Tuesday, June 29, 2010

Bertasbih, tapi menghalalkan yang haram

Dari TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

June 29, 201029 JUN — Di antara perkara yang sangat-sangat menggembirakan saya ialah apabila pimpinan PAS yang tidak mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi (termasuk yang tidak berpendidikan formal dalam bidang agama) telah menunjukkan kemampuan dalam menghurai sesuatu dalam konteks Islam dengan begitu baik. Yakin sungguh di hati kecil saya, inilah kesan daripada perjuangan PAS yang dipimpin golongan ulama’.

Hasilnya, golongan dilihat telah mampu memahami dan menghuraikan aspek kehidupan dari perspektif Islam dengan jelas. Ia merupakan hasil didikan dan tarbiyah yang diperolehi di dalam PAS. Berbeza dengan Umno yang dilihat membekukan golongan ulama’. Jika tidak, mana mungkin sesuatu yang haram seperti judi, boleh dilesenkan sebagai halal.

Saya menyentuh begini kerana ada peristiwa menarik hati saya sewaktu penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan tempoh hari (9 Rejab 1431/22 Jun 2010). Ia adalah sidang kali ke-2 bagi tempoh penggal ketiga Dun Kelantan yang Ke- 12.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PAS menghuraikan falsafah solat begitu tepat sekali, walaupun tidak mendapat pendidikan agama yang tinggi secara formal. Jika boleh saya nukilkan kembali bagaimana YB Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) menyebut betapa peliknya sesetengah Muslim yang sewaktu rukuk dan sujudnya menyebut tasbih meninggikan Allah SWT, tetapi di dalam masa yang sama menyokong judi dihalalkan.

Tidakkah terdetik di hati kecil mereka betapa salahnya apa yang mereka lakukan. Dahi sujud kepada Allah membisik tasbih, memuji Allah SWT dengan mengaku bahawa Allah SWT yang Maha Tinggi, tetapi di luar solat mengangkat tangan bersetuju dengan judi. Tidakkah terdetik rasa malu kepada Allah SWT?

Saya ingin menambah dalam coretan ringkas ini. Sebenarnya Kerajaan Umno/BN melesenkan judi untuk meraih pendapatan yang lebih. Dalam erti kata lain untuk mendapat kemakmuran. Sedar atau tidak, persoalan kemakmuran telah disebut jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Jika saya diberi peluang berkuliah kepada pimpinan Umno, ingin sekali saya membaca ayat daripada Surah Al A’raf, ayat 96 yang bermaksud:

“...Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya...”

Sudikah kiranya pemimpin Umno yang beragama Islam mengambil sedetik dua masa untuk menelaah ayat ini? Jika sudi, perhatikanlah bagaimana janji Allah untuk melimpahkan segala macam berkat hanya apabila manusia beriman dan bertakwa.

Kemakmuran ialah satu keberkatan. Kemakmuran bukannlah bermakna kemewahan semata-mata. Hidup kaya raya tetapi hati susah bukan makmur namanya. Negara mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat jelata begitu teruk. Itu bukan makmur namanya. Sedangkan kami di Kelantan percaya bahawa keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT, dan atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan.

Sayangnya, pimpinan Umno pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran di atas. Barangkali, jika masih ada golongan ulama’ yang berminat mahu berada di dalam kubang Umno, saya hanya mampu untuk bersimpati.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails