Tuesday, June 8, 2010

Judi Bolasepak : Awang Adek akan pertahan Najib habis-habisan!



Lesen judi: Dr Awang Adek bagi penjelasan lanjut…nafi PM tipu Dewan Rakyat

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin sepatutnya antara orang yang pasti cemas jika ia betul.

Manakan tidak bila pembangkang sudah bising mendakwa kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin bahawa kerajaan belum luluskan lesen judi sukan kepada Ascot Sport bercanggah dengan notis laporan oleh Berjaya Corporation Bhd kepada Bursa Malaysia.

Pagi Selasa Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Tony Pua telah mengedarkan di Parlimen salinan notis berkenaan bertarikh 12 Mei lalu, dimana Berjaya memaklumkan: 'Kementerian Kewangan telah meluluskan pengeluaran semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan mengikut syarat yang ditetapkan.'

Beliau mempersoalkan bagaimana satu kata belum lulus dan satu lagi kata sudah lulus.Sepintas lalu bunyinya macam betul bagai didakwa.

Namun Dr Awang nampak relaks saja ketika ditemui Agendadaily di lobi Parlimen untuk bertanya apa cerita sebenar hal ini.

Katanya kerajaan memang belum meluluskan lesen judi sukan kepada Ascot Sport seperti dinyatakan Perdana Menteri dalam jawapan bertulisnya kepada soalan dari Ahli Parlimen PKR kawasan Batu ,Tian Chua.

“Belum muktamad lagi. Macam Perdana Menteri kata semalam...belum muktamad,” katanya.

Katanya, Kementerian Kewangan memang setuju untuk memberi lesen tetapi ia PERSETUJUAN BERSYARAT.

“ Mereka (syarikat Ascot) tak tak setuju beberapa syarat yang ditetapkan dan masih merayu. Sebab itu belum muktamad.Maka sehingga sekarang lesen untuk membolehkan mereka memulakan operasi belum dikeluarkan lagi,” ujarnya.

Dr Awang Adek bagaimanapun enggan menghuraikan syarat-syarat yang syarikat itu tidak bersetuju.

Beliau mengesahkan lesen tersebut pernah dikeluarkan sejak 80-an tetapi tidak diaktifkan.

Mengenai notis Berjaya kepada Bursa Malaysia, Dr Awang Adek berkata beliau perlu periksa dulu untuk mengetahui kedudukan sebenar hal berkenaan.

Beliau menegaskan apa keadaan sekalipun hakikatnya syarikat berkenaan tidak boleh mulakan operasi judi pertaruhan kerana lesen kebenaran operasi belum diluluskan.

Menurutnya ia adalah dua perkara yang berbeza.

Katanya, adalah tidak betul mana-mana pihak menuduh Najib menipu dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Tian Chua di Parlimen semalam.

Tony Pua berkata jika benar Perdana Menteri menipu Dewan Rakyat maka beliau perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya jika Berjaya beri maklumat salah kepada Bursa Malaysia maka ia harus berdepan dengan hukuman.

Dr Awang Adek berkata ,“macam mana nak kata Perdana Menteri menipu, sebab lesen memang belum lulus.”

Baginya pembangkang akan terus lakonannya macam semua orang tidak tahu judi pertaruhan haram melibatkan wang berjuta wujud selama ini dan sebaliknya akan berusaha cari point untuk menghentam kerajaan.

Beliau turut mengulangi kenyataan Najib dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa kerajaan sedang menerima dan mendengar pandangan semua pihak berhubung kelulusan lesen tersebut.

Sementara itu, satu sumber memberitahu Agendadaily, antara syarat ditetapkan kerajaan bagi meluluskan lesen judi sukan itu adalah tidak membenarkan orang Islam mengambil bahagian dan bekerja di premis ia beroperasi.

Syarat lain mestilah beroperasi di premis sedia ada selain bilangan terhad dan syarikat itu diwajibkan syarikat itu membayar sejumlah cukai yang tinggi kepada kerajaan.-8/6/2010


Judi: Belum lulus lagi…masih kumpul maklum balas - PM

Siapa kata kerajaan sudah bagi lampu hijau kepada Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan bookie di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kata kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada syarikat untuk tujuan berkenaan.

Beliau memberitahu demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu) pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Tian Chua ingin tahu apakah asas keputusan kabinet menarik balik lesen judi pada tahun 2004 dan keputusan itu diubah tahun ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma pelesenan dengan syarikat tersebut bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia.

"Kerajaan masih mendapatkan maklum balas atau pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia," katanya.

Kebelakangan ini timbul kontroversi bantahan kerana ramai yang menyangka kerajaan sudahpun memberi kelulusan kepada Ascot Sports Sdn Bhd mengendalikan operasi pertaruhan untuk bolasepak Piala Dunia.

Pelbagai pihak telah mendesak kerajaan menarik balik kelulusan itu.


Agenda Daily 7/6/2010

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails