Wednesday, June 23, 2010

BN Sarawak Dijangka Bermesyuarat Hujung Minggu Ini,

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Sarawak dikatakan akan bermesyuarat pada hujung minggu ini yang segera menimbulkan spekulasi bahawa kerajaan negeri mula bersiap sedia bagi kemungkinan pilihan raya negeri diadakan lebih awal sebelum penggal sekarang berakhir pada Julai tahun depan.

Beberapa pemimpin BN mengesahkan bahawa satu mesyuarat akan diadakan hujung minggu ini.
Namun mereka menutup mulut tentang agenda mesyuarat.

"Ya, kami akan bermesyuarat munggu ini, tetapi ia bukan untuk liputan media," kata seorang pemimpin negeri.

Namun sumber parti memberitahu, mesyuarat itu akan memfokuskan kepada persediaan ke arah kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri pada tahun ini, selepas Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) iaitu parti terbesar dalam komponen BN Sarawak, selesai berkampung atau melakukan retreat di Mulu yang bermula Isnin lalu dan berakhir Jumaat ini.

PBB memiliki 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) sebanyak 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebanyak sembilan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebanyak lapan kerusi.

Hanya SUPP dan PRS hilang kerusi DUN kepada pembangkang dalam pilihan raya negeri terakhir sebelum ini pada 2006 sementara PBB dan SPDP menang semua kerusi.

SUPP diperuntukkan 19 kerusi, tetapi hilang lapan kerusi terutama kepada DAP sementara PRS yang diperuntukkan 10 kerusi, kalah kerusi Ngemah kepada Bebas.

Sarawak mempunyai 71 kawasan DUN.

Sejak akhir-akhir ini timbul cakap-cakap bahawa pilihan raya DUN mungkin diadakan tahun ini juga walaupun BN baru sahaja tewas dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Sibu di mana calon SUPP gagal mempertahankan kerusi tersebut setelah tewas kepada calon DAP.

Cakap-cakap itu menjadi lebih hangat diperkatakan selepas Ketua Menteri dan Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada minggu lalu berkata bahawa "beliau telah memutuskan pilihan raya negeri akan datang akan diadakan pada `satu hari Sabtu' tanpa mengulas lanjut maksudnya itu kepada pihak media.

Namun beliau menolak spekulasi bahawa pilihan raya akan diadakan pada bulan Oktober berikutan terdapat beberapa pendapat dari pakar feng shui bahawa angka 10/10/10 atau 10 Okt 2010, merupakan satu hari Ahad yang sesuai untuk diadakan pilihan raya negeri Sarawak.

Sudah pasti ramai pihak yang menunggu-menunggu hasil mesyuarat pada hujung minggu ini.


BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails