Thursday, June 17, 2010

Denda RM2,000 : Adakah Tian Chua sudah selamat?

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Ahli Parlimen Batu dari PKR Tian Chua dan partinya boleh menarik nafas lega dengan keputusan mahkamah rayuan yang mengurangkan hukumannya kepada RM2,000 atau penjara dua bulan petang ini.

Tetapi timbul persoalan sama ada Pengarah Strategi PKR itu boleh mengekalkan kerusinya.


Tian Chua menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakannya

Bagaimanapun beberapa peguam yang dihubungi denda RM2,000 yang dikenakan sudah cukup kuat untuk menganggap Tian Chua sudah tidak layak untuk kekal sebagai wakil rakyat.

Sebelum ini, Tian Chua dikenakan denda RM3,000 atau enam bulan penjara setelah disabitkan kesalahan berhubung tuduhan mencederakan seorang anggota polis dengan cara menggigit lengannya.

Rayuannya didengar hari ini, di depan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha.

Pakar undang-undang dari Universiti Teknologi Mara Datuk Dr Shad Saleem Faruqi mengakui denda RM2,000 sudah cukup untuk memutuskan Tian Chua tidak layak memegang kerusinya lagi.

Ketika rayuan disebut pada 4 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt memaklumkan bahawa kedua-dua pihak baru menerima alasan penghakiman dan memerlukan masa untuk memfailkan petisyen rayuan.

Tian Chua, 47, atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman bersalah mencederakan konstabel Mohd Rosyaidi Anuar, 22, ketika anggota polis itu sedang menjalankan tugasnya dalam satu perhimpunan di Parlimen, 11 Dis 2007.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan ia tidak mendapat pengampunan.

“Ini boleh dianggap sebagai satu kemenangan,” kata wakil rakyat itu kepada pemberita sebelum bergegas untuk menjelaskan denda sebelum kaunter ditutup pukul 4 petang.

Jika tidak membayar denda beliau perlu berada di penjara.

Dengan diiringi senyuman Chua berkata, beliau terkejut dengan keputusan itu dan menghargai pertimbangan hakim yang membolehkan pilihan raya kecil dielakkan, sekali gus mengelakkan kos kepada kerajaan.

Negara telah menyaksikan 11 pilihan raya kecil sejak Mac 2008.

Ghazali berkata soal hukuman merupakan budi bicara sepenuhnya hakim perbicaraan berkenaan kecuali yang melibatkan hukuman mati.

“Dalam kes ini perayu adalah pesalah pertama. Tidak dapat dinafikan juga bahawa tiada keistimewaan patut diberikan kepada beliau sebagai ahli parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, katanya jika hukuman yang dijatuhkan boleh menjadikan Tian Chua, 47, tidak layak menjadi seorang anggota Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

“Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara berbagai-bagai bangsa.

Di atas alasan ini, saya berpendapat suatu hukuman yang setimpal yang tidak melibatkan banyak pihak adalah merupakan suatu hukuman yang adil. Hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret diketepi dan digantikan dengan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara,” katanya.

Beliau menasihatkan Chua supaya lebih berhati-hati dengan tindak tanduknya.

“Seorang Ahli Parlimen merupakan pemimpin di kawasan diwakilinya dan teladan kepada rakyat,” kata Hakim Ghazali.

Chua mengulangi bahawa beliau tidak bersalah dengan tuduhan dikenakan tetapi tidak mengulas lanjut sama ada akan mengemuakkan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Pendakwa raya boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails