Friday, May 14, 2010

Salah siapa jika rakyat tumbangkan BN di Sibu

Harus diingat, trend kekalahan di saluran mengundi dalam Pilihanraya Negeri 2006 dan Pilihanraya Umum 2008n meningkat daripada 31 kepada 61. Harus diingat, BN menang 75 dalam tahun 2006 sebelum menjunam kepada 48. Malah 61 kalah berbanding 48 kemenangan bukan suatu angka yang cantik walaupun BN memenangi pilihanraya itu dengan majoriti 3,235 undi. Itu semua UNDI POS!!




oleh Abdul Hakim Bujang

Secara ilmiahnya, 45% daripada pengundi berdaftar yang layak membuang undi dalam pilihanraya kecil Sibu ini nanti tergolong dalam kumpulan muda-mudi yang berusia di bawah 40 tahun.

Kumpulan ini boleh disifatkan sebagai pengundi atas pagar yang membuat keputusan berdasarkan isu semasa serta pengaruh persekitaran. Faktor seperti parti politik yang dianggotai atau kesetiaan terhadap pihak-pihak tertentu bukan jaminan siapa yang bakal diundi oleh manusia pada usia sebegini.

Mereka cenderung untuk meluahkan fikiran atau perasaan yang terbuku dengan cara yang terbuka, dan implikasinya cukup serius jika ada pihak yang berjaya meyakinkan mereka bahawa pilihanraya kecil Sibu ini tidak memberikan sebarang makna besar terhadap lanskap politik negara.

Siapa pun menang, pemerintahan tetap kekal di tangan Barisan Nasional (BN) manakala Pakatan Rakyat (PR) pula tetap akan memainkan peranan selaku pembangkang.

Jika dilihat dari dekat 5,760 pengundi di Bawang Assan atau 32% daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar merupakan kumpulan anak muda berdarah panas ini. Di kerusi Nangka pula seramai 8,003 atau kira-kira 60% manakala di Pelawan seramai 10,501 orang atau 44% merupakan pengundi muda.

Harus diingat, BN menang tipis di Pelawan dengan majoriti cuma 263 undi. BN juga harus berjaga-jaga kerana Nangka bukan lagi jaminan undi automatik meskipun Datuk Awang Bemee Ali Basah pernah menang besar dengan majoriti 4,815 undi dalam tahun 2006.

Petugas-petugas barisan hadapan pemuda BN yang dihujani dengan bedilan-bedilan penduduk, merayu Ketua Menteri supaya menasihati ADUN Nangka supaya jangan turun padang. Semolek-moleknya ADUN Nangka diberikan tiket untuk melawat Uganda selama seminggu sehingga pilihanraya kecil ini selesai.

Belum jam 9 pagi, hari ini, Khamis 6 Mei 2010, saya menerima satu pesanan ringkas menyatakan bahawa pengundi Nangka akan menggunakan pilihanraya ini sebagai medan untuk meluahkan protes terhadap ADUN mereka. Saya mendengar omelan sebegini dari tiga sumber berbeza – Pemuda PBB, Perisik Kerajaan dan muda-mudi professional yang berasal dari Sibu.

Mungkinkah sumber saya sekadar berkomplot dan ingin menabur fitnah bagi memburuk-burukkan ADUN Nangka agar digugurkan, kita lihat nanti.

Luahan anak-anak muda Nangka melalui Facebook tentang masalah asas di kampung-kampung mereka cukup jelas menggambarkan betapa kecewanya mereka terhadap tahap khidmat wakil rakyat mereka. Selaku kaum minoriti di bumi sendiri, sudah semestinya rasa terkilan itu berbaur cemburu melihat peruntukan sekadar melimpasi kampung mereka menuju perkampungan bukan Melayu atau kawasan bandar.

Sewaktu menikmati sarapan pagi bersama saudara Henry Ling, pengerusi Sarawak United People Party (SUPP) pada Ahad yang lalu, saya bertukar maklumat dengan beliau.

Luahan beliau serta hasil risikan kawan-kawan saya yang berada di barisan hadapan tidak jauh bezanya. Semua orang tahu masyarakat Cina cukup berdikari. Mereka berasa kecewa kerana polisi kerajaan yang mendiskriminasi mereka. Segala keutamaan membelakangkan mereka baik dari segi peluang berniaga, berkerja mahupun belajar.

Kekecewaan itu menurut Henry, membuatkan mereka tidak lagi mahu menyokong SUPP yang dilihat sebagai “Sarawak Useless People Party”.

“Kami dilihat sebagai Pak Turut, tidak dapat berbuat apa-apa, lemah maka dalam erti kata lain tidak berguna (useless),” luah beliau.

Henry juga mengakui SUPP masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah dalaman dan idea-idea baharu daripada generasi muda yang ingin menolong parti itu seringn ditolak mentah-mentah oleh kumpulan tertentu sehinggakan anak muda berkebolehan kecewa dan bertindak keluar parti atau menjauhi mereka.

Isu tanah yang gunakan oleh DAP

Henry berkata beliau telah berbelanja besar membeli buku undang-undang tanah seluruh kerajaan negeri di Malaysia bagi membuktikan kadar premium yang dikenakan di Sarawak jauh lebih murah daripada negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Saya masih membaca kesemuanya dan akan menulis mengenainya tidak lama lagi. Bahasa undang-undang terlalu teknikal dan saya perlu mempermudahkan laras bahasa supaya rakyat faham,” kata beliau.

Menurut Henry, apa yang dikemukakan oleh DAP tentang isu tanah tidak betul namun mereka berjaya mempengaruhi rakyat dan berjaya mendapat populariti serta sokongan dengan memperbesarkan isu itu.

“Isu tanah sangat sensitif, mereka berjaya memanipulasi isu tanah dengan undang-undang Zaman Brooke tentang pemilikan tanah adat dan tanah untuk kediaman. Anehnya, negeri yang ditadbir oleh Pakatan sendiri tidak mengamalkan dasar itu malah cukai tanah di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang lebih tinggi dari kita,” kata beliau.

Isu tanah ini dijangka hangat di Sibu kerana penduduk bandar itu beranggapan mereka sekadar menyewa seumur hidup dengan sistem pajakan 60 tahun yang diamalkan di Sarawak.

Keengganan kerajaan Sarawak memberikan pembaharuan secara automatik atau pemberian hak pemilikan kekal membuat rakyat marah. DAP pula mengapi-apikan bahawa premium untuk pembaharuan hakmilik suatu hari nanti sudah semestinya mahal.

Tiada IPTA di Sibu?

Isu pusat pengajian tinggi ini kadang-kadang membuat kita ketawa berdekah-dekah kerana perkara yang berbangkit jauh melangkaui imaginasi kita.

Siapa boleh menyangka kewujudan pusat pengajian tinggi di Sibu boleh mendatangkan masalah kepada kaum ibu yang sudah berumur tetapi mempunyai suami yang ingin kekal remaja?

Mungkin ramai yang sudah lupa bagaimana pusat pengajian tinggi milik SUPP suatu ketika dahulu dikaitkan sebagai pembekal perempuan simpanan oleh DAP. Kehadiran pelajar-pelajar antarabangsa yang cantik molek membuatkan ramai ibu-ibu veteran berasa tergugat apabila melihat suami tiba-tiba “gap” semacam.

Isu itu membuatkan sidang Dewan Undangan Negeri menjadi sangat panas suatu ketika dahulu apabila pengerusi DAP Sarawak, merangkap bakal calon di Sibu nanti membongkar kes “China Doll”.

Tidak cukup dengan itu, tindakan SUPP yang membelakangkan para penderma yang membangunkan kolej impian kaum Cina Sibu ketika menyerahkannya kepada Yayasan Sarawak juga melukakan hati ramai pihak.

Ketika penduduk Mukah yang dahulunya cuma sebuah pekan koboi yang hanya terkenal dengan umai dan tebaloi tersenyum sinis memiliki dua buah Institut Pengajian Tinggi Awam – UiTM dan Politeknik – Sibu masih terus berbangga dengan menara Tua Pek Kong di kawasan Pulau Babi.

Kita tidak tahu di mana silapnya, atau mungkin ada pihak terlepas pandang. Kuching sudah punya begitu banyak IPTA dan institut pengajian tinggi swasta dan Miri sekurang-kurangnya sudah ada Curtin University. Sibu masih menunggu universiti pertama mereka.

Hubungan suram SUPP dan pengundi Iban

Kenyataan pedas Datuk Dr Soon Choon Teck bahawa ahli-ahli Iban SUPP merupakan kumpulan murahan yang dapat dibeli membuatkan masyarakat Dayak Sarawak begitu marah. Ditambah lagi dengan isu berhubung tanah NCR yang belum selesai BN mungkin panas punggung apabila memasuki sesetengah rumah panjang.

Statistik pengundian di kawasan majoriti Iban di Bawang Assan dan Nangka jelas menunjukkan ada trend bahawa rasa tidak puas hati kini dibawa ke peti undi. Kegagalan kerajaan menyukat tanah NCR dan memberi surathakmilik tanah membuat ramai pihak marah. Ada juga yang mendakwa tanah mereka diceroboh tetapi tidak mempunyai bukti hakiki dalam bentuk geran tanah untuk menuntut hak mereka.

Dengan sokongan padu NGO Dayak, SNAP dan aktivis PKR, DAP yang dahulunya hilang banyak undi Dayak kepada BN atau PKR kini mungkin menikmati lebih banyak sokongan dan ini boleh menyebabkan BN kalah terduduk jika SUPP masih berterusan mengambil sikap sambil lewa.

BN perlu buka mata

Harus diingat, trend kekalahan di saluran mengundi dalam Pilihanraya Negeri 2006 dan Pilihanraya Umum 2008n meningkat daripada 31 kepada 61. Harus diingat, BN menang 75 dalam tahun 2006 sebelum menjunam kepada 48. Malah 61 kalah berbanding 48 kemenangan bukan suatu angka yang cantik walaupun BN memenangi pilihanraya itu dengan majoriti 3,235 undi. Itu semua UNDI POS

Dalam tahun 2008 BN kalah di Engkilo, Lan, Kunyit, Dassan, Ensurai, Lower Island, Upper Island, Tanahmas,Disa, Sungai Merah, Pelawan, Bandong, rejang park, Sungai Antu, Gambir, Camar, Oya Lane dan Merdeka.

Dalam tahun 2006 BN menang di Selalo, Dassan, Ensurai, Lan, Rejang Park,Sungai Merah, Disa, sungai Antu dan Engkilo yang menunjukkan kemerosotan jelas dalam bentuk sokongan kepada BN.

Kemenangan besar BN di Bahagia Jaya dan Teku dengan kelebihan 417 undi dan 218 pada tahun 2006 menjunam jauh menjadi sekadar 106 dan 66 pada tahun 2008, apabila pengundi memberikan undi protes kepada DAP dan PKR.Mungkinkah mereka kalah kali ini di dua perkampungan Melayu/melanau ini?

Jumlah kelebihan undi di Rassau, Penasu, Ma’aw dan Seduan juga berkurang masing-masing 995, 712 618 dan 424 pada tahun 2006 kepada 985, 528, 482 dan 389 undi pada tahun 2008. Malah undi pos yang menjadi aset utama BN juga berkurang daripada 2,664 pada tahun 2006 kepada 2,525 pada tahun 2008 apabila 187 undi diberikan kepada pembangkang.

Kekuatan calon BN dan kesungguhan SUPP

Calon BN kali ini merupakan seorang peguam muda yang berasal daripada keluarga terhormat di Sibu. Robert Lau Hui Yew merupakan anak kepada Lau Swee Nguong, pengerusi kumpulan KTS.

Beliau aktif di barisan hadapan dan merupakan ahli Majlis Perbandaran Sibu yang begitu dekat dengan masyarakat bawahan di Sibu.

Berbeza dengan sesetengah calon SUPP Sibu yang mempunyai skandal peribadi, Robert Lau Jr merupakan seorang anak tempatan yang tidak mempunyai kes peribadi.

Malangnya beliau tidak fasih berbahasa Melayu atau bahasa Iban, apalagi hendak bertutur dalam dialek Melanau. Anehnya, ramai anak Melayu, Iban dan Melanau boleh berbahasa Foochow dengan baik.

Sokongan padu yang diberikan oleh kepimpinan SUPP Sibu terhadapnya bakal membantu beliau untuk meraih undi di kalangan masyarakat Cina.

Beliau bagaimanapun mungkin memerlukan pertolongan pemimpin BN yang lain untuk mendapatkan sokongan masyarakat Iban, Melayu dan Melanau.

Dalam konteks pilihanraya Sibu yang dilihat sebagai perlawanan antara Cina melawan Cina, Foochow melawan Foochow, kemungkinan besar penduduk bukan Cina akan mengambil sikap berkecuali kerana menganggap diri mereka tidak relevan.

Siapa pun yang menang nanti, ada yang berpendapat untungnya cuma Cina. Sikap sebegini sekiranya tidak diperbetulkan akan menyebabkan BN mengalami tamparan hebat kerana trend pengundian masyarakat Cina semakin menjauhi SUPP.

Sikap sambil lewa pemimpin SUPP terhadap pengundi Cina di alam siber juga begitu ketara. Kami cuba mencari blog-blog berbahasa Mandarin yang pro BN, malangnya Ketua Pemuda SUPP, Sih Hua Tong dan exco beliau Sim Poh Giap yang merupakan bekas ketua pemberita sebuah akhbar Bahasa Mandarin, langsung tidak berkerjasama.

Sih mulanya dengan yakin berkata berapa blog yang saya mahukan dan apa larasnya, anehnya sehingga hari ini tidak menghubungi saya kembali. Begitu juga dengan Sim.

Saya menghubungi seorang wartawan kanan yang berkhidmat dengan International Times, Lim Kak Chiang beliau dengan jujur berkata SUPP mungkin cuma punya satu blog berbahasa Mandarin yang dikendalikan oleh seorang moderator di Sibu. Apabila ditanya, apakah SUPP Kuching punyai jentera blog mandarin, Lim jujur berkata, “tidak”.

Saya juga menghubungi Henry Ling untuk mendapatkan pengesahan, beliau berkata tidak pernah mendengar tentang blog pro BN dalam Bahasa Mandarin di Sarawak. Nampaknya SUPP masih mengamalkan perang zaman kuno ketika DAP sudah menggunakan tentera-tentera siber. Apakah ini bermakna ketua publisiti SUPP Alfred Yap akan menghunuskan Kwangtao untuk menawan Sibu ketika Jeff Ooi, Tony Pua dan Chong Chieng Jen tenang merangka strategi “massa” yang boleh mendekati pengundi jauh untuk ‘dekat di hati’ dengan laman mudah seperti www.facebook.com/sibu4change

Wong Ho Leng

Jika pengundi hendak menilai siapa yang lantang bersuara serta bijak mencuri perhatian, tidak ramai yang dapat menandingi kepetahan Wong Ho Leng. Saya cukup suka mengusik beliau dan dia juga sangat mesra media walaupun pengamal media berkenaan sering menyusahkan beliau.

Beliau pernah beberapa kali marah terhadap saya kerana tulisan saya yang membuatkan beliaus eakan bercanggah dengan pemimpin DAP pusat. Namun, beliau tetap menghubungi saya jika ada isu atau kes yang memerlukan saya untuk menghebahkannya.

Sebaliknya, sehingga hari ini saya masih belum dapat menghubungi Robert Lau Jr. baru menjadi calon sudah sukar untuk dihubungi. Bagaimana pula nanti sesudah bergelar YB? Keadaan yang sama saya lalui dalam pilihan raya 2008 di Bandar Kuching dengan calon SUPP, Alan Sim. Telahan saya betul, beliau kalah teruk.

Selaku wartawan yang selalu menghubungi pemimpin tertinggi BN dan PR secara terus, saya dengan mudah melihat siapa yang akan dapat pergi jauh atau tersungkur di bahu jalan. Jika belum menjadi YB pun seolah-olah kita hendak menghubungi Perdana Menteri, jangan haraplah rakyat hendak mengundi.Mungkin faktor ini dilupai oleh SUPP, jangan bongkak untuk mendapat undi!

Isu setempat yang bakal menghantui BN

Penduduk-penduduk di Kampung penempatan semula di Sibu cukup vokal melontarkan masalah mereka kepada media, namun kita tidak melihat reaksi daripada ADUN mahupun MP Sibu. Khabarnya, mereka mahu mengajar BN kali ini dan mangsanya tiba lebih awal dari jadual.

Tidak banyak yang dapat BN lakukan dalam masa seminggu ini selain berjanji. Siapa mahu kepalanya dijadikan cagaran? Kalau si ADUN Nangka, DAB yang turun padang, maka makin banyaklah undi protes yang bakal diterima DAP.

Pentadbiran di Sibu yang dikuasai oleh SUPP tidak sensitif kepada masalah masyarakat Islam. Isu seperti tanah perkuburan masih belum diselesaikan. Punca utama ialah ADUN yang mewakili masyarakat Islam lemah. Ini membuatkan penduduk marah dan kecewa. Mereka melihat orang Islam diperkotak-katik oleh SUPP.

Selain itu, beban membayar tol serta kadar bayaran parking membuatkan rakyat ingin memprotes kali ini supaya BN lebih prihatin dengan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kadar tol yang tinggi di semua jambatan Sibu serta kadar bayaran tempat letak kereta melampau juga membuatkan mereka sangat marah kepada SUPP yang dilihat tamak, menindas serta sombong.

Kegagalan SUPP memacu pertumbuhan ekonomi di bandar Sibu membuatkan DAP mempunyai kelebihan. Nasib bandar Sibu dijangka bertambah buruk sekiranya Halal Hub Tanjung Manis berkembang pesat nanti kerana segala tumpuan perniagaan mungkin menghala ke sana.

Sibu dilihat sebagai bandar mati yang tidak mempunyai apa-apa industri yang membolehkannya membangun atau menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Malah ramai juga orang Sibu yang kini berhijrah keluar kerana takutkan empangan Bakun. Mereka menyifatkan Sibu sudah tidak selamat semenjank Bakun dibina dan apabila berlaku kecelakaan, Bandar Sibu akan tenggelam.

Seorang pengamal perubatan ketika bertukar SMS dengan saya secara jujur menyatakan undi masyarakat Melayu mungkin bertukar arah jika kepimpinan BN tidak melakukan sesuatu yang drastik.

Beliau berkata sokongan kepada BN mungkin dapat dipulihkan jika anak-anak Sibu yang berjaya kembali berkempen dan meyakinkan rakyat bahawa aduan, protes serta bantahan mereka akan didengar.

“Tokoh-tokoh tempatan Sibu perlu meyakinkan pengundi bahwa masalah mereka didengar, namun jika berjanji mesti ditunaikan,” kata beliau.

Sebagai rumusan, berasaskan sejarah pengundian di Sibu, cuma sekitar 40% hingga 45% pengundi Cina menyokong SUPP. Saya dapat merasakan bahawa BN mungkin kalah jika pemimpin parti komponen masih mengamalkan sikap tunggu dan lihat. Faktor undi protes masyarakat Melayu/Melanau terhadap ADUN Nangka dijangka mempermudahkan lagi kejayaan DAP. Kecenderungan BN untuk membuat generalisasi bahawa undi Melayu/Melanau/Iban untuk BN akan membawa padah.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails