Friday, June 25, 2010

Felda hilang RM8 bilion... bukannya RM2.7 bilion

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Datuk Husam Musa mendakwa, rezab tunai Felda telah susut sebanyak RM8 bilion sejak diambil alih Datuk Seri Najib Razak bukannya 2.7 bilion sebagaimana didakwa Datuk Ahmad Maslan.

Ini kerana, susut rezab bukannya jumlah yang ada pada tahun 2004 tolak jumlah yang ada sekarang kerana dalam tempoh tersebut Felda mempunyai pendapatan dan ia hilang bersama dengan kemersosotan yang berlaku.

Husam yang juga Exco pembangunan ekonomi Kelantan itu berhujjah:

a. Baki pada akhir 2009 - RM 1.35 billion.
b. Baki pada akhir 2004 - RM 4.08 billion.

"Antara tempoh 2004 sehingga 2009, adakah Felda tidak menerima apa-apa pembayaran? Semua ladang Felda tak ada hasil dalam tempoh lima tahun itu? Satu sen pun tak masuk?" soalnya.

Menurut Husam, kenyataan Ahmad Maslan seakan antara 2005 hingga 2009, Felda langsung tidak menerima sebarang wang dan wang berbaki hanya apa yang dibelanjakan dari rezab terkumpul sehingga 2004 tadi.

"Mustahil!!" kata Husam kerana dalam tempoh tersebut, Felda juga menerima hasilnya dan hasil itu turut hilang dan hanya tinggal RM1.35 bilion sahaja pada akhir tahun 2009.

AJK PAS pusat itu berkata, "maklumat tepat yang saya perolehi, antara tempoh 2005 hingga 2009, Felda menerima pendapatan tunai sejumlah RM 5.2 billion lagi!"

Penerimaan tunai Felda adalah seperti berikut;

a. 2005 - RM 682 juta
b. 2006 - RM 697 juta
c. 2007 - RM 1.270 billion
d. 2008 - RM 1.70 billion.
e. 2009 - RM 830 juta

Jumlahnya menghampiri RM 5.2 billlion!

Jumlah ini, kata Husam, perlu dicampur dengan baki 2004. Bila dicampur dengan baki 2004, jumlahnya ialah RM 9.28 billion!

Baki 2004 - 4.08 billion
Masuk 2005 - 2009 - 5.2 billion
Jumlah - 9.28 billion

"Ini bermakna wang yang susut lebih dari RM 2.78 billion kerana jumlah semua rezab tunai Felda bersekali dengan baki 2004 ialah RM 9.28 billion ditolak dengan baki yang tinggal sehingga 2009 ialah RM 1.35 billion (RM 9.28 b tolak RM 1.35 b = RM 7.9 menjadikan jumlah sebenar yang telah susut dalam tempoh lima tahun ini ialah menghampiri RM8 billion!" tegas Husam dalam blognya.

Perbelanjaan Felda

Husam juga mempertikaikan perbelanjaan yang dibuat Felda sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahmad Maslan.

"Mengenai perbelanjaan pula, perhatikan semula kenyataan Ahmad Maslan di atas. Senarai perbelanjaan sehingga wang itu susut adalah seperti berikut;

"RM2 billion for replanting crops, RM603 million for interest-free housing loans, RM253 million for the Sabah poverty eradication fund and RM662 million for the new Felda headquarters."


a. RM 2 Billion untuk tanam semula
b. RM 603 juta untuk pinjaman perumahan tanpa faedah
c. RM 253 juta untuk program kemiskinan di Sabah
d. RM 662 juta untuk menara baru ibu pejabat Felda

"Pertama : Menara Felda masih dalam pembinaan. Kenapakah bayaran penuh telah dibuat? Mustahil! Kalau masih berlaku, ia satu perkara yang sangat pelik.

Kedua: RM 2 billion untuk Tanam Semula.

"Kenapa guna rezab tunai Felda?" soal Husam.

Beliau bertanya, bukankah Felda mempunyai Tabung Tanam Semula? Bukankah Felda telah mengutip sebanyak RM4 sebulan seekar dari kesemua 112,000 penerokanya untuk lima tahun? Tabung itu sudah mencecah hampir satu billion dan tanam semula tidak pernah menggunakan rezab tunai Felda.

"Adakah kedua-dua kenyataan ini benar? Atau kedua-duanya salah?" soal beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau membuat kesimpulan, kedua-dua kenyataan ini tidak benar adalah lebih menasabah.

"Bermakna, Felda gagal menjelaskan ke mana wang tersebut telah lesap dan Felda juga gagal menjelaskan angka sebenar wang rakyat yang di jaga oleh Felda susut," katanya.

Beliau juga berkata, jumlah yang tidak kecil. Semua perolehan ini adalah dari ladang-ladang getah dan sawit, samada mempunyai peneroka seluas 1.2 juta ekar di seluruh negara mahu pun tanpa peneroka sejumlah 800,000 ekar.

"Jika keuntungan sebesar itu disumbangkan oleh ladang-ladang di Malaysia, apa jaminan pelaburan Felda di luar negara boleh menyaingi apa yang disumbangkan dalam negara?" soalnya lagi.

Husam juga bertanya, bila Datuk Najib memperkenalkan konsep Felda patut mengembangkan sayapnya menjadi pemain global, apa jaminan pengembangan itu akan menyihatkan Felda dan bukan untuk mencabut bulu-bulunya sehingga nanti menjadi burung tanpa bulu?

Setelah Felda melabur di Amerika dan Kanada dalam Twin River Tech masing-masing sebanyak RM300 juta dan RM500 juta, berapakah jumlah keuntungan yang telah dihasilkan?

Secanggih mana teknologi pemprosesan biji bunga matahari dan soya yang ada di kilang ini sehingga pelaburan Felda sedemikian besar? soal Husam.

Dengan RM300 juta yang dibelanjakan dan pegangan 85% dalam TRT itu, mampukah Felda mengawal pengurusannya atau kita sekadar melihat dari jauh sebelum apa-apa terjadi terhadap wang kita sejumlah RM 800 juta itu tadi?

"Jangan jadi seperti kita membeli syarikat motor oleh Proton dulu yang berakhir dengan dijual hanya satu euro!" kata Husam memberikan amaran.

"Tidak semestinya bila Felda mempunyai kilang penapis sawit di sini, pengurusan penapisan bunga matahari nun jauh di Kanada juga kita boleh kuasai.

"Itu pun sebahagian kilang penapis Felda telah pun dijual kepada syarikat dari India untuk membolehkan Felda melabur tak kurang dari RM 688 juta pula dalam penternakan lembu untuk menghasilkan susu dan daging!" katanya.

Beliau juga mempersoalkan, apa istimewanya syarikat pembekal daging lembu (sebenarnya kerbau?) dari India itu tidak dketahui, sehingga selain dapat membeli kilang penapis, dapat pula menikmati diskaun belian minyak sawit mentah sebanyak USD20 per metrik tan sedangkan anak syarikat FELDA sendiri - Felda Vegetable Oil Product cuma diberi subsidi sebanyak RM20 per metrik tan.

Kesimpulannya, kata beliau, semuanya misteri! dan ada "Lubang besar di Felda?" dan "Bagaimana kita rakyat biasa boleh membongkar misteri ini?"


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails