Wednesday, June 23, 2010

Berjudilah…..ke arah kesejahteraan hidup!

Inilah jalan mudah untuk mendapatkan hasil bagi kerajaan yang kini terdesak dengan masalah ekonomi dan kewangan.

Inilah punca kewangan baru bagi menampung defisit belanjawan negara.


Berjudilah…..ke arah kesejahteraan hidup!

Kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz Ahad lalu yang menyatakan langkah kerajaan memberi lesen menjalankan perniagaan perjudian kepada Ascott Sports Sdn Bhd memberi suntikan baru kepada mereka yang gemar berjudi.

Dipetik dari satu news portal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata lagi, amalan bertaruh merupakan sebahagian dari cara hidup bagi sesetengah masyarakat bukan Islam di negara ini.

Benarkah judi merupakan budaya dan sebahagian dari cara hidup yang dibenarkan oleh agama-agama lain, selain agama Islam? Bolehkah amalan berjudi boleh membawa kepada kesejahteraan hidup?

Langkah kerajaan untuk meluluskan lesen pertaruhan ini (walaupun belum dimuktamadkan) dilihat sebagai satu usaha untuk menangguk di air keruh dan menghalalkan yang haram.

Daripada hilang kutipan pertaruhan kepada sindiket judi haram yang mencecah nilai berbilion ringgit, lebih baik menghalalkan judi sukan ini. Sekurang-kurangnya kerajaan dapat mengutip hasil.

Begitulah hujah dan daya fikir manusia berfahaman sekular yang dianuti oleh para pemimpin Umno-Barisan Nasional.

Dalam laporan akhbar berbahasa Inggeris semalam, dalam tempuh 10 hari pertama di kejohanan bolasepak Piala Dunia di Afrika Selatan, sindiket judi haram telah berjaya mengutip pertaruhan bernilai RM300.7 juta daripada rakyat Malaysia.

Kerajaan telah pun mengira apabila syarikat yang dikuasai oleh Vincent Tan ini memulakan operasi pertaruhan sukan ini nanti, kerajaan akan dapat mengutip sebanyak RM480 juta setahun, iaitu 8 peratus cukai dari hasil pendapatan dianggarkan bernilai RM6 bilion.

Memandangkan protes dan desakan daripada pelbagai lapisan masyarakat semakin memuncak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataannya di Parlimen baru-baru ini menyatakan kelulusan lesen ini belum dimuktamadkan lagi sementara kerajaan mengumpul maklum balas daripada orang ramai.

Tetapi menurut sumber penganalisa pasaran di sebuah syarikat pelaburan, kelulusannya menunggu masa sahaja. Ertinya lambat laun kerajaan akan meluluskannya jua.

Membangkitkan kemarahan rakyat

Buat masa ini, kerajaan sedang menanti agar kemarahan rakyat yang sedang membuak-buak menjadi reda sedikit. Lambat laun rakyat akan lupa. Itulah yang diharapkan oleh kerajaan.

Persoalannya, kerajaan oleh kerana terdesak dengan masalah ekonomi dan kewangan maka kerajaan perlu segera mencari punca-punca kewangan baru bagi menampung defisit belanjawan negara.

Inilah jalan mudah untuk mendapatkan hasil. Tetapi bagaimana dengan masalah moral dan sosial ekoran dari berleluasanya aktiviti judi di negara ini.

Sudahlah rakyat ditimpa dengan kesempitan hidup akibat inflasi dan barang keperluan harian yang meningkat sebanyak lima peratus setahun. Gejala dan ketagihan berjudi akan membawa kesan yang lebih buruk kepada anggota masyarakat terutama golongan miskin dan sederhana.

Nilai wang yang semakin mengecut ini yang sepatutnya dibelanjakan untuk menyara hidup keluarga seperti membeli makanan, susu anak, rawatan perubatan dan seumpamanya disalah gunakan untuk membeli nombor-nombor pertaruhan sukan, yang akhirnya merugikan kaki judi sendiri tetapi menguntungkan syarikat judi itu.

Di samping bertanggungjawab untuk memulih dan memacu pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan juga bertanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang kondusif dan bersih serta memastikan kehidupan yang sejahtera untuk warga negaranya.

Bagaimana dengan cara menambah-luaskan aktiviti judi dapat membawa kesejahteraan kepada rakyatnya dan membawa kehidupan yang lebih baik? Sukar untuk difikirkan. Hanya manusia yang rosak akhlak (moral) sahaja yang memikirkan aktiviti judi membawa kebaikan.

Barangkali Nazri harus mengambil iktibar dari kenyataan rakan sejawatnya Dr Koh Tsu Koon dalam satu sidang akhbar tentang hal ini. Katanya, kegiatan berjudi boleh mendatangkan kesusahan hidup kepada sesiapa yang terlibat termasuk masalah moral dan sosial.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails