Monday, May 17, 2010

BN Kalah di Sibu kerana tindak tanduk Pemimpin BN sendiri...



Keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu yang berpihak kepada Pakatan Rakyat memberi gambaran buruk kepada BN untuk kekal relevan dalam pilihan raya negeri selepas ini, menurut penganalisis.

Gambaran itu dilihat melalui jumlah ayunan sokongan pengundi kepada wakil DAP Wong Ho Leng kali ini, yang membolehkan beliau dipilih ke Dewan Rakyat.

DAP memasuki gelanggang Sibu dengan harapan untuk meraih sekitar 40 peratus undi sahaja bagi memperbaiki prestasi mereka pada Mac 2008, di mana BN menang dengan 3,235 majoriti.

Keputuan kali ini bagaimanapun menujukkan DAP menang dengan kelebihan sebanyak 398 undi sahaja, namun ia menunjukkan BN kehilangan sokongan dengan begitu banyak, kata seorang pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak.

Menurut Dr Jeniri Amir, antara faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini ialah perubahan sikap pengundi kepada tindak-tanduk pemimpin BN, sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan pusat.

Penolakan ini, secara lantang, disuarakan masyarakat Cina terhadap SUPP, sebuah parti tertua sekali di Sarawak.

Dr Jeniri, seorang keturunan Iban negeri itu berpendapat, kekecewaan masyarakat ini lahir daripada janji-janji dan juga impian mereka yang tidak ditunaikan oleh pemimpin SUPP sebelum ini.

'Keluarga Lau tidak disukai'

"(Kemenangan DAP) juga kerana kekuatan calon Wong Ho Leng yang dilihat mampu menjadi suara yang lantang dan berani menentang Robert Lau Jr.

"Apatah lagi dia dan keluarga mendiang Robert Lau ini tidak disukai ramai di sini, khususnya oleh masyarakat Foo Chow. (Keadaan) ini berkait langsung dengan penguasaan ekonomi keluarga (Robert Lau) di sini," katanya.

Tambahnya masyarakat yang dikenali dengan sikap berdikari ini menunjukkan sikap yang negatif apabila disogok dengan bentuk-bentuk sumbangan yang mendadak ketika tempoh kempen pilihan raya.

Katanya lagi, golongan ini melihat bentuk bantuan dan sumbangan yang dihulurkan oleh BN ini lebih daripada tindakan "ala bomba."

"Maksudnya seperti hendak memadamkan api semasa kebakaran sahaja tetapi tidak memberi kesan jangka panjang," katanya lagi.

Jelasnya, BN walaupun mempunyai kelebihan dari segi sumber kewangan bagi menjalankan jentera dan kempen pilihan raya, namun tidak berjaya mendalami perasaan pengundi Cina di Sibu.

"(BN) tidak lagi boleh teruskan dengan pendekatan ala bomba ini, sebaliknya perlu ambil pendekatan yang ikhlas dan memberi kesan jangka panjang kerana tindakan seperti ini tidak dapat menakluk pengundi Cina.

'Hina pengundi Cina'

"Pengundi Cina ini ada sikap berdikari yang tinggi. Pemberian projek-projek mi segera (seperti diumumkan oleh pemimpin BN) ini dianggap menghina mereka. Apatah lagi, apa saja projek yang diberikan itu, bagi mereka, sememangnya merupakan hak mereka," katanya lagi.

"Sekarang bukanlah soal sumber atau kelebihan wang yang banyak. Yang penting adalah untuk menjaga perasaan pengundi. Jangan biarkan perasaan mereka terluka, apatah lagi sekiranya luka itu sudah terlalu dalam dan berlarutan sejak sekian lama," katanya.

Jelasnya, DAP mampu menjadi alternatif kepada masyarakat di situ kerana tidak mempunyai kebergantungan dengan struktur pentadbiran di Sarawak.

"Mereka tidak perlu menjaga kepentingan pihak tertentu dalam kerajaan, sebab itu mereka boleh bersuara dengan lantang," katanya.

Tambahnya, beliau masih belum berpeluang untuk melihat pola sokongan masyarakat di pedalaman, khususnya daripada kaum Iban.

"Sekiranya benar (trend sokongan kepada pembangkang), ini memberikan satu lagi petanda kepada parti BN yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang," katanya lagi.

Tamparan kepada Taib

Tambahnya, penolakan terhadap calon BN juga merupakan satu tamparan kepada kepemimpinan ketua menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Jelasnya, kekecewaan masyarakat itu timbul daripada kegagalan kerajaan menangani isu tempatan seperti pengangguran dan masalah infrastruktur seperti banjir dan isu hak ke atas tanah adat Bumiputera (NCR).

"Ini merupakan kekecewaan arus bawah yang amat deras, yang perlu difahami betul-betul oleh BN, khususnya SUPP. Jika tidak nasib mereka sama dengan MCA dan Gerakan di semenanjung," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis beranggapan, undi protes daripada masyarakat Cina di Sibu merupakan mesej yang jelas terhadap pentadbiran Abdul Taib Mahmud.

'Muak dengan SUPP'

Professor James Chin daripada Universiti Monash berkata, ia merupakan antara tiga pengajaran utama yang boleh diambil daripada pilihan raya kecil Sibu.

“Pertama sekali, majoriti pengundi Cina menghantar mesej yang jelas kepada Taib supaya meletakkan jawatan. Saya rasa, Taib sudah terlalu lama memegang jawatan ketua menteri," katanya.

Taib menerajui Sarawak sejak tahun 1981, tahun yang sama menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya lagi, pengundi Cina juga telah muak dengan pemimpin-pemimpin SUPP.

"Sekiranya anda lihat, kebanyakan pemimpin SUPP berusia lebih daripada 60 tahun. Malah mendiang Robert Lau memegang kerusi Sibu selama empat penggal.

“SUPP gagal meraih sokongan daripada golongan muda masyarakat Cina dan mereka gagal menghasilkan pemimpin muda yang berkebolehan.

"SUPP kekal tidak berubah semenjak dulu dengan pemimpin-pemimpin lama. Saya rasa pengundi Sibu sedar bahawa mereka mahukan perubahan," katanya.

Sedia tinggalkan BN

Beliau juga beranggapan bahawa masyarakat Foochow itu sudah bersedia dengan komuniti lain di semenanjung untuk meninggalkan BN.

Pengundi Cina menunjukkan perubahan sokongan secara mendadak kepada pembangkang ketika pemilihan Mac 2008.

“Sekarang, ini menjadi satu realiti kepada masyarakat Cina Foochow di Sibu. Mereka (menerima) lebih kesedaran politik," katanya.

Chin juga berkata, keputusan pilihan raya kecil ini mungkin memaksa Abdul Taib untuk menunda tarikh pilihan raya negeri yang dijangka secara meluas akan berlangsung pada Julai tahun depan.

“Mungkin tekaan saya salah kerana sukar untuk menjangka bilakah pilihan raya negeri akan diadakan. Tapi saya rasa, berikutan kekalahan di Sibu, Taib akan menyelaraskan pilihan raya negeri dengan pemilihan peringkat persekutuan.

“Saya tidak fikir ia akan diadakan dalam tempoh terdekat disebabkan keputusan semalam," katanya.


Malaysikini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails