Sunday, May 2, 2010

Pulau Pinang Mahu Contohi Selangor Diklasifikasi Dokumen

Bagus.. satu langkah bijak.. Diklasifikasi semua dokumen terutamanya yang berkaitan dengan duit zakat tu, biar 1Malaysia tahu siapa yang menerima zakat semasa UMNO menguasai pejabat Zakat..

Biar mereka melompat kepanasan..



GEORGETOWN 2 Mei - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendesak kerajaan melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) bagi memastikan kompetensi, akauntibiliti dan ketelusan dalam pentadbiran.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP mengulas kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor mengkelaskan semula dokumen negeri yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sejak tahun 2009.

Selain DAP, pertubuhan lain yang bersetuju dengan pelaksanaan akta tersebut termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Mereka juga turut mendesak pemansuhan Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Pulau Pinang akan berusaha untuk mencontohi kerajaan negeri Selangor sebagai komitmen kita untuk membebaskan media dari kekangan pemerintah. Kita sedang berbincang bersama penasihat undang-undang negeri sebagai persediaan langkah seterusnya", kata beliau dalam kenyataan sempena Hari Kebebasan Media Sedunia hari ini.

Sepanjang pemerhatian bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, media di Malaysia kelihatan semakin dikongkong, ditekan dan tidak menunjukkan sebarang kemajuan kata Guan Eng.

Pada 22 April lalu, penerbit sebuah rancangan bual bicara 'Editors Time' di ntv7 yang memenangi anugerah media, Joshua Wong telah didesak untuk meletakkan jawatan oleh pihak yang dikatakan rapat dengan Perdana Menteri.

Beliau mendakwa terdapat campur tangan yang mengganggu profesionalisme dari pihak yang tidak senang dengan pandangannya.

Beberapa hari kemudian, penerbit sebuah rancangan TV2, Chou Z Lam pula mendakwa dokumentari mengenai projek Bakun di Sarawak terbitannya tidak dibenarkan untuk disiarkan.

Ianya dikatakan akan memberikan kesan terhadap kempen Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil di Sibu.Antara rentetan peristiwa lain yang menimpa pengamal media antaranya tindakan disiplin yang dikenakan terhadap pengarang akhbar China Press, surat tunjuk sebab yang diberikan atas artikel terbitan The Star dan rampasan buku 'Where is Justice' dan 1Funny Malaysia'.

Ironinya, tiada tindakan yang dikenakan kepada akhbar Utusan Malaysia yang menyebarkan fitnah terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

Bahkan akhbar tersebut turut meniupkan sentimen perkauman dan agama.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng mendedahkan kesukaran kerajaan Pulau Pinang untuk menguatkuasakan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) berikutan pertindihan bidang kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"Akta tersebut hanya boleh dilaksanakan melalui kerajaan pusat, tapi kita boleh mengikut jejak Selangor dengan mengklasifikasikan undang-undang pada peringkat negeri.

"Akhbar dan rakyat Malaysia perlu dibebaskan. Namun, kebebasan media tidaklah bermakna kebebasan untuk melakukan pembohongan. Media sepatutnya mempunyai etika dalam melaporkan berita dan memberikan pandangan", jelas Guan Eng lagi.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails