Saturday, June 5, 2010

Bantahan dan demonstrasi



5 JUN — Minggu lalu ruangan ini memaparkan soal kepentingan angka dalam kehidupan manusia. selain maklumat yang amat penting untuk memudahkan seseorang membuat keputusan, angka juga mempunyai peranan yang sama.

Pelabur yang ingin menanam modal di sesebuah negara perlu mengetahui terlebih dulu pelbagai maklumat mengenai suasana politik, budaya, sikap rakyat, kemudahan yang disediakan, insentif dan sebagainya.

Mereka tidak mahu melakukan sebarang kesilapan yang boleh menyebabkan syarikat rugi. Lihat saja apa yang berlaku kepada beberapa syarikat Malaysia yang terpaksa menanggung rugi kerana melabur di luar negara.

Begitu juga, pelabur perlu mengetahui angka yang membabitkan jumlah penduduk, nilai wang, kadar upah pekerja dan nilai hartanah selain faktor permintaan kerana ia penting untuk mengukur kedudukan sesebuah negara.

Pertumbuhan suku pertama 10.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjadi tarikan pelabur dan kemudian kedudukan Malaysia di tempat ke sepuluh dari segi saingan lebih meyakinkan pelabur untuk meluaskan perniagaan mereka di negara ini.

Jika lengkap dengan maklumat dan disokong angka yang meyakinkan, ia meningkatkan keyakinan dan menyukarkan mereka daripada dieksploitasi atau ditipu.

Selain maklumat dan angka, satu lagi faktor penting ialah emosi. Dalam suasana politik di Malaysia, soal emosi rakyat sangat dititikberatkan. Kerajaan menjadikan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” sebagai gerakan untuk membantu rakyat menerusi Gagasan 1 Malaysia.

Semua ini berkait rapat dengan cara kerajaan menangani isu rakyat dengan berkesan dan cuba memahami emosi rakyat. Pembangkang juga mempunyai cara mereka dan ada kala melakukannya secara agresif.

Pada dua pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Selangor dan Sibu, Sarawak jelas menunjukkan faktor emosi mempengaruhi keputusan pengundi. itulah sebabnya emosi adalah satu elemen yang perlu dipelihara.

Pada pilihan raya, emosi pengundi diterjemahkan kepada angka. Pengundi yang menunjukkan sikap tidak berpuas hati dengan parti atau calon, akan menyokong parti dan calon saingannya.

Pada sesuatu pilihan raya, faktor calon sangat penting. Calon perlu diterima pengundi. Sikap calon yang bertentangan dengan emosi pengundi tidak mendapat undi pengundi selain faktor politik yang lain.

Untuk mendapat sokongan, parti atau calon mesti berkongsi emosi politik dengan pengundi. Emosi juga mempunyai komponen sosial dalam sesuatu keputusan. Pengundi yang marah, akan menunjukkan kemarahannya dengan mengundi parti lawan kerana kemarahan mempunyai merit dalam keputusan politik.





Emosi juga boleh ditunjuk secara terbuka. Demonstrasi di seluruh negara berikutan tindakan Israel menyerang misi kemanusiaan di atas kapal Mavi Marmara luar perairan Gaza menyebabkan 19 terbunuh, menunjukkan betapa emosi rakyat dunia boleh digabungkan.

Hanya dengan satu kejadian, emosi rakyat berbeza latar belakang, warna kulit dan agama digabungkan dengan satu tujuan – mengecam kezaliman zionis.

Cuma, seperti biasa, ada kuasa besar yang terus membisu atas dasar ikatan politik dengan Zionis. Kebanyakan negara dunia mengutuk Israel bukan disebabkan komando Yahudi melanggar peraturan dan undang-undang antarabangsa semata-mata, sebaliknya, kemarahan mereka berikutan tindakan tidak berperikemanusiaan dan zalim Yahudi membunuh mereka yang memperjuangkan keamanan dan kedamaian sejagat. Sikap Israel itu memberi kesan emosi negatif kepada masyarakat dunia.

Berikutan kesan emosi inilah rakyat di negara yang benci Israel menunjukkan pendirian dan kemarahan dengan mengadakan mengadakan demonstrasi membantah perangai buruk Israel itu.

Sepantas kilat, masyarakat dunia berarak di jalan raya dan di tempat tertentu untuk menunjukkan benci mereka kepada rejim Yahudi. Masyarakat Malaysia menerusi pelbagai pertubuhan politik, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi sosial, agama dan individu turut mengadakan demonstrasi dengan melaungkan kecaman keras terhadap kekejaman yang dilakukan itu.

Isnin ini, satu usul khas akan dibentang di Parlimen Malaysia berhubung isu ini. Tindakan emosi rakyat dan negara dunia, mungkin boleh menimbulkan gejala lebih buruk seandainya tidak dikawal. Apabila emosi tidak dapat dibendung, ia berkesudahan dengan peristiwa tidak diingini, malah boleh mencetuskan pertempuran dan peperangan.

Masyarakat dunia mempersoalkan, ketika Amerika Syarikat dan sekutunya berusaha menggempur sebarang kegiatan pengganas, mengapa perbuatan tidak berhati perut Israel ini tidak dianggap sebagai pengganas.

Perbuatan ganas Israel yang tidak disusuli tindakan politik bukan saja menimbulkan persoalan besar tetapi bantahan politik. Jika rakyat dunia diminta mengundi sama ada Israel perlu atau tidak dikenakan hukuman, jawapan paling besar diterima ialah “Ya”.

Emosi rakyat dunia sering dijolok sekian lama berikutan satu demi satu perbuatan jahat Israel terhadap masyarakat dunia khasnya di Palestin. Ia sudah sampai ke tahap sukar dibendung.


Berita Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails