Saturday, May 8, 2010

PRK Sibu : Kempen akan bermula

SIBU, 8 Mei — Kempen pilihan raya kecil Sibu yang dilihat sebagai medan permulaan kepada pilihan raya umum negeri, yang bakal diadakan bila-bila masa selepas ini, bermula dengan proses penamaan calon pagi ini.

Barisan Nasional (BN) menurunkan Robert Lau Hui Yew, mewakili SUPP manakala Pakatan Rakyat (PR) diwakili Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng.

Wong yang juga Adun Bukit Assek pernah bertanding di Sibu 8 Mac 2008 tetapi tewas dengan perbezaan 3,235 undi.

Turut dijangka turun gelanggang ialah Narawi Haron yang akan bertanding atas kapasiti sebagai calon Bebas.

Penyokong-penyokong dari kedua-dua parti yang bertanding mula membanjiri Bandar Sibu sebelum menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah di sini.



Rombongan PR dipimpin oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Dalam pada itu, BN diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertindak sebagai pengarah pilihan raya dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Kedua-dua BN dan PR melihat pilihan raya kecil ini sebagai satu pertemuan sangat penting menjelang pilihan raya umum negeri Sarawak yang sepatutnya diadakan menjelang pertengahan tahun depan.

Pemerhati-pemerhati melihat pilihan raya negeri akan diadakan tahun ini.

Justeru kemenangan kali ini akan dilihat akan menjadi ukuran sokongan dan penyuntik semangat moral menghadapi pilihan raya negeri.

Pilihan raya kecil ini diadakan kira-kira dua minggu selepas BN merampas balik kerusi Hulu Selangor di Selangor.

Tempoh penamaan calon ialah selama satu jam dari 9 pagi, dan kemudiannya disusuli dengan tempoh bantahan selama satu jam, dan selepas itu nama-nama calon akan diumumkan. Pengundian ditetapkan pada 16 Mei.

Robert Lau ‘Junior’, 45, seorang peguam mempertahankan kerusi itu dalam kawasan majoriti kaum Cina berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.

Difahamkan lima keping borang pencalonan telah dibeli dari pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tiga daripadanya oleh wakil DAP dan masing-masing satu oleh calon BN dan Bebas.

Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau Hoi Chew mengekalkan kerusi Sibu dengan majoriti 3,235 undi menewaskan Wong dan Lim Chin Chuang dari PKR.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos terdiri 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini setakat 9 April tahun ini, pengundi Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti oleh Bumiputera Sarawak (22 peratus) dan Melayu/Melanau (10.5 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah skeolah, dua tadika dan sebuah pusat latihan, sebuah rumah panjang, sebuah perpustakaan awam dan sebuah pusat rekreasi awam bagi pengundian.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails