Monday, May 17, 2010

Pakatan Kuasai Sibu

SIBU, 16 Mei — Pakatan Rakyat menerusi DAP mencipta sejarah dengan merampas semula kerusi Sibu yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak 28 tahun yang lalu.

Calon DAP, Wong Ho Leng menewaskan Robert Lau Hui Yew dari BN dan calon Bebas Narawi Haron.

Wong menerima 18,845 undi.

Robert Lau menerima 18,447 undi manakala Narawi pula 232 undi.

Calon Bebas hilang deposit.

Jumlah undi rosak pula sebanyak 395.

Apabila 110 daripada 111 saluran selesai dikira, DAP mencatatkan majoriti 2,651 dengan menerima 18,775 undi manakala BN pula 16,124 undi dan calon Bebas 196.

Bagaimanapun majoriti besar DAP itu merosot kepada sekitar 398 undi selepas undi pos dikira.

Daripada 2,827 kertas undi pos dikeluarkan, BN memperoleh 2,323 undi manakala DAP 70 dan Bebas 36. Sebanyak 208 kertas undi ditolak dan 190 tidak dipulangkan.

Undi pos, yang lazimnya diumumkan awal iaitu sebagai saluran pertama, hanya selesai dikira sekitar pukul 10 malam dan terakhir sekali diketahui.

Ini merupakan pilihan raya kecil yang ke-11 selepas 8 Mac 2008 dan pilihan raya kecil yang pertama bagi DAP.

Kejayaan DAP ini, yang bertanding mewakili Pakatan Rakyat, dilihat signifikan bagi mereka selepas BN pula merampas kerusi Hulu Selangor daripada PKR tiga minggu lalu.

Ia juga dilihat akan memberi sokongan moral kepada Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum negeri Sarawak dalam waktu terdekat ini.

Wong, juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek dan Pengerusi DAP Sarawak, tiba di pusat perjumlahan undi bersama Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang awalnya dijadual mengadakan sidang media di sebuah hotel di sini telah membatalkan pertemuan dengan wartawan itu.

Pengumuman keputusan pilihan raya kecil ini yang agak dramatik juga menyaksikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak permintaan BN supaya kertas undi dikira semula, tetapi ditolak.

Proses penjumlahan undi bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu ini berlangsung di Dewan Suarah di sini dan berlarutan sehingga 11 malam tadi - lewat dua jam daripada dijangkakan SPR sebelum ini.

Keadaan di pusat penjumlahan undi adalah tenang dengan penyokong parti berkumpul sekitar dewan walaupun hujan sejak dua jam lepas.

Terdahulu keputusan tidak rasmi mendapati wakil DAP itu berada di depan selepas lebih 30 peratus saluran selesai dikira.

Sebelum itu calon BN pula mendahului DAP.

Pada satu ketika DAP mendahului BN dengan majoriti lebih 3,000 undi tetapi kedudukan itu berubah selepas undi pos mula dikira.

DAP mencatatkan kemenangan ini ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi yang rendah 59.86 peratus berbanding 67.8 peratus dua tahun lalu.

Dua tahun lalu, BN mengekalkan kerusi itu dengan kelebihan 3,235 undi dalam persaingan tiga penjuru membabitkan DAP dan PKR.

Sejumlah 52,158 pemilih berdaftar mula keluar mengundi sejak pukul 8 pagi tadi untuk memilih wakil rakyat mereka yang baru dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu selepas tempoh berkempen selama seminggu.

Sementara 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis, mengundi pada Khamis dan Jumaat lalu di kem tentera di Rascom dan Oya dan Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Sebanyak 45 pusat pengundian, dengan 110 saluran dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan sebuah pusat latihan, sebuah rumah panjang, sebuah perpustakaan awam dan sebuah pusat rekreasi awam untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Sebanyak 10 pusat pengundian ditutup 1 tengah hari, lima lagi sejam kemudian, enam (3 petang), dua (pukul 4 petang) dan baki 22 pada pukul 5 petang.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew yang merupakan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal pada 9 April.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails