Friday, May 7, 2010

Bangkitkan 13 Mei : Laporan polis ke atas Ketua Pembangkang

Kenyataan Media diakhir N3,

Sebelum itu.. Ada sedikit kesalahan dalam laporan Bernama ini, samada disengajakan untuk mengelirukan atau tidak, hanya mereka yang tahu..

Bernama melaporkan Sekretariat Pemuda pakatan pembangkang.. sebenarnya bukan Sekretariat Pemuda pakatan pembangkang tapi Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat.

Lagipun di Pulau Pinang ini rasanya Pembangkang yang terdiri dari UMNO, MCA, MIC dan Gerakan tidak mempunyai Sekretariat Pemuda Pembangkang.

Jangan pandang remeh kenyataan yang sengaja disilapkan itu.. kerana kenyataan yang beginilah ada penduduk kampung di Hulu Selangor berterima kasih kepada Najib kerana memberikan mereka Air Percuma, kerana menurut mereka Najib itu mewakili Kerajaan dan Khalid Ibrahim itu Pembangkang..



Pemuda Pakatan buat laporan polis terhadap Adun Umno

May 07, 2010

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat negeri hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim atas dakwaan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan.

Koordinator program sekretariat itu, Syed Mikael Rizal Aidid, berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan polis membuka kertas siasatan terhadap Azhar.

“Walaupun Azhar telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri, kami masih mahu polis menyiasat perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di balai polis Beach Street di sini.

Beliau berkata tindakan patut diambil terhadap Azhar kerana ia merupakan perkara serius yang boleh menganggu-gugat keharmonian antara kaum di negara ini.

Turut mengiringi Syed Mikael untuk membuat laporan itu ialah anggota jawatankuasa eksekutif Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Faruk Abdul Rahman dan wakil rakyat DAP Teh Yee Cheu dan Koid Teng Guan.

Azhar, yang juga wakil rakyat kawasan Penaga, didakwa mengeluarkan perkataan berunsur hasutan semalam pada persidangan Dewan Undangan Negeri semasa sesi penggulungan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng. — Bernama


Bangkitkan 13 Mei:

Dato’ Azhar Cetus Ketegangan Kaum!

7 MEI 2010


Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP) pada hari ini akan membuat laporan polis untuk menyiasat kenyataan berbaur hasutan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, YB Dato’ Azhar Ibrahim dalam Sidang DUN semalam.

Beliau yang mendapat peluang mencelah untuk membahas Ucapan Penggulungan Ketua Menteri telah dengan penuh tidak bertanggungjawab, membangkitkan sentimen perkauman dengan memberi amaran kepada rakyat, 13 Mei akan berlaku jika rakyat menafikan peranan polis. Beliau juga seakan mengugut rakyat Pulau Pinang ini agar menerima tentera menjaga keselamatan mereka jika rakyat sudah tidak mahukan polis lagi, dan yang paling mengecewakan, beliau kata adalah lebih senang suasana Mageran diwujudkan kembali.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP) pada hari ini juga mahu pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak ke atas kenyataan YB Dato’ Azhar Ibrahim yang berbaur hasutan dan jelas sekali, ketua pembangkang itu telah melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum.

Walaupun beliau telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan di atas sikapnya itu, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP), tetap mahukan beliau disiasat dan dibawa ke muka pengadilan, kerana sidang DUN ini telah diikuti secara langsung oleh seluruh rakyat Pulau Pinang dan tindakan beliau ini dikhuatiri bakal menimbulkan ketegangan kaum.

Bagi Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP), kami tetap menghargai akan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pihak Polis dalam menjaga keselamatan rakyat, namun dalam masa yang sama, mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan beliau, atas siri-siri kegagalan beliau dalam mengurustadbir pasukan polis dan menangani jenayah di negara ini.

Kami Yang Membawa Amanah Rakyat;

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails