Saturday, June 19, 2010

Eh! Speaker berkuasa pulak?

Kalau kata Timbalan Pengerusi dan SPR ni lidah biawak.. nanti diaorang marah pulak, tapi kenyataan yang dikeluarkan mereka langsung tidak tetap atau berdolak dalik..

Dulu semasa menentukan kerusi DUN Kota Seputih dia orang kata Speaker tiada kuasa, begitu juga dengan apa yang berlaku di Perak dulu...

Tapi bila terjadi isu status kerusi Parlimen Batu kali ini, dia orang akan menunggu notis makluman rasmi daripada speaker atau setiausaha Dewan Rakyat..

pulak dah....


Notis Parlimen tentukan pilihan raya kecil Batu, kata SPR


KUALA LUMPUR, 19 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menyerahkan kepada Dewan Rakyat untuk menentukan sama ada wujud kekosongan kerusi Parlimen Batu, sekali gus memutuskan sama ada perlu memanggil pilihan raya kecil.

Badan itu menyatakan pendirian ini ketika teka-teki sama ada negara akan menyaksikan pilihan raya kecil ke-12 dan yang pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak Mac 2008 masuk hari ketiga hari ini.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya hanya boleh menentukan tindakan susulan sama ada perlu mengadakan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya selepas menerima notis rasmi daripada Dewan Rakyat.

“Sekarang keadaan kurang jelas. Karpal (Singh) berkata kerusi itu sudah kosong, Tian Chua pula berkata beliau masih wakil rakyat sah bagi kerusi tersebut.

“Jadi dalam keadaan ini, kita akan menunggu notis makluman rasmi daripada speaker atau setiausaha Dewan Rakyat,” kata Wan Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Wan Ahmad berkata pihaknya memutuskan demikian selepas penasihat undang-undang SPR meneliti implikasi keputusan mahkamah tinggi kelmarin.

“Oleh kerana perkara ini kurang jelas, maka berdasarkan Perkara 53(1) Perlembagaan Persekutuan, kami menyerahkan kepada Dewan Rakyat untuk menentukan status kerusi itu,” kata beliau.

Terdahulu dalam respons kepada The Malaysian Insider, Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Dewan Rakyat akan menyerahkan kepada SPR dan Jabatan Peguam Negara untuk menentukan status Ahli Parlimen Batu yang kini berhadapann dengan risiko dilucutkan kerusi walaupun dendanya diturunkan kepada RM2,000 kelmarin.

Wan Junaidi berkata, bagi mengelakkan masalah berkaitan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Dewan Rakyat akan merujuk kes berkenaan kepada SPR untuk diputuskan.

“Dewan Rakyat tidak perlu membincangkan kes ini... ini adalah kes (kadar denda) yang marginal di mana denda yang dikenakan RM2,000 (di paras sempadan), lebih elok statunya diputuskan oleh Peguam Negara,” kata Wan Junaidi.

Wakil rakyat itu berhadapan dengan risiko itu meskipun hukumannya dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM2,000.

Peguam Tian Chua, 47, yang gagal menemui hakim kes pagi semalam akan bertemu beliau Isnin ini.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, usul mengenai status kedudukan wakil rakyat boleh dibawa oleh mana-mana anggota Dewan Rakyat, katanya.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan ia tidak mendapat pengampunan.

Mengenai keputusan hilang status kelayakan, Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli Majlis Parlimen telah hilang kelayakan menjadi ahli, maka soal itu hendaklah diputuskan oleh Majlis itu dan keputusannya itu adalah muktamad.”

Peruntukan ini menambah, “dengan syarat bahawa Perkara ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menghalang amalan Majlis menangguhkan sesuatu keputusan supaya langkah-langkah (termasuk langkah-langkah membatalkan hilang kelayakan itu) yang mungkin menyentuh keputusannya boleh diambil atau ditamatkan.”

Karpal berkata Tian Chua yang juga Pengarah Strategi PKR tidak lagi sah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Dengan merujuk kepada Ahli Parlimen Menglembu Fan Yew Ting pada 1975 sebagai kes rujukan, Karpal memberitahu Speaker Dewan Rakyat telah mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas beliau didenda RM2,000 ekoran kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Sementara Tian Chua sendiri menganggap beliau masih wakil rakyat yang sah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz juga beranggapan bahawa Pengarah Strategi PKR itu layak memegang terus kerusinya.

Dengan mengambil pandangan Nazri, yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Parlimen itu, Wan Ahmad berpandangan bahawa tidak perlu diadakan pilihan raya kecil.

“Bagaimanapun kita menunggu notis makluman rasmi,” kata Wan Ahmad.

Lagi pun kata beliau, peguam-peguam Tian Chua hendak mengadakan pertemuan dengan hakim kes untuk mendapatkan penjelasan Isnin ini.

“Jadi, bagi SPR keadaan masih belum begitu jelas. Dewan Rakyat akan memaklumkan kepada kami menurut Perkara 53(1) Perlembagaan,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails