Sunday, June 6, 2010

Derma tidak akan menghalalkan judi

Janji hartawan Tan Sri Vincent Tan untuk 'menderma' kepada yayasannya adalah 'gula-gula' untuk cuba memujuk rakyat Malaysia supaya menerima sebagai halal apa yang mereka tahu memang haram, kata setiausaha Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ), Suhaizan Kaiat.

"Tan Sri Vincent Tan jangan fikir rakyat Malaysia termakan dengan gula-gula RM525 juta, yang ditabur atas nama kebajikan.

"Tidak ada rakyat yang hidup bahagia kaya raya hasil daripada judi kecuali syarikat judi sahaja yang kaya raya seperti beliau. Duit yang dikaitkan dengan judi tidak boleh membawa manusia hidup bahagia," kata Suhaizan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Tan - yang memiliki syarikat Ascot Sports yang mendapat lesen judi sukan - untuk menderma RM525 juta, hasil jualan Ascot kepada Berjaya Corps - konglomerat yang dikuasainya.

Tan dilaporkan berkata, sumbangan kepada Better Malaysia Foundation, yang menyediakan biasiswa dan bantuan perubatan, adalah untuk menolak dakwaan yang beliau meraih keuntungan daripada hasil jualan Ascot.

Suhaizan berkata, Tan seolah-olah cuba membayar segala tentangan rakyat Malaysia terhadap judi sukan dengan derma tersebut.

"Apalah maknanya dengan angka RM525 juta dibandingkan dengan kerosakan terhadap keluarga, masyarakat dan negara ekoran daripada kelulusan lesen judi sukan ini. "Negara terpaksa membayar kerosakkan ini dengan nilai yang jauh lebih besar daripada derma yang akan disalurkan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, GMJ akan berkempen seluruh negara membantah lesen judi sukan sehingga lesen ini ditarik balik.

"Saya menasihatkan kepada Tan Sri Vincent Tan agar menyerahkan duit derma tersebut kepada pihak yang meluluskan lesen judi tersebut. Barangkali mereka memerlukan," tambahnya.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails