Monday, May 10, 2010

Saiful sahkan Najib terlibat

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bersyukur ekoran Mohd Saiful Bukhari Azlan mengaku bertemu Datuk Seri Najib sebelum membuat laporan polis.

"Hari ini saya bersyukur kerana kita dapat sahkan penglibatan Najib yang diakui Saiful bertemu beliau empat hari sebelum laporan polis dibuat," katanya di luar mahkamah hari ini.

Dalam perbicaraan kes liwat ll Anwar hari ini, Saiful berkata dia berjumpa Perdana Menteri pada 24 Jun 2008 di kediaman Najib di Jalan Duta untuk mengadu masalahnya.

Saiful juga memberitahu dia kemudiannya berjumpa ASP Rodhwan di Hotel Mulia pada malam 24 Jun.

"Pegawai kanan polis panggil di satu hotel terkemuka untuk adakan perbincangan sebelum laporan dibuat.

"Itu yang Karpal tekankan penglibatan dan konspirasi melibatkan Najib," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut melahirkan rasa tidak puas hati ekoran kegagalan pihak pendakwa yang begitu takut untuk menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembela.

"Pertama kali dalam sejarah kes jenayah, nama saksi tidak diberikan, sampai sekarang pendakwa gagal mengemukakan nama saksi.

"Ini seperti mana yang kita sebut satu kelainan. Bila masuk kes Anwar memang ada kelainan," katanya lagi.

Ketika prosiding bermula pagi tadi, peguam bela utama, Karpal Singh, memohon mendapatkan senarai nama saksi daripada pihak pendakwaan tetapi ini tidak dibenarkan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Selepas Karpal menyoal Saiful selama 45 minit, beliau membuat satu lagi permohonan iaitu bagi mendapatkan semua keterangan bertulis daripada polis.

Hakim menangguhkan perbicaraan jam 12.30 tengahari tadi dan akan disambung jam 9 pagi esok.

Penangguhan itu dipohon Karpal Singh untuk membuat penghujahan penuh bagi mendapatkan kenyataan beramaran Saiful.


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails