Monday, May 31, 2010

Tiada Siapa Nasihat Saya Lapor Polis, Kata Mohd Saiful

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin bahawa beberapa individu lain yang ditemuinya tidak memintanya membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Mohd Saiful, 25, berkata antara individu yang ditemuinya itu adalah Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas setiausaha politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd Noor, pegawai kanan polis Datuk Mohd Rodwan Yusof (yang kini menjawat Ketua Polis Melaka), ratu trek negara Datuk Mumtaz Jaafar, rakannya Rahimi Osman, bapa saudaranya yang dikenali sebagai Tuah dan seorang guru agama yang dipanggil Atuk.

Mohd Saiful, saksi utama dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu, berkata bahawa selepas membuat aduan yang beliau diliwat oleh Anwar kepada tujuh individu itu, beliau tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Menjawab soalan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, semasa pemeriksaan balas, Mohd Saiful berkata tiada siapa yang menasihatinya supaya membuat laporan polis disebabkan mereka bimbang tentang masa depannya kerana beliau masih muda.

Karpal: Ada Timbalan Perdana Menteri beri apa-apa nasihat?

Mohd Saiful: Pada mulanya beliau terkejut, ragu-ragu. Tapi lepas cerita dengan terperinci, beliau kata beliau tidak boleh buat apa-apa kerana ini adalah masalah peribadi Anwar dan melibatkan masa depan saya.

Karpal: Adakah pada bila-bila masa anda membuat laporan polis mengenai aduan yang dibuat kepada Timbalan Perdana Menteri, dan orang lain tadi?

Mohd Saiful : Sebelum 26 Jun 2008 (dakwaan berlaku liwat), saya tidak membuat laporan polis.

Karpal: Tidak ada siapa yang beri nasihat kepada anda supaya membuat laporan polis?

Mohd Saiful : Tidak ada. Mereka bimbang tentang masa depan saya.

Kepada soalan Karpal sama ada beliau mengetahui mengikut Seksyen 13 Kanun Prosedur Jenayah, adalah menjadi satu kewajipan seseorang itu membuat laporan polis sekiranya mengetahui mengenai kejadian liwat, Mohd Saiful berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

Karpal : Jika TPM atau yang lain tidak membuat laporan polis, mereka telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjarakan. Tahu atau tidak?

Mohd Saiful : Saya tidak tahu.

Karpal : Tidak mengapa, saya akan beritahu awak sekarang. Apa yang anda beritahu TPM adalah perkara serius iaitu anda diliwat tanpa kerelaaan.

Sebelum Karpal menghabiskan soalannya Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan, membantah kerana itu bukannya soalan tetapi merupakan komen dan ini dipersetujui oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mendengar perbicaraan kes itu.

"Saya mahu dengar soal bukannya komen. Teruskan dengan solan," kata Mohamad Zabidin kepada Karpal.

Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Kepada soalan lain oleh Karpal, Mohd Saiful, menafikan tujuan beliau mengangkat sumpah di masjid beberapa hari sebelum hari penamaan calon pada pilihan raya kecil Permatang Pauh merupakan rancangannya supaya Anwar kalah pada pilihan raya itu.

Karpal : Kenapa buat pada tarikh dekat dengan hari penamaan calon?

Mohd Saiful : Ini kebetulan (jawapan Mohd Saiful membuatkan orang awam yang duduk di tempat duduk awam ketawa). Saya nak angkat sumpah awal pada bulan Julai tapi keadaan tidak izinkan.

Karpal : Saya cadangkan ini rancangan anda untuk tentukan Anwar kalah. Itu tujuannya, bukan?

Mohd Saiful : Tidak setuju.

Mengenai soalan Karpal bahawa beliau mempunyai banyak peluang untuk melarikan diri kepada pengawal keselamatan kondominium atau menjerit semasa kejadian liwat dan mengapa tidak menggunakan peluang itu, Mohd Saiful menjawab bahawa beliau tidak menggunakan peluang itu.

Kepada soalan lain mengenai keluarganya, Mohd Saiful berkata ibubapanya telah bercerai ketika beliau berumur tujuh tahun dan beliau tinggal dengan bapanya dan adiknya, Saidati.

Menjawab soalan Karpal mengenai sama ada adiknya telah berkahwin, Mohd Saiful berkata pada tahun lepas adiknya telah dibawa lari ke Thailand dan beliau tidak pasti sama ada adiknya telah berkahwin atau tidak.

Karpal kemudiannya memohon supaya pemeriksaan balasnya terhadap Mohd Saiful ditangguhkan dan pihaknya akan memanggil semula Mohd Saiful.

Menjawab soalan, Mohamed Yusof dalam pemeriksaan semula, Mohd Saiful berkata beliau tidak pernah memberitahu Dr Osman Abdul Hamid dari Pusrawi, yang merawatnya, bahawa ada terdapat kemasukan objek plastik di bahagian duburnya.

Ketika diminta membaca laporan perubatan oleh Dr Osman, Mohd Saiful berkata beliau tidak berapa jelas dengan laporan perubatan yang ditulis tangan itu.

Menjelaskan semula mengenai kenyataan medianya kepada laman web Malaysia Kini, bahawa kejadian liwat itu merupakan pertama kali berlaku, Mohd Saiful berkata : "Maksud kenyataan saya itu ialah kejadian yang berlaku adalah pertama kali yang dilakukan oleh Anwar".

Kepada soalan lain, Mohd Saiful juga berkata semua orang yang beliau temui berhubung kejadian liwatnya tidak menggalakkan beliau membuat laporan polis kerana bimbang dengan masa depannya kerana beliau masih muda.

Perbicaraan disambung petang ini.

Pada permulaan prosiding Karpal membuat permohonan untuk melawat semula ke tempat kejadian dan mahkamah membenarkan permohonan itu dan pihak polis sedang mengatur lawatan ke kondominium itu.

Hakim Mohamad Zabidin menetapkan agar lawatan itu dibuat pada 2.30 petang Selasa.


BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails