Friday, May 28, 2010

Negara Bankrap kerana Korup - Shamsul Iskandar (Video Inside)

Ketika rakyat diugut untuk menolak subsidi agar tidak menyusul jejak Greece yang bankrap, muncul pula seorang pemuda berumur 20-an tahun yang membelanjakan USD 50 ribu hingga 60 ribu secara biasa saban hari, dedah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd.Akin.

Shamsul Iskandar memetik laporan New York Post pada tahun 2009, yang diulas kemudiannya oleh tabloid tempatan Malay Mail, bahawa seorang pemuda bernama Taek Jho Low membelanjakan USD 50 ribu hingga 60 ribu, atau RM 170 ribu ke RM 205 ribu setiap hari.

Menurut Shamsul Iskandar, Jho Low dikatakan sebagai kenalan rapat dengan anak Perdana Menteri Najib Razak, lantas mencungkil keraguan orang ramai sama ada Jho Low berperanan sebagai proksi, berikutan kemampuan graduan Wharton Business School ini dalam mengumpul kekayaan pada umur 20-an tahun.

Malah, Shamsul Iskandar mendesak agar PM menjawab, dan mengesahkan sama ada tuduhan bahawa Jho Low mendapat kontrak pembangunan TUDM Sungai Besi yang bernilai kira-kira RM500 juta, dan memainkan peranan sebagai penasihat di sebalik Terengganu Investment Authority yang mengurus dana royalti minyak itu benar atau tidak.

Demikianlah pendedahan Shamsul Iskandar ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Kongres Nasional AMK yang diadakan di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bahru, Kelantan, hari ini. Beliau mengulas selanjutnya dalam sidang media yang diadakan selepas itu.

Negara bankrap kerana korup

"Negara bukan bankrap sebab subsidi rakyat, sebab pemimpin korup," Shamsul Iskandar lantang menyangkal kenyataan Pemandu Ketua Eksekutif PEMANDU Jabatan Perdana Menteri Idris Jala semalam, yang meramalkan Malaysia akan bankrap dalam tempoh sembilan tahun yang akan datang seandainya subsidi kerajaan diteruskan.

"...dan pemimpin korup akan kita tolak dalam pilihan raya umum akan datang!" Kata-katanya menerima tepukan gemuruh daripada kira-kira 400 orang, termasuk 328 orang perwakilan AMK.





Berita : Merdeka Review
Videoclip : Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails