Monday, May 3, 2010

Nik Aziz pertahankan masjid boleh diguna tujuan politik

KOTA BARU, 3 Mei — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataannya bahawa masjid boleh diguna untuk tujuan berpolitik.

Malah, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan membidas sesetengah individu yang tidak mahu menerima realiti itu dengan menyifatkannya sebagai “bodoh”.

“Baso bodo payoh nak ajar (jenis bodoh susah hendak diajar), ini lah sikap orang yang amal politik suku agama suku,” katanya ketika menyampaikan ceramah di kampung Kubang Batang, Wakaf Baru dekat sini.

Katanya, penyampaian khutbah dalam sembahyang Jumaat adalah sebahagian daripada politik Islam yang juga membawa maksud ceramah.

“Politik lah tu, politik-politik maknanya mengajak orang ramai, memahami tentang kebaikan, termasuklah ekonomi, sosial, sahsiah dan sebagainya.

“Kalau tukar khutbah Jumaat panggil ceramah, dan ceramah pula kita panggil khutbah, tak tahu lah... payah otak manusia ni,” katanya.

Pertikaian menggunakan masjid sebagai pentas ceramah politik dieksploitasi menjelang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu.

Isunya dilihat menjadi hangat apabila Sultan Selangor bertegas dengan perintah baginda supaya tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang percaturan politik.

Khamis lalu, Sultan Selangor menjelaskan bahawa tujuan baginda melarang masjid daripada digunakan sebagai pentas politik adalah untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadah itu.

Sultan Sharafuddin memberikan penjelasan itu memandangkan ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah baginda dan menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails