Saturday, May 1, 2010

Himpunan Bantah GST Lebih aman tanpa Polis



Hari Buruh sekadar untuk berehat, tetapi bukan untuk pekerja menyuarakan pandangan mereka dengan bebas?

Himpunan Hari Pekerja bertemakan "Rakyat Bantah GST - Cukai yang miskinkan rakyat", anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, pada jam 11 pagi, terpaksa beralih tempat ke Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, berikutan penutupan kawasan tersebut oleh polis.

Pada jam 11 pagi, peserta yang dikerah terutamanya oleh JERIT dari seluruh pelusuk negara, telah berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam Negara. Mereka bersedia untuk berarak ke arah Dataran Merdeka yang 400 meter jauh dari situ, untuk menyertai perhimpunan sambutan Hari Buruh, di samping menyuarakan bantahan mereka terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, mereka telah dihalang oleh polis, dan terpaksa untuk beralih ke Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor mengikut Jalan Petaling. Sementara itu, sekumpulan peserta yang diketuai oleh ahli parlimen Sungai Siput, Jeyakumar Devaraj telah dihentikan di Jalan Duta, dan mereka terus melaungkan protes mereka di depan bangunan parlimen untuk satu jam.

Akhirnya, mereka berjaya menemui rakan seperjuangan mereka di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor . Deklarasi 1 Mei 2010 ini dilafazkan bersama oleh kira-kira 500 orang peserta.

Enam ditangkap, dilepaskan kemudian

Perhimpunan ini gagal berlangsung di tempat sebagaimana yang dirancang, malah enam orang peserta ditangkap oleh polis kerana mengangkat kain rentang. Keenam-enam mereka telah dilepaskan oleh polis pada jam 1 tengah hari, tadi.

Salah seorang penyelaras perhimpunan ini, juga Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan berkata, ini kali pertamanya kegiatan Hari Buruh dihalang. Pihak penganjur telah memaklumkan aktiviti ini kepada polis, tetapi tidak memohon permit sama ada untuk perarakan mahupun perhimpunan.

"Buruh menyambut Hari Buruh, mengapa pula perlu memohon permit?" tanya Arutchelvan. Malah, aktivis sosial ini sempat untuk menyindir Ketua Polis Negara, yang baru-baru ini melatah berikutan kritikan umum terhadap kes remaja 15 tahun, Allahyarham Aminulrasyid Amzah ditembak mati oleh polis.

Lebih aman tanpa polis, sindir Arutchelvan

Musa Hassan sebelum ini berkata, "Jika anda tidak mahu polis menguatkuasakan undang-undang, cakap saja. Saya boleh arahkan anggota-anggota saya supaya jangan buat apa-apa termasuk memeriksa kenderaan atau menangkap Mat Rempit yang memandu tanpa lesen".

Arutchelvan pula menyindir pada hari ini, "kalau beliau tidak menghantar polisnya, aktiviti kami lebih aman."

Rundingan antara penganjur dengan polis gagal apabila mereka tidak dibenarkan untuk berhimpun di Dataran Merdeka. Akhirnya, pihak penganjur terpaksa menggunakan pelan kedua untuk berarak ke Dewan Perhimpunan Cina sambil menyebarkan risalah di sepanjang jalan.

Kira-kira 400 orang berhimpun di lapangan letak kereta bangunan Dewan Perhimpunan Cina, meletakkan tandatangan mereka pada kain rentang. Mereka melafazakan deklarasi bersama apabila kumpulan yang diketuai Jeyakumar Devaraj sampai di situ.


Merdeka Review

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails