, DEB menjadi punca perpecahan kerana dasar ini disalah guna oleh pihak tertentu untuk meraih keuntungan,” katanya.

Berhubung soalan sama ada matlamat DEB masih relevan, Nazir memberitahu, bagi beliau matlamat DEB membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat masih relevan dan perlu dikekalkan tetapi pada masa sama kita perlu menambah satu lagi matlamat membina dan mewujudkan masyarakat bumiputera yang lebih kompetitif.

Katanya ia sangat penting untuk memastikan kelangsungan orang Melayu.

Bagaimanapun kata beliau, untuk mewujudkan orang Melayu kompetitif “kita tidak dapat lari daripada mengkaji semula cara DEB dilaksanakan.”

“Kita tahu atas nama DEB, saham syarikat yang disenaraikan diagihkan kepada bumiputera tetapi persoalannya siapa yang layak dan siapa yang meraih keuntungan?

“Anda lihat pemberian AP, apa asas pemberian AP, siapa yang dapat, bagi saham, siapa yang dapat?

“Saya lihat orang yang senang dapat, senang juga menjualkannya,” kata Nazir.

Jelas Nazir (gambar), semasa beliau menguruskan penyenaraian pada 1990-an, ada seorang usahawan yang digelar sebagai ‘Lord of The Second Board’.

“Tetapi kemahirannya ialah mendapat peruntukan daripada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Sejauh mana ia membantu bumiputera dalam jangka panjang?” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, kerajaan perlu menentukan dengan jelas masa yang diberikan untuk perlindungan kepada Bumiputera.

“Bumiputera boleh bersaing dalam peruntukan 30 peratus di kalangan bumiputera dan pada masa sama bersaing dalam 70 peratus yang disaingi oleh semua pihak.

“DEB perlu adil dan untuk Melayu berjaya, Malaysia perlu berjaya sepenuhnya,” kata beliau.

Malah tegas beliau, semua kaum perlu menyumbang bagi kejayaan tersebut.

“Malaysia tidak mampu menjadi sebuah negara perpaduan sekiranya terdapat perbezaan polisi selama-lamanya.

“Itu pandangan saya. Sebab itu, perlu mewujudkan tempoh masa untuk melaksanakannya kerana sasaran kita mestilah satu bangsa Malaysia,” katanya lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails