Friday, May 14, 2010

PRK Sibu : Jangan Percaya Janji BN

Mereka berjanji di Pasir Mas pada 2005 untuk atasi masalah banjir, tidak dilaksanakan, janji-janji manis di Manek Urai untuk peneroka Kesedar seperti Felda di Hulu Selangor, menyebabkan pengundi di dua kawasan di situ memberikan undi kepada BN, namun sehingga apa yang dijanjikan BN tidak dilaksanakan, pengundi Sibu janganlah percaya dengan BN kali ini...


Pengundi Sibu jangan percaya janji BN

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 14 Mei: Rakyat negara ini terutamanya semua pengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sibu digesa tidak mempercayai berbagai janji BN menjelang hari pengundian pada Ahad depan berdasarkan rekod buruk mereka selama ini di Kelantan.

Setiausaha PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim (gambar) berkata, BN hanya berjanji untuk menang PRK sahaja kemudian setelah mereka berjaya, sehingga kini janji-janji itu langsung tidak dipedulikan lagi.

Rakyat Kelantan secara umumnya telah 20 tahun berjaya mengenepikan janji-janji BN terutamanya menjelang pilihan raya kerana mereka sudah mengetahui rekod buruk BN selama ini, tambahnya, termasuk kemiskinan rakyat Sarawak meskipun negerinya kaya dengan minyak.

“Sebagai contoh dalam PRK Pengkalan Pasir pada 2005, Najib Razak ketika itu Timbalan Perdana Menteri berjanji atasi masalah banjir di Pasir Mas, sehingga kini tidak dilaksanakan meskipun kini beliau sudah menjadi Perdana Menteri.

"Begitu juga dengan janji ketika PRK Manek Urai pada 2009, pengundi di situ dijanjikan dengan sebuah jambatan menghubungkan Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru, namun sampai ke saat ini tiada mana-mana pihak datang melakukan kerja-kerja mengukur untuk menunaikan janji tersebut, bila pimpinan BN balik KL mereka sudah lupa semua janji itu ," ujarnya yang juga Timbalan Yang Dipertua Dun Kelantan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berbagai janji yang dibuat pimpinan BN sekarang ini di Sibu.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Richard Wong Ho Leng BN, Robert Lau Hui Yew (BN) dan Bebas, Narawi Haron ekoran kematian ahli parlimennya, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu

Untuk rekod, pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi menewaskan Ho Leng yang juga Pengerusi DAP Sarawak dan merupakan Adun Bukit Assek.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis yang membuang undi bermula semalam dan hari ini.

Menurut senarai pemilih yang dikemaskini sehingga 9 April lalu, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).

Dalam ceramahnya di Seksyen 24 dekat sini malam tadi, Zaki yang menyifatkan Sibu sebagai kawah yang sentiasa sahaja mengalami banjir yang dibiarkan berlarutan puluhan tahun oleh BN yang memerintah sejak sekian lama, meminta pengundi Sibu jangan percaya sama sekali dengan janji BN untuk atasi masalah banjir di kawasan itu.

"Jika mereka berjanji di Pasir Mas pada 2005 untuk atasi masalah banjir, tidak dilaksanakan, janji-janji manis di Manek Urai untuk peneroka Kesedar seperti Felda di Hulu Selangor, menyebabkan pengundi di dua kawasan di situ memberikan undi kepada BN, namun sehingga apa yang dijanjikan BN tidak dilaksanakan, pengundi Sibu janganlah percaya dengan BN kali ini," tegasnya.

Zaki yang juga Adun Kelaboran bersyukur kerana berkat kepimpinan ulamak di negeri itu, tiada seorang pun wakil rakyat di negeri itu terlibat dan disabitkan dengan perlakuan rasuah selama 20 tahun memerintah negeri itu selama ini.


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails