Sunday, June 20, 2010

Asri sertai Umno Jumaat ini?

Dari UMNO online ni...



KUALA LUMPUR, 20 Jun — Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menjadi rebutan parti-parti politik Melayu Islam sejak setahun lalu dijangka akan menyertai Umno Jumaat ini.

“Keadaan nampak macam begitu, kita tunggu sehingga Jumaat ini,” kata Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh ketika dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi.

Turut akan sertai bersama beliau iala kira-kira 100 ulama muda berkelulusan tinggi.

The Malaysian Insider difahamkan mereka akan menyerahkan borang penyertaan sebelum Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat bulanan Jumaat ini.

Dalam pada itu Asri (gambar, dua dari kiri) berkata, sehingga kini beliau belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Oleh itu Asri berkata beliau mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini.

“Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini.

“Saya berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan untuk umat Islam dan para pendakwah Islam yang ikhlas,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas.

Asri yang terkenal dengan pendirian progresif kini berhadapan dengan tindakan undang-undang Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah akhir tahun lalu.

Umno Online pula menyebut mereka akan menganggotai Umno Cawangan Dataran Merdeka yang terletak dalam Bahagian Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Laporan itu memetik Rauf memberitahu beliau percaya penyertaan mereka itu akan menyemarakkan keyakinan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada Umno.

“Perkembangan itu akan menyemarakkan keyakinan Melayu kepada Umno, kita akan menuju pilihan raya umum ke-13 dengan Umno yang lebih cemerlang,” kata beliau ketika berucap pada persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang di sini, semalam.

Rauf yang juga Ketua Bahagian Umno Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan Umno lebih segar, “dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia.”

Datuk Seri Shahidan Kassim yang merasmikan persidangan itu memuji usaha Umno Bukit Bintang untuk menarik 100 ulama menyertai parti utama Barisan Nasional.

“Saya berkawan dengan ulama ini sudah lama, tetapi tidak pernah saya dapat ajak mereka libat diri di dalam perjuangan (secara langsung di dalam parti) ini.

“Saya rasa kalau 100 ulama ini dapat kita terjemah sebagai 100 kekuatan luar biasa di dalam Umno, Pas tidak akan tidur lena.”

Dalam pada itu Shahidan ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu beliau tiada apa-apa maklumat mengenai kemungkinan penyertaan Asri ke dalam Umno.

“Saya tidak tahu apa-apa lagi, nanti saya menelefon Dr Asri nanti,” kata Shahidan yang dilihat sebagai rakan Asri.

“Kalau beliau sertai Umno, saya menyambut baik langkah Dr Asri,” katanya lagi.

Asri disebut-sebut akan menyertai PAS atau Umno sejak awal tahun lalu.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails