Sunday, May 2, 2010

P094 : Senarai induk janji BN Selasa ini

Kamalanathan tidak dapat menentukan tempoh pelaksanaan janji BN, tetapi sekadar berkata, “ada yang boleh dilaksanakan dalam jangka pendek dan ada yang memerlukan masa yang lama.”

Tak apa kita tunggu dan lihat..


Oleh G. Manimaran

HULU SELANGOR, 2 Mei — Barisan Nasional (BN), yang merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu, bergegas untuk menyediakan senarai induk janjinya minggu ini, yang Pakatan Rakyat dakwa melibatkan nilai lebih RM100 juta, untuk dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Pertemuan pertama ini akan diadakan Selasa ini.

Ia dijangka dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar, yang turut merupakan penyelaras pelaksanaan janji-janji yang dibuat BN sepanjang lapan hari kempen pilihan raya kecil itu.

Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Selangor telah dilantik sebagai penyelaras pelaksanaan janji-janji BN di Hulu Selangor.

Ketika mengesahkan perkara itu di sini semalam, Ahli Parlimen Hulu Selangor yang baru, P. Kamalanathan berkata, mesyuarat itu akan turut dihadiri ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor.

Dua daripada tiga Adun berkenaan merupakan wakil Umno manakala seorang lagi wakil MCA.

“Pertemuan ini membabitkan wakil parti-parti komponen,” katanya.

“Ini pertemuan pertama di mana kami akan menyelaraskan segala janji dan program yang telah dibuat semasa kempen... langkah ini penting untuk membolehkan kesemua janji dapat disenaraikan dan dijadikan satu senarai induk untuk dilaksanakan,” kata Kamalanathan kepada The Malaysian Insider.

Kamalanathan tidak dapat menentukan tempoh pelaksanaan janji BN, tetapi sekadar berkata, “ada yang boleh dilaksanakan dalam jangka pendek dan ada yang memerlukan masa yang lama.”

Semalam Kamalanathan bersama Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan melawat Ladang Nigel Gardener di Bukit Tagar di sini. Kawasan itu merupakan antara lokasi persinggahan beliau sejak Isnin lalu.

Setakat ini, menurut Kamalanathan, tiga janji utama telah ditunaikan oleh BN iaitu pembayaran RM50,000 kepada bekas-bekas peneroka Felda Sungai Buaya, yang diselesaikan sehari selepas hari pengundian.

Dua yang lain ialah sumbangan RM3 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pekan Rasa dan kelulusan tanah kepada sebuah kuil di Kalumpang yang tidak diatasi sejak lebih lima dekad lamanya.

“Tiga janji utama ini sudah diselesaikan dalam seminggu ini dan beberapa janji lain turut ditunaikan,” katanya ketika ditemui sempena seminggu menjadi wakil rakyat baru bagi kawasan Hulu Selangor.

Mengenai jumlah janji yang telah diumumkan sepanjang kempen pilihan raya, Kamalanathan berkata, beliau tidak pasti angka.

“Saya tidak dapat memberi jumlah sebenar, tetapi parti-parti komponen ada yang memberikan janji berdasarkan permintaan pengundi, jadi kita kena selaraskan untuk dilaksanakan,” katanya.

Pertemuan Selasa ini diadakan susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya BN terbabit dengan perbuatan membeli undi untuk memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan projek-projek yang diumumkan di Hulu Selangor adalah bagi menangani pelbagai yang dihadapi penduduk tempatan yang sudah berlarutan sekian lama.

Pembangkang mendakwa kononnya BN membelanjakan RM167 juta bagi melaksanakan pelbagai projek untuk meraih undi di Hulu Selangor.

Kamalanathan menewaskan Datuk Zaid Ibrahim dari Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majority 1,725 undi. Calon BN itu menerima 24,997 undi manakala Zaid memperolehi 23,272 undi.

Perdana Menteri memberi contoh projek pembinaan persimpangan bertingkat dekat Sungai Buaya, yang menurutnya bertujuan menangani masalah orang ramai di kawasan berkenaan.

Najib berkata beliau merasa gusar dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang berhubung perkara itu.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails