Thursday, June 24, 2010

Dr Asri tak jadi masuk UMNO esok

Beliau dikatakan agak kecewa dengan laporan dan dakwaan bahawa beliau mengamalkan fahaman wahabi dan ada kaitan dengan kumpulan JI, dan oleh sebab itu beliau memutuskan ini bukan masanya untuk menyertai Umno...

Jadi apa yang dikatakan khabar angin tentang Dr. Asri akan menyertai UMNO adalah benar, beliau cuma tidak jadi menyertai UMNO esok dan bukannya tidak akan menyertai UMNO..

Dan perbincangan antara Dr. Asri dan pemimpin-pemimpin UMNO akan diteruskan...



Dr Asri tak jadi masuk UMNO esok

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang disebut-sebut akan menyertai Umno esok, dipercayai telah mengubah fikiran ekoran perkembangan semasa yang dirinya dikaitkan dengan fahaman wahabi dan rangkaian pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Sumber yang rapat dengan beliau mengesahkan kepada The Malaysian Insider hari ini bahawa Asri telah mengubah fikiran dua hari lalu untuk tidak menyertai parti utama Barisan Nasional (BN) itu buat masa sekarang.

“Mengambil kira laporan dan dakwaan bahawa Dr Asri mengamalkan fahaman wahabi dan ada kaitan dengan kumpulan JI, beliau memutuskan ini bukan masanya untuk menyertai Umno... beliau agak kecewa dengan apa yang berlaku sejak awal minggu ini,” kata rakan Asri ketika dihubungi.

Bagaimanapun sumber itu menambah, perbincangan antara Asri dengan kepimpinan Umno akan diteruskan.

“Ruang perbincangan belum ditutup,” kata sumber itu.

The Malaysian Insider juga difahamkan penyertaan ke dalam Umno melibatkan sekumpulan 50 yang lain, yang terdiri daripada cendekiawan agama dan ulama akan menyerahkan borang keahlian menyertai parti itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato’ Onn di sini.

“Walaupun Dr Asri tidak masuk Umno, sebagaimana saya katakan sebelum ini, sekitar 50 orang akan menyertai Umno esok... di mana kami akan menyerahkan borang permohonan esok,” kata sumber itu.

“Urusan terakhir sedang dibincangkan, masih ada perkara yang perlu dihalusi,” kata sumber itu lagi.

The Malaysian Insider semalam melaporkan kira-kira 50 orang yang dikategorikan sebagai golongan ulama, dengan kebanyakannya kakitangan akademik, dipercayai akan mengikut langkah Asri jika masuk Umno esok.

Perbincangan itu termasuklah peranan yang bakal mereka hendak bawa jika menyertai Umno.

Pensyarah itu yang enggan namanya disiarkan atas alasan perbincangan dengan kepimpinan Umno masih dijalankan berkata, kira-kira 70 hingga 80 peratus itu merupakan ahli akademik.

“Sebahagian besar adalah ahli akademik, kebanyakannya bertugas di Lembah Klang, yang lain dari luar Lembah Klang,” kata beliau lagi.

Mereka dilihat sebagai golongan ulama muda yang memperlihatkan pandangan progresif mengenai hukum syariah dan undang-undang Islam.

Asri setakat ini belum mengesahkan ataupun menafikan laporan awal Ahad lalu yang mengatakan beliau akan menyertai Umno.

Asri dalam kenyataan disiarkan menerusi blognya berkata beliau belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Oleh itu Asri berkata, beliau mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini.

“Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini,” katanya.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh ketika dihubungi The Malaysian Insider Ahad lalu mengesahkan laporan yang mendakwa Asri akan menyertai Umno tetapi meminta bersabar.

Umno Online memetik beliau menyebut Asri dan mengikutnya akan menganggotai Umno Cawangan Dataran Merdeka yang terletak dalam Bahagian Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Laporan itu memetik Rauf memberitahu beliau percaya penyertaan mereka itu akan menyemarakkan keyakinan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada Umno.

Bagaimanapun rakan-rakan Asri berpandangan beliau harus kekal dengan kedudukan semasa sebagai “cendekiawan berkecuali.”

The Malaysian Insider difahamkan sebahagian besar mesej SMS dan e-mel serta panggilan telefon diterima beliau memintanya agar tidak menyertai mana-mana parti politik.

Selain rakan dan peminat beliau juga berpandangan Asri harus kekal sebagai tokoh yang bebas memberikan pandangan dalam isu-isu berkaitan dengan agama.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails