Friday, June 18, 2010

Jika saya melompat dia akan bakar diri - Kesavan

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang S Kesavan hari ini menafikan sekeras-kerasnya berhubung desas-desus bahawa beliau akan melompat parti.

Ini sekaligus melenyapkan spekulasi bahawa beliau akan mengikut jejak langkah ADUN Malim Mawar Keshvinder Singh yang keluar DAP dan menjadi wakil rakyat bebas.

Sebaliknya Kesavan mendakwa wujud individu yang cuba mengada-adakan khabar angin itu untuk memberi gangguan kepadanya.

Malah spekulasi itu katanya bertambah hangat apabila dijadualkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bakal mengadakan lawatan seharinya ke Bagan Datok hujung minggu ini.

"Bila ADUN Malim Mawar keluar parti ia menghangatkan lagi spekulasi bahawa wujud wakil rakyat lain yang akan melompat parti.

"Isu ini bertambah hangat bersempena dengan lawatan oleh Perdana Menteri di Bagan Datok hujung minggu ini.

"Namun saya yakin mereka cuba mencipta isu ini dengan memfokuskan saya sebagai wakil rakyat yang bakal melompat selepas ini," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.

Kesetiaan Teruji

Tambahnya, beliau tetap setia bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), walaupun mengalami pelbagai rintangan dan kesusahan sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan terbabit.

Menurut beliau tidak terlintas dalam fikirannya untuk keluar parti sebaliknya kekal setia bersama PKR.

"Saya langsung tidak terfikir untuk keluar parti. Saya akan tetap setia bersama PKR.

"Bagi saya parti sudah mengenali saya sebelum menjadi wakil rakyat. Parti beri peluang untuk bertanding sebagai wakil rakyat dan itu bukan atas usaha saya.

"Semalam saya terima panggilan daripada seorang pengundi India yang kata jika saya melompat dia akan bakar diri. Saya cukup tersentuh dengan hal itu dan ramai yang menasihatkan saya untuk kekal dengan PKR," katanya.

Dalam pada itu, Kesavan tidak menafikan beliau didatangi ‘individu-individu’ rapat yang mempengaruhinya untuk melompat parti ketika ini.

Namun beliau mengelak untuk terperangkap daripada ‘ujian’ tersebut kerana mengenangkan sokongan rakyat yang tidak putus-putus kepadanya.

"Saya tidak menafikan didatangi kawan-kawan rapat yang bawa mesej untuk saya keluar parti. Namun saya tidak ambil serius. Jika ia membabitkan mana-mana ejen daripada politik lain saya akan bongkarkan kepada semua.

"Saya sentiasa mengingatkan diri daripada terperangkap dengan perkara-perkara seperti ini," kata beliau.

Bercakap mengenai Keshvinder, beliau ternyata kecewa dengan tindakan rakan seangkatannya dalam Pakatan itu.

"Beliau (Kesh) mempunyai semangat yang kuat dalam perjuangan parti. Beliau ada cakap tiada peruntukan kewangan. Namun saya tidak sangka beliau keluar parti kerana tunduk dengan tekanan tersebut," katanya.


freemalaysiatoday

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails