Friday, May 14, 2010

PRK Sibu : Mudahnya mereka dipujuk..



Menyelusuri jalan Kampung Hilir di pinggir bandar Sibu mengingatkan Agendadaily persekitar Kampung Baru yang dianggap mencacatkan keindahan Kuala Lumpur sebagai ibu negara.

Mahu atau tidak, orang luar yang bertandang ke Kampung Hilir hanya di pisahkan oleh Hotel Paramount yang berbelas tingkat, kampung ini menggambarkan taraf hidup masyarakat Melayu Melanau Sarawak.

Deretan rumah-rumah papan dengan sebahagian tiangnya di dalam Sungai Rejang menyebabkan sekali atau dua kali setahun, kampung ini dilanda banjir apabila air sungai melimpah pada musim hujan lebat.

Seorang penduduk di kampung terbabit yang sudah tiga generasinya menetap di kampung itu berat mulut mahu menceritakan penderitaan mereka jika berlaku banjir.

Sudah penat katanya mereka mengadu kepada wakil rakyat setempat tetapi ianya ibarat mencurah air ke daun keladi.

Begitu juga dengan rayuan penduduk supaya lorong-lorong sepanjang Jalan Kampung Hilir dalam kawasan DUN Kampung Nangka diturap.

Mereka akhirnya ada gelaran untuk wakil rakyat kawasan itu.

YB Jambatan...itulah panggilan sesetengah penduduk kampung itu kepada wakil rakyat mereka kerana beliau hanya memberi kayu-kayu untuk di buat jambatan menghubungkan jalan dengan rumah bagi mengelak air jika banjir.

Rupa-rupanya dakwaan pengabaian wakil rakyat kawasan itu sudah serius malah ada antara mereka dikatakan tidak mahu Adun berkenaan berkempen di kawasan DUN Nangka ketika pilihanraya kecil Parlimen Sibu ketika ini.

Perihal wakil rakyat ini bukan rahsia lagi kepada pmimpin BN yang membantu kempen kerana nama beliau tidak terlepas bibir penduduk yang terasa kecewa bila YB berkenaan amat jarang turun padang.

Menurut seorang ibu tunggal tiga anak, jika ramai penduduk Melayu yang tidak mengundi BN pada 16 Mei ini, itu adalah kerana mereka kecewa setelah diabaikan walaupun kesetiaan pada BN tidak pernah berbelah bahagi sebelum ini.



Bagaimanapun, sejak pagi Selasa penduduk kampung itu sudah boleh meredakan kemarahan apabila jentera penurap jalan sudah mula menurap lorong-lorong di kampung tersebut.

Masalah banjir berpunca soal tebatan dan saliran sekitar Sibu juga boleh dianggap selesai apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassn mengumumkan peruntukkan RM1 bilion bagi mengatasi masalah yang sudah menghantui sebilangan penduduk Sibu sejak bertahun-tahun dulu.

“Tengoklah sendiri, kan jalan sedang diturap,” kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan sambil minum dengan beberapa penduduk kampung itu petang Selasa.

“ Jangan risau. Kerajaan BN dengar keluhan rakyat... walaupun lambat tetapi bila tiba masanya kerajaan akan buat. Itu tanggungjawab kerajaan setelah rakyat memilih BN,” ujar timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Katanya, apa yang penduduk Sibu boleh dapat kalau mengundi pembangkang yang ‘kuat bercakap’ berbanding BN yang ‘kuat bekerja’.

Sembang petang Ahmad terhenti seketika apabila sebuah kenderaan dengan pembesar suara melintas sambil menjemput penduduk kampung menghadiri ceramah Mohamad Sabu, di markas PAS tidak jauh dari warung tempat Ahmad minum.

Selepas hilang ‘bising’ itu, Ahmad menasihatkan penduduk di situ jangan tersalah pilih macam PAS yang tersilap berkawan dengan DAP.

Katanya, PAS mahu negara Islam tetapi pengerusi DAP Karpal Singh kata, langkah mayatnya dulu.

Menoleh kepada Agendadaily yang duduk di sebelahnya, Ahmad berkata, beliau yakin penduduk Melayu atau Bumiputera di Sibu masih bersama BN dalam pilihanraya kecil ini.

“Saya tahu rungut-rungutan mereka. Saya sudah bersembahyang di tiga surau sekitar kawasan ini. Banyak saya dengar pasal rasa tidak puashati...pasal banjir, pasal jalan, pasal bantuan-bantuan lain yang diperlukan,”

“Cuma perlu saya jelaskan bahawa Sarawak ini satu negeri yang luas tetapi usaha tetap teruskan supaya pembangunan dan kemudahan diterima rakyat,” katanya.

Selepas Ahmad beredar untuk solat maghrib di rumah Haji Rahmat, seorang penduduk yang minum bersama-sama tadi berbisik kepada Agendadaily, “ Insyaallah, kita masih sokong BN. Walaupun baru sekarang jalan diturap, kami tetap bersyukur. Harap lepas ini kerajaan selesaikan pasal banjir pulak,”.

Memanglah hanya di persekitaran Kampung Hlir, Kampung Baru Datu dan Kampung Bandung nampak suasana pilihanraya agak meriah.

Di kawasan lain termasuk di tengah bandar, tidak banyak poster gambar calon BN dan DAP tergantung.

Namun semua parti menumpukan jentera pilihanraya ke kawasan DUN Nangka yang menjadikan penempatan utama masyarakat Melayu Melanau berbanding DUN Pelawan dan Bawang Assan.

Ini kerana ada kira-kira 10,000 pengundi Melayu yang layak membuang undi pada Ahad ini selain 12,000 kaum Bumiputera lain khususnya Iban dan baki 36,000 lagi pengundi Cina.

Setakat Selasa, tinjauan Agendadaily mendapati BN masih ketinggalan tiga peratus berbanding sokongan kepada DAP.

BN pula sudah pasti sedang berusaha keras menarik lebih ramai sokongan bagi memastikan kerusi parlimen Sibu yang disandang mendiang Robert Lau sebelum ini kekal milik BN.

Ahmad sendiri memilih tidak pulang ke Kuala Lumpur meraikan sambutan ulangtahun ke 64 UMNO kerana mahu bersama-sama jentera BN meneruskan kempen di Sibu.

Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang Rabu turut diharap memberi berita gembiran yang menambah ‘ole-ole’ kepada penduduk Sibu.

Dengan usaha membaiki kemudahan di sekitar Sibu diharap kemarahan penduduk kepada YB Jambatan sebelum ini akan terubat dan pembangkang pula harus bersedia berdepan kekalahan pada Ahad ini.


Agendadaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails