Thursday, May 27, 2010

MP ‘khianati’ PKR tu kawan, tapi bukanlah rapat sangat pun.... - DSAI

Kawan rapat apa kalau berjumpapun dua kali setahun...


PETALING JAYA, 26 Mei — Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan dan tanggapan bahawa beliau “rapat” dengan wakil rakyat-wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah keluar parti khususnya mereka yang bertindak demikian sejak awal tahun ini.

Sambil mengakui pernah berkawan dengan mereka, Anwar yang juga Penasihat PKR menegaskan, beliau tidak menjalin hubungan rapat ataupun yang akrab.

“Biasanya saya akan mengelakkan soalan-soalan peribadi. Adakah kita rapat? Saya bertemu (Datuk Seri Zahrain Hashim) dua kali setahun. Kemudian selepas tahun 1998 hingga 2006, saya tidak mendengar sepatah pun daripada beliau.

“Tetapi, sekali lagi saya tidak boleh berkata beliau (Zahrain) bukan kawan saya.

“Zulkifli Noordin sebagai contoh, dia pernah berada dalam pasukan (peguam) sokongan saya, (tetapi dia) tidak pernah komited kepada perjuangan parti. Ia bukannya satu isu,” kata Anwar dalam temu bual khas dengan The Malaysian Insider, yang diadakan sempena Kongres Nasional Keenam PKR.

Oleh itu, tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh ini, alasan-alasan yang dikemukakan oleh mereka sebenarnya telah pun “diskripkan.”

Kata Anwar, orang-orang seperti Zahrain dan Zulkifli, masing-masing Ahli Parlimen Bayan Baru dan Kulim-Bandar Baharu, menyedari akan dasar perjuangan PKR ketika mereka menyertai parti.

Dasar perjuangan itu tidak pernah berubah, tegas Anwar yang ditemui di ibu pejabat PKR di sini.

“Alasan-alasan bagi mereka untuk keluar parti telah diskripkan. Mereka tahu apa itu (dasar) PKR apabila menyertai parti, ia telah diskripkan, semakin keras mereka menghentam kami, lagi tinggi bayaran mereka terima (daripada Umno),” kata Anwar lagi.

Pun begitu, Anwar kelihatan berhati-hati dalam mengatakan bahawa tindakan keluar parti akan berakhir sekarang, dengan Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong keluar PKR dua hari sebelum pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.

“Saya melihat ia yang terakhir tetapi (sekali lagi) anda perlu tahu bahawa ada pihak yang masih mendampingi (wakil-wakil) PKR, menawarkan bayaran yang lebih tinggi... (Datuk Seri) Najib (Razak) bersungguh-sungguh mahu mendapatkan majoriti dua pertiga,” kata Anwar.

Sehubungan itu, Anwar mengakui tindakan tergesa-gesa PKR dalam menurunkan calon dalam pilihan raya umum 2008 telah menyebabkan pemilihan pemimpin yang masih berfikiran “macam Umno.”

PKR yang ditubuhkan 12 tahun yang lalu mencatatkan kejayaan paling besar pada 8 Mac 2008.

PKR merupakan antara komponen dalam Pakatan Rakyat, yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.

Di bawah gabungan itu, Pakatan Rakyat menawan lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Dewan Rakyat.

Katanya, PKR tidak membuat persiapan selengkapnya menghadapi pilihan raya umum 2008 memandangkan tidak mendapat calon yang cukup bilangan untuk bertanding kerusi yang diperuntukkan.

Oleh itu kata beliau, pihaknya ada membuat “kesilapan” dengan terpaksa menerima sesiapa sahaja yang hendak bertanding.

“Apabila tibanya masa pilihan raya, dalam keadaan anda tidak membuat persiapan yang secukupnya, anda perlu bergerak dengan apa yang ada,” kata beliau.

Dalam menghadapi pilihan raya umum dua tahun lalu, katanya, PKR berhadapan dengan masalah mendapatkan calon untuk bertanding memandangkan ia dianggap sebagai sebuah parti yang baru.

Katanya, calon-calon yang berpotensi pula menolak daripada dipilih sebagai kerana “mereka tidak pasti sama ada akan menang ataupun tidak”.

Situasi itu dilihat membawa Anwar untuk mendampingi ahli-ahli politik yang ‘berpengalaman’ dari Umno untuk menyertai perjuangan PKR.

“Ia benar. Saya terima perkara itu, sebabnya ialah ia (PKR) adalah sebuah parti yang baru, orang tidak mahu mengambil risiko... mereka yang bijak pandai, profesional dan golongan intelek macam anda, yang memberikan penilaian yang kritikal (mengenai PKR).

“Pada ketika tiada siapa yang mengambil bahagian dalam pilihan raya dan menjadi calon, ia sebuah parti baru, anda tidak pasti sama ada akan menang atau tidak.

“Dan, saya terpaksa meluangkan masa yang banyak untuk memujuk sebahagian daripada mereka yang dilihat mempunyai potensi yang baik,” kata Anwar lagi.

Dalam pandangannya Anwar, yang juga ketua pembangkang di Parlimen mendakwa sebahagian daripada mereka yang meninggalkan parti ataupun dipecat, menyertai PKR kerana mereka beranggapan boleh memperoleh “faedah kewangan atau ganjaran selepas itu.”

“Saya tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini... pada ketika adanya calon-calon yang berpotensi tetapi tidak bersedia untuk bertanding, jadi kami terpaksa mengambil mereka yang kami rasakan boleh lakukan.

“Pada peringkat awal, kami melihat harapan, kami kuat, kami boleh bertahan tetapi 16 September (2008) datang.

“Pada ketika itu, kemungkinan sesetengah daripada mereka berpandangan bahawa mereka akhirnya akan mendapat tempat dalam kerajaan persekutuan,” katanya.

Jelas Anwar, apabila wakil rakyat-wakil rakyat ini tidak mendapat apa yang dijangkakan, mereka rasa kecewa.

“Kemudian datang pula isu kontrak seperti di Pulau Pinang, rasuah macam kes di Perak, tuntutan melampau di Kedah,” tambah Anwar yang turut menyenaraikan alasan-alasan wakil rakyat PKR telah keluar parti dengan sebahagian daripada mereka menjadi anggota mesra BN.

Setakat ini, PKR telah kehilangan lima Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri.

Ahli-ahli Parlimen yang telah bertindak keluar PKR ialah Zahrain, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli, Wee dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Selain lima Ahli Parlimen itu, PKR juga kehilangan lima Adun masing-masing dua dari Kedah dan Perak, dan seorang dari Selangor.

The Malaysian Insider difahamkan, PKR dijangka membuat “pendedahan balas” sebab dan punca mereka mengkhianati parti itu ketika Kongres Nasional Keenamnya yang bermula esok.

Beberapa pemimpin yang ditemui The Malaysian Insider berkata mereka menunggu ‘lampu hijau’ pucuk kepimpinan untuk membuat pendedahan ketika Kongres Nasional Keenam di Kota Baru, Kelantan.

Kecuali Zulkifli, yang telah dipecat oleh PKR, empat lain mengumumkan keluar parti atas alasan kecewa dengan kepimpinan dalaman PKR dan juga Pakatan Rakyat.

Ketika sesi perbahasan di Parlimen pertengahan Mac lalu, lebih sebulan selepas keluar PKR, Zahrain dan Zulkifli telah mendedahkan sedikit sebanyak gerak-geri Anwar termasuk rancangan 16 September 2008 mahu mengambil alih kerajaan pusat.

Zulkifli pula mendedahkan isu berkaitan pembunuhan wanita Mongolia.

Zulkifli mendedahkan telah ditawarkan ganjaran lumayan untuk mengaitkan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu.

Ekoran pendedahan itu, Najib mengadakan pertemuan dengan kedua-dua mereka di Washington ketika lawatan ke Amerika Syarikat.

Kongres PKR dijangka membincangkan pendekatan untuk menangani masalah keluar dan lompat parti.

Minggu lalu Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh memberi tempoh notis sebulan kepada mereka yang ingin keluar parti sebelum pihaknya menjalankan proses penjenamaan semula selepas kongres nasional kali ini.

Anwar juga mengakui adalah benar mereka yang melompat itu mempunyai mentaliti Umno.

“Kesilapan telah berlaku,” kata beliau sambil mempertahankan pendekatan PKR dalam menurunkan calon-calonnya dalam pilihan raya.

Kata beliau, calon-calon perlu mempunyai pengalaman parti kerana ahli-ahli parti yang tidak berpengalaman juga akan membawa mudarat kepada kemajuan dan petubuhan parti.

Anwar juga menekankan, PKR sedang melalui proses “pembersihan”, sesuatu yang perlu dilakui untuk mendewasakan parti.

“Proses pembersihan ini seharusnya berterusan kerana anda perlu mengingatkan bahawa PKR adalah sebuah parti yang komited kepada agenda reformasi.

“Parti perlu mengambil ingatan bahawa kita datang dengan prinsip-prinsip ini. Itu sebabnya parti perlu terus diperingati,” kata beliau sambil menambah, ia perlu dilalui parti-parti politik yang lain.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails