Sunday, May 9, 2010

UMNO cuba rosakkan perpaduan kaum.



JERANTUT, 9 Mei: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perpaduan kaum yang wujud selama ini cuba dirosakkan oleh fahaman rasis Umno terutama setelah mereka kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina dan India selepas pilihanraya umum yang lalu.

Justeru, katanya Pakatan Rakyat (PR) tidak akan membenarkan mana-mana pihak yang memainkan sentimen perkauman yang boleh memecahkan perpaduan kaum yang terdapat di negara ini.

“Pakatan Rakyat tidak akan benarkan mana-mana orang yang mengapi-apikan isu perkauman yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negara ini. Apa yang merosakkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini antara antara orang Melayu dan Cina, Melayu dan India adalah Umno.

“Mereka mengamalkan fahaman rasis yang merosakkan usaha menyatu padukan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam anjuran Pakatan Rakyat Jerantut, di sebuah hotel di sini malam tadi.

Menurut Nizar, isu perkauman yang dimainkan oleh Umno kerana mereka berada dalam keadaan yang amat tersepit apabila kehilangan sokongan masyarakat bukan Melayu terutama masyarakat Cina yang begitu konsisten kepada Pakatan Rakyat sebagaimana yang ditunjukkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, baru-baru ini.

”Umno sekarang ini berada dalam keadaan yang amat tersepit akibat kehilangan sokongan masyarakat bukan Melayu terutama dari masyarakat Cina di Hulu Selangor. Kita dapati sokongan orang bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat begitu konsisten. Oleh sebab itu mereka mainkan isu perkauman,” katanya.

Mengenai masa depan untuk menguasai politik negara, Nizar berkata Pakatan Rakyat begitu berkeyakinan pada pilihan raya umum akan datang rakyat akan memberikan sokongan sehingga membolehkan berlakunya perubahan politik besar-besaran.

”Kalau kita tengok keadaan semasa dan kalau kita boleh urus sokongan rakyat yang ada kita amat berkeyakinan masa depan Umno BN akan berkubur selepas pilihan raya umum ke 13 akan datang,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 500 tetamu kebanyakannya masyarakat Cina dan India memenuhi dewan dan memberikan tepukan gemuruh setiap kali Nizar menyatakan PR akan menang pilihan raya umum akan datang.

Turut berucap ialah Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pahang, Balasubramaniam, Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, Yang Dipertua PAS Jerantut, Dr Hamzah Jaafar serta pimpinan setempat.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails