Thursday, May 6, 2010

PRK Sibu : Pilihanraya ini bukan satu perjudian

6 MEI — Orang kuat politik Sarawak suatu ketika dulu, Tan Sri Dr Wong Soon Kai juga sekelas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sama-sama belajar di Universiti Malaya, Singapura pada 1950-an pernah tewas di tangan calon DAP.

Ini berlaku pada pilihan raya Parlimen 1982 bagi kerusi Sibu. Itulah kejutan dan kemenangan pertama parti pembangkang itu di bandar Sibu dengan kelebihan 141 undi.

Calon DAP, Ling Sie Ming, terus diisytiharkan “giant killer” oleh penduduk Sibu kerana menumbangkan Dr Wong ketika itu Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Semua orang terkejut dan hairan termasuk Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir dikatakan pernah mengakui sukar mendahului Dr Wong dalam kelas perubatan pada zaman persekolahan mereka kerana bekas Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) itu pelajar cerdik.

Kajian demi kajian dilakukan BN dan SUPP mengenai punca kekalahan itu, termasuk keengganan masyarakat Cina di Sibu untuk melepaskan Dr Wong bertugas di Kuala Lumpur. Sumber ketika itu menyatakan Dr Mahathir mahu membawa kawan baiknya ke dalam Kabinet Persekutuan.

Pada masa sama, SUPP turut mengenal pasti permainan judi antara punca utama kekalahan Dr Wong. Isu inilah sebenarnya membimbangkan setiap kali pilihan raya diadakan kerana judi boleh mempengaruhi corak pengundian yang tidak lagi rasional, sebaliknya untuk keuntungan wang ringgit semata-mata.

Apakah pilihan raya kecil kali ini juga akan menjelma sekali lagi kegiatan judi yang mempertaruhkan majoriti calon yang menang? Sejak dulu lagi atau tepatnya sejak 1982 itu, polis kerap menasihatkan orang ramai mengelak daripada terbabit dalam kegiatan perjudian politik.

Penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu diadakan Sabtu ini, bakal menyaksikan pertarungan tradisi kembali menjelma antara SUPP (BN) diwakili Robert Lau Hui Yew, 45, dan DAP, Wong Ho Leng, 50, juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek.

Wong, anak kelima daripada 14 adik beradik pernah lapan kali bertanding dalam pilihan raya dan menang dua kali, bermula di kerusi Parlimen Miri (1986) dan DUN Piasau (1987), kedua-duanya di Utara Sarawak sebelum kembali bertanding kerusi Parlimen Sibu pada 1995.

Pengundian kerusi Parlimen Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos itu pada 16 Mei nanti kebetulan Hari Guru. Daripada jumlah pengundi itu termasuk 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

Lau Junior yang juga dua pupu kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew bukan asing bagi masyarakat Sibu, bandar yang dihuni kebanyakannya Cina keturunan Foochow dan begitu juga Wong. Kedua-duanya peguam dan memang dikenali ramai.

Kini, orang ramai mula berteka-teki sama ada DAP bakal mengulangi sejarah kemenangan pertama pada 1982 atau Sibu terus digenggam keluarga Lau sejak mendiang Robert Lau memenangi kerusi itu pada 1990.

Parlimen Sibu merangkumi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Pelawan, Nangka dan Bawang Assan.

Yang pasti, bandar Sibu akan terus dibanjiri orang ramai termasuk tokoh politik dari Semenanjung sama ada di pihak kerajaan atau pakatan pembangkang. Masyarakat Sibu perlu bersedia untuk mendengar pendedahan demi pendedahan, seperti biasa dilakukan pembangkang dalam ceramah mereka.

Akhirnya, kebijaksanaan serta kematangan mereka sendiri boleh menilai apa yang baik untuk mereka.

Perlu diingatkan juga kepada wakil parti komponen BN atau pakatan pembangkang dari Semenanjung, bahawa mereka tidak keterlaluan apabila membicarakan sesuatu isu yang agak sensitif kerana keadaan di Sarawak agak berbeza.

Ini perlu bagi mengelak sensitiviti masyarakat setempat. Isu kaum perlu dielakkan kerana Sarawak sendiri mempunyai kira-kira 30 etnik yang fahaman, amalan dan cara hidupnya berbeza, tetapi semuanya bagaikan bermuafakat untuk tidak mengguris hati mana-mana kaum.

Seboleh-bolehnya, “masuk kandang kambing mengembek” kerana rakyat Sarawak lebih suka atau lebih mengutamakan keharmonian dan kemesraan antara kaum tanpa perlu “bertegang leher” mempertahankan hak masing-masing.

Sebab itulah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud terus popular di kalangan masyarakat pelbagai kaum kerana kebijaksanaannya mengambil hati mereka apatah lagi dengan dasar politik pembangunannya menjamin keadilan bagi semua tanpa prejudis terhadap mana-mana kaum atau etnik.


Berita Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails